Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Monday 16 January 2012

Khairul Fahmi ceburi bisnes



Khairul Fahmi Che Mat (kanan) bertukar dokumen dengan Mohd. Badri Osman pada pelancaran syarikat Khairul Fahmi Resources Malaysia Sdn. Bhd. di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 15 Jan. - Selepas menempa nama dalam arena bola sepak negara, penjaga gol terbaik Asia, Khairul Fahmi Che Mat, 22, melangkah setapak apabila menceburi bidang perniagaan dengan menubuhkan syarikat, Khairul Fahmi Resources (M) Sdn. Bhd. (KFR).
Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apex berkata, idea untuk menubuhkan KFR dicetuskan oleh beliau sendiri dan sebahagian perancangan jangka panjangnya sebelum bersara daripada sukan bola sepak, suatu hari nanti.
"Ini adalah sebagai perancangan masa depan saya. Untuk makluman KFR ini akan diuruskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan kakitangan sokongan yang dilantik. Penubuhan syarikat ini tidak akan menjejaskan karier bola sepak saya.
"Sebagai permulaan, KFR menumpukan kepada produk pelancongan. Untuk itu, kita telah menjalin kerjasama dengan Rakyat Travel Sdn. Bhd. yang mempunyai banyak pengalaman dalam bidang tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran syarikatnya di Hotel Sutera Inn di sini hari ini.
Turut hadir, Pengurus Besar Rakyat Travel, Mohd. Badri Osman dan CEO KFR, Mohd. Fauzi Abduri.
Serentak dengan pelancaran syarikat berkenaan, tunggak utama The Red Warriors itu turut melancarkan kelab peminatnya iaitu Kelab Peminat Khairul Fahmi Che Mat (KFCM).
Mengulas mengenai KFCM, beliau memberitahu, penubuhan kelab itu bertujuan merapatkan hubungan antara beliau dan peminatnya di seluruh negara.
"KFCM menawarkan pelbagai pakej menarik untuk mereka yang berminat bermula RM10 hingga RM250. Setiap ahli yang berdaftar akan mendapat baju dan topi eksklusif serta potongan bagi pakej pelancongan yang disediakan oleh KFCM," ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Badri berkata, kerjasama tersebut tercetus hasil pelawaan KFR untuk mempromosi jenama Rakyat Travel.
"Kita sememangnya sedang mencari rakan untuk berkongsi kepakaran yang ada. Khairul Fahmi ada jenamanya sendiri dan mempunyai rangkaian yang luas, begitu juga dengan syarikat kami. Kerjasama ini akan membentuk satu gandingan kuat antara kedua-dua pihak," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...