Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Monday 16 January 2012

Persatuan, NGO perlu keluar dari takuk lama - Rosmah


PEKAN 15 Jan. - Setiap persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) digesa supaya keluar dari takuk lama dan bersedia menerima idea-idea yang baru agar dapat mengangkat institusi mereka ke tahap yang lebih tinggi.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, program-program yang dianjurkan oleh NGO-NGO kini masih berlegar sekadar dalam kalangan ahli serta yang berkenaan sahaja.
"Justeru langkah ke hadapan yang dirasakan wajar perlu dilakukan dengan terus memperkukuhkan, memperhebatkan dan menambahbaikkan lagi usaha-usaha yang sedia ada.
"Adalah jelas bahawa setiap persatuan dan badan NGO tidak perlu lagi kekal di takuk lama dengan penganjuran aktiviti dan program yang berbentuk rutin," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Persatuan dan Badan NGO Parlimen Pekan di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Wanita UMNO Bahagian Pekan, Datuk Halimah Hamzah; Pengerusi Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Pekan, Datin Adilah Mohd. Taib dan Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Pekan, Datuk Melati Ali.
Seramai 700 daripada 14 NGO dan persatuan yang terdiri daripada keahlian wanita seperti Pertubuhan Perkumpulan Wanita Daerah Pekan, Persatuan Pandu Puteri Malaysia Pahang, Persatuan Isteri-Isteri Nelayan dan Puspanita Pekan hadir pada majlis itu.
Rosmah berkata, pemimpin dan ahli-ahlinya perlulah keluar dari zon selesa dan sebaliknya berani berfikir luar daripada jangkauan serta bersedia menerima idea-idea baru.
"Pada pandangan saya, hanya melalui strategi sedemikian, kita akan dapat mengangkat persatuan ke tahap yang lebih tinggi dan membanggakan," katanya.
Dalam pada itu, katanya, program dan aktiviti persatuan dan badan NGO juga perlulah dirancang supaya sealiran dengan perubahan semasa.
"Mereka perlulah lebih peka dengam peredaran zaman. Sudah tentu keadaan psikologi dan pertumbuhan minda masyarakat sekarang lebih jauh dengan masa-masa yang lalu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...