KUALA LUMPUR - Bapa Mohd Saiful, Azlan Mohd Lazim berkata, keadaan anaknya kini baik dan sedang menjalani kehidupan seperti biasa - tiga hari selepas Mahkamah Tinggi memutuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas daripada tuduhan meliwat.

"Saiful sihat dan kini sedang bekerja di salah sebuah syarikat di Kuala Lumpur.

"Keadaan beliau juga menerima keputusan mahkamah dengan hati terbuka tetapi sebagai ayah, hak anak saya untuk merayu habis-habisan akan diteruskan demi maruah anak saya," katanya pada sidang media di rumahnya di Bandar Utama, petang tadi.

Kata beliau, sokongan orang ramai dan kawan-kawan amat dihargai di mana mereka turut bersimpati di atas kejadian yang berlaku tetapi mereka sekeluarga tetap redha.

Bagaimanapun, menurut Azlan, beliau sekeluarga akan menunggu tempoh 14 hari yang ada bagi Peguam Negara untuk mengemukakan rayuan supaya Saiful mendapat pembelaan sewajarnya.