Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Monday 16 January 2012

DRB-Hicom beli 42 peratus ekuiti Proton


KUALA LUMPUR - Khazanah Nasional Berhad akan melupuskan pegangannya sebanyak 42.74 peratus dalam Proton Holdings Berhad kepada Kumpulan DRB-Hicom pada harga pertimbangan RM5.50 sesaham atau RM1.291 bilion.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan DRB-Hicom juga akan membeli saham-saham berbaki yang belum lagi dimiliki oleh syarikat itu pada harga pertimbangan RM5.50 sesaham.

Kumpulan  yang mempunyai kaitan dengan taikun Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary berkata, cadangan pengambilalihan itu dijangka mampu mewujudkan sinergi dan peluang perniagaannya dan Proton mengembangkan program vendor tempatan.
DRB-Hicom berkata, cadangan itu dijangka tidak memberikan kesan kepada pendapatan dan pendapatan sesaham DRB-Hicom untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac ini memandangkan cadangan itu dijangka selesai dalam suku kedua 2012.
“Cadangan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan kerana Proton telah pun sedia menjana pendapatan.” katanya.
Dalam pada itu, Khazanah Nasional Bhd mengumumkan menjual 42.74 peratus kepentingannya dalam Proton Holdings Bhd kepada DRB-Hicom Bhd menerusi jualan bersyarat dengan harga RM5.50 sesaham atau RM1.291 bilion.
Dalam satu kenyataan hari ini, Khazanah berkata, keputusan itu dibuat berikutan perbincangan dan penilaian terperinci pelbagai cadangan memastikan  proses itu diteliti, nilai kewangan yang wajar telah diterima dan pemegang saham baru yang  boleh membawa syarikat pembuat auto nasional itu ke peringkat pertumbuhan strategik seiring aspirasi perindustrian sektor automotif nasional.
Penjualan itu masih lagi tertakluk kepada kelulusan pemegang saham DRB-Hicom.
“Sebaik selesainya perjanjian jual dan beli, DRB-Hicom perlu melaksanakan tawaran awam mandatori ke atas baki saham Proton,” katanya.
Pengarah Urusan Khaza­nah, Tan Seri Azman Mokhtar berkata, menurut penilaian menyeluruh, cadangan itu menawarkan strategi perniagaan jelas dan boleh dilaksanakan, DRB-Hicom telah dikenal pasti sebagai pihak paling sesuai untuk mengambil alih kepentingan dalam Proton.
“Cadangan DRB-Hicom turut memperlihatkan penglibatan menyeluruh syarikat dalam sektor automotif dan rangkaian kerjasama strategik, tempatan dan antarabangsa.
“Cadangan strategi dan pelan perniagaan DRB-Hicom menyediakan platform efektif bagi meningkatkan kemampanan Proton dan memenuhi keperluan pertumbuhan jangka panjang selain turut mengemukakan harga tawaran boleh diterima kepada Khazanah,” katanya.
Pengumuman oleh cabang pelaburan kerajaan itu sekali gus menjawab segala persoalan mengenai pihak yang akan mengambil alih kepentingan besar dalam syarikat pembuat auto negara itu bagi memacu syarikat berkenaan ke arah kejayaan yang lebih hebat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...