Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Monday 16 January 2012

RM20.2 juta bantu anak angkat


KUALA LUMPUR 15 Jan. – Yayasan SP Setia membelanjakan RM20.2 juta sejak tahun 2000 menerusi Program Anak Angkat Setia (SAP) bagi membantu pelajar-pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang memerlukan bantuan pendidikan tanpa mengira kaum dan agama.
Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, bantuan itu disalurkan kepada murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah dan penuntut institusi pengajian tinggi.
“Selain yuran pengajian, anak angkat yayasan ini juga menerima perbelanjaan harian untuk penginapan dan makanan. Setakat ini, seramai 11 anak angkat yayasan ini sedang menuntut di institusi pengajian tinggi awam,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan 2011 di sini semalam.
Turut hadir Pemegang Amanah Yayasan SP Setia, Tan Sri Aseh Che Mat; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Berhad, Tan Sri Liew Kee Sin; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan SP Setia, Datuk Liew Siong Sing dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Daya, Johor Bahru, Rohaidah Suradi.
Majlis itu bagi meraikan 190 anak angkat Yayasan SP Setia yang memperoleh kecemerlangan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Seramai 43 anak angkat yang mendapat semua A diberi Anugerah Paling Cemerlang beserta wang tunai RM200, 42 orang mendapat Anugerah Cemerlang beserta RM150 dan 105 diberi Anugerah Prestasi Paling Meningkat bersama RM50.
Setiap murid juga menerima sebuah kamus dwibahasa dan buku motivasi sebagai hadiah.
Tambah Lam Thye, dalam masa 10 tahun, 1,802 pelajar telah berjaya menerima anugerah kecemerlangan.
Pada majlis itu, Lam Thye turut menyampaikan anugerah kepada 20 guru dan tiga sekolah iaitu SK Taman Daya, Johor Bahru; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kong Nan, Batu Pahat dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Palaniandy, Kepala Batas, Pulau Pinang sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang diberikan dalam program tersebut.
Anak angkat dari SK Bintong, Kangar, Nur Irdiena Fatihah Sabri, 13, mengucapkan terima kasih kepada Yayasan SP Setia kerana membantu meringankan tanggungan beban ibu bapanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...