Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Thursday 26 January 2012

Defisit pertama Jepun selepas 31 tahun


TOKYO 25 Jan. - Jepun berkata negara itu telah mengalami defisit perdagangan tahunan pertamanya selepas 31 tahun ekoran bencana alam yang melanda pada Mac lalu selain pengukuhan Yen yang menjejaskan eksport serta peningkatan harga minyak yang mendorong kenaikan bil import.
Ia mencatat defisit barangan sebanyak 2.49 trilion Yen, kata menteri kewangannya.
Nilai import pula meningkat 12 peratus berbanding 2010 terutama sekali bagi minyak mentah dan gas cecair asli (LNG) sementara eksport jatuh 2.7 peratus diterajui automobil, semi konduktor dan komponen-komponen lain.
Selepas bangkit daripada kehancuran semasa Perang Dunia Kedua, Jepun membina negara tersebut sebagai sebuah ekonomi perdagangan dan menikmati lebihan perdagangan yang berterusan disokong oleh eksport kenderaan pada harga kompetitif, barangan elektronik serta pelbagai produk lain.
Bagaimanapun, negara tersebut mengalami kerugian teruk pada 2011 selepas bencana alam gempa bumi dan tsunami memusnahkan rangkaian bekalan selain menyebabkan kilang nuklearnya mengalami kerosakan sekali gus memaksa negara tersebut mengimport minyak bagi menjana kuasa.
Krisis hutang Eropah juga turut memperlahankan ekonomi global dan menyebabkan pedagang terburu-buru menyelamatkan Yen yang mengakibatkan kenaikan mata wang tersebut, sekali gus menjejaskan pengeksport Jepun.
Kali akhir Jepun mencatat defisit perdagangan adalah pada 1980 apabila negara yang miskin sumber asli itu terasa bahang daripada krisis minyak kedua dan import melebihi eksport sebanyak 2.6 trilion Yen.
Pada 2010, negara matahari terbit itu merekodkan lebihan dagangan sebanyak 6.6 trilion Yen tetapi pada 11 bulan pertama ia telah mencatat defisit sekitar 2.3 trilion Yen.
"Ia adalah tahun paling teruk yang pernah dialami oleh perdagangan Jepun sejak 1980. Ia disebabkan oleh eksport yang merudum dan dalam masa yang sama peningkatan eksport yang mendadak apabila negara perlu mencari tenaga alternatif. Perdagangan menuju ke arah yang negatif di kedua-dua hala, " kata Pakar Ekonomi Daiwa Institute of Research, Satoshi Osanai.
Permintaan Jepun bagi minyak dan bahan api lain tidak melihatkan sebarang penurunan dalam tempoh terdekat dan Osanai menjangkakan harga bagi sumber-sumber tersebut akan kekal tinggi, sekali gus mencetuskan impak yang sangat negatif.
Pengukuhan Yen berbanding Dolar Amerika juga mengulangi sejarah yang berlaku selepas Perang Dunia Kedua pada 2011 dan kekal untuk menghampiri paras tertingginya turut menyumbang kepada penurunan kos import bagaimanapun memberi kesan negatif yang lebih besar kepada eksport.
Pakar Ekonomi UBS, Daiju Aoki memberi amaran bahawa Jepun bakal mengulangi rekod perdagangan defisit.
"Apabila negara semakin berusia, keupayaan pengeluarannya akan menurun dan ini akan menjejaskan kekuatan eksportnya.
Jepun diramal meneruskan defisit perdagangan pada satu jangka masa yang panjang, ia mungkin akan kembali ke landasan yang betul pada tahun ini atau 2013 tetapi 'penderitaan' akibat defisit akan terus dirasai, " katanya lagi. - AFP

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...