Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Thursday 12 January 2012

didik anak dengan kekuasaan Allah

Ada satu ketika dahulu, saya sendiri pernah mengalami kesukaran untuk menceritakan kebesaran Allah pada anak. Entah kenapa, kalau orang minta ceritakan tentang bisnes, laju sahaja mulut ini berkata-kata. Tapi, bila tiba disuruh bercerita tentang kebesaran Allah, bicara saya mula gagap dan terangkak-rangkak..macam kura-kura.
Apabila tersedar tentang perkara ini, saya mula mengesan bahawa, hal ini terjadi kerana setiap hari saya asyik sebut tentang bisnes, orang dan dunia. Sampaikan dunia telah mula menguasai hati saya. Lebih malang lagi, sampaikan saya tidak dapat menyebut tentang kebesaran pencipta dunia ini. Astaghfirullahal azim! Rasa malu yg teramat sangat pada Allah. Semoga Dia ampunkan saya.
Sedikit demi sedikit saya mulakan latihan. Setiap kali bercerita tentang dunia, saya akan selitkan cerita tentang kebesaran Allah. Sedikit pun jadi lah…
Mula-mula, cakap perkara yang simple dahulu pada anak..
Allah Maha Besar
Allah Maha Kuasa
Allah Maha Pemberi Rezeki
Allah Maha Penjaga
Allah Maha Bijaksana
Daripada perkataan simple ini, cuba kaitkan dengan apa yang ada di sekitar kita dan buat sedikit analisis. Kita boleh ambil contoh daripada anggota badan;
Lihat pada mata. Allah swt ciptakan mata di hadapan muka.
Analisis: Macam mana jika Allah ciptakan mata di belakang kepala. Mesti susah nak masukkan makanan ke dalam mulut kan?
Dakwah: Allah Maha Bijaksana dan Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk makhlukNya.
Tengok hidung pula.
Analisis: Bagaimana kalau lubang hidung menghadap ke atas? Tentu bila hujan turun, air hujan akan masuk ke dalam hidung. Mesti susah kan? Setiap kali hujan, hidung kena pakai payung 
Dakwah: Allah Maha Mencipta dan Memelihara. Dia ciptakan makhlukNya dan Dia akan pelihara setiap ciptaanNya.
Dan banyak lagi, kebesaran Allah yang boleh diceritakan tentang anggota badan….
Perbandingan rambut dan bulu-bulu badan yang lain. Rambut boleh memanjang. Tetapi, kenapa bulu mata tetap sama sahaja panjangnya?
Kenapa jari-jari manusia tidak sama tinggi?
Bagaimana cap jari manusia boleh berbeza antara satu sama lain?
Kesemuanya adalah bukti-bukti yang cukup untuk menunjukkan bahawa Allah swt Maha Berkuasa. Selepas bercerita tentang anggota badan, kita ceritakan pula tentang kehidupan alam. Peredaran siang dan malam. Kejadian hujan. Fenomena gempa bumi dan thunami.
Akhirnya, lebih banyak kita bercakap tentang kebesaran Allah ini, hati kita akan bertambah yakin kepada kekuasaan Allah swt. Allah swt boleh jadikan apa sahaja. Sedangkan makhluk tak dapat melakukan apa-apa tanpa keizinan daripada Allah swt.
Allah swt tidak perlukan pertolongan manusia untuk tukarkan siang dan malam. Allah swt tidak perlukan pertolongan manusia untuk turunkan hujan. Apabila Allah swt ciptakan gempa bumi dan thunami, tiada seorang manusia pun yang dapat mencipta mesin untuk menghentikannya.
Allah swt Maha Kuasa, makhluk tidak ada kuasa.
Bercerita mengenai kebesaran Allah memerlukan latihan setiap hari. Bermula dengan perkataan yang simple sahaja. Kemudian sedikit demi sedikit, Allah swt akan datangkan ilham mengenai analisis kebesaran Allah swt. Semakin kerap kita bercakap mengenai kebesaran Allah, semakin dalam analisis yang akan dapat kita fikirkan.
Semuanya berpunca daripada, iman yakin terhadap kekuasaan Allah swt yang sudah mula menguasai hati. Secara fitrahnya, apa yang ada di dalam hati, akan terlontar melalui kata-kata. Mulakan dengan bercakap tentang kebesaran Allah swt kepada anak-anak. Kemudian, luaskan skop percakapan kepada ahli keluarga dan kawan-kawan.
Ingatlah, semakin kerap kita bercakap mengenai kebesaran Allah swt, maka semakin kerap juga lah iman kita akan meningkat. Apabila iman kita meningkat, mudah-mudahan, semakin mudah lah untuk kita mengamalkan perintah Allah. InsyaAllah

sumber : anakku soleh

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...