Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Monday 16 January 2012

Latihan kerja pembantu rumah 200 jam dipantau

 
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia akan memantau dari semasa ke semasa sesi latihan kerja wajib selama 200 jam yang diikuti lebih 50,000 pembantu rumah warga Indonesia sebelum dihantar bekerja ke negara ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, selain menghantar pegawai kementerian itu, proses pemantauan juga dilakukan Jawatankuasa Bertindak yang ditubuhkan untuk pengambilan pembantu rumah asing itu.
“Pemantauan itu perlu bagi memastikan modul yang diberikan dipatuhi dan dapat diikuti warga Indonesia yang mahu bekerja di negara ini.
“Prestasi peserta latihan akan menjamin sama ada mereka akan memperoleh Sijil Kemahiran Kompentensi dan seterusnya berpeluang mendapat kerja, ” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam memaklumkan kumpulan pertama pembantu rumah warga Indonesia dijangka dibawa masuk ke negara ini mulai akhir Februari ini atau awal Mac.

Sebelum ini, Indonesia membekukan kemasukan amah ke Malaysia sejak Jun 2009 berikutan beberapa kes penderaan dan penganiayaan terhadap pembantu rumah negara itu.

Bagaimanapun, hasil pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pada Perundingan Tahunan Malaysia Indonesia kali ke-8 di Lombok, Indonesia, tahun lalu, keputusan itu ditarik balik.
Maznah berkata, latihan menumpukan beberapa aspek termasuk kerja asas pembantu rumah seperti mencuci, menjaga bayi, menggunakan peralatan elektrik dan mengenali serta memahami budaya masyarakat di negara ini.

Mengenai gaji, katanya, kerajaan tidak pernah bersetuju dengan sebarang kadar gaji, sebaliknya memberi kelonggaran kepada majikan untuk berbincang dengan pekerja berhubung perkara itu.

“Tidak jadi masalah sebanyak mana gaji yang diberi dengan syarat ia dipersetujui majikan dan pembantu rumah,” katanya.

Beliau mengingatkan majikan supaya mendapatkan khidmat 121 agensi pekerja asing yang dipilih kementerian kerana kos yang ditetapkan adalah RM4,511 termasuk RM2,711 ditanggung majikan dan RM1,800 ditanggung pekerja itu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...