Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 10 January 2012

Pekida kecewa isu penarik kereta samseng


KUALA LUMPUR 10 Jan. - Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Wilayah Persekutuan kecewa gejala penarik kereta ala-samseng masih berleluasa sehingga menimbulkan kesulitan dan kebimbangan kepada pengguna.
Pengerusinya, Datuk Roslan Dahaman berkata, peraturan yang ada bagi mengawal penarik kereta seperti tidak dikuatkuasakan.
"Pada tahun lepas kami ada membangkitkan isu ini untuk perhatian pihak berkuasa tetapi masih belum ada tindakan konkrit," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau menambah, pihaknya sedia mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk berkongsi pandangan kaedah terbaik menangani gejala tersebut.
Sementara itu, Roslan berkata, pihaknya memberi masa 14 hari kepada pihak berkuasa untuk menghentikan kegiatan perjudian haram yang didakwa masih berleluasa di Kompleks Damai Jalan Ipoh, di sini.
Katanya, apa yang menghairankan ialah pusat perjudian yang berselindung di sebalik kedai permainan video itu kelihatan kebal kerana masih beroperasi walaupun tindakan penguatkuasaan telah diambil sebelum ini.
''Jika tidak ada tindakan kami akan mengumpulkan ahli dan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
''Jika ada unsur-unsur rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu bertindak,'' katanya.
Pemimpin setempat, Abidin Zainon pula berkata, apa yang menyedihkan pusat perjudian itu selalunya dipenuhi oleh remaja Melayu.
''Kita bimbang jika dibiarkan ini akan membinasakan anak bangsa satu hari nanti. Pusat perjudian ini antara punca berlakunya masalah sosial dan jenayah.
''Apabila menang judi, mereka akan membelanjakan wang dengan melanggan pelacur dan jika kalah, ada yang mencari wang segera dengan meragut dan memecah kenderaan,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...