Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Wednesday 11 January 2012

TANDA, SEBAB DAN KESAN SOMBONG


PERKATAAN kibir mengikut istilah bahasa, ertinya ialah sombong atau angkuh. Pengertian dalam bahasa moden ialah ego. Mengikut syariat Islam, erti kibir ialah membesarkan diri kerana merasakan diri mempunyai kelebihan dan keistimewaan sehingga lupa kepada الله dan menderhakainya. Pengertian mengikut istilah syariat inilah yang akan dihuraikan di sini.

Sifat kibir atau sombong atau angkuh atau ego bermakna membesarkan diri kerana hati merasakan diri mempunyai kelebihan, keistimewaan dan kehebatan. Ia merupakan sifat mazmumah (keji) yang paling keji. Bahkan ia adalah sifat batin yang sangat jahat.

Dosa dan kesalahan pertama yang dilakukan oleh makhluk الله terhadap الله ialah sifat sombong. Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam alaihissalam sewaktu الله memerintahkannya. Dia membesarkan diri lantaran merasakan dirinya lebih utama dan lebih mulia daripada Nabi Adam alaihissalam. Kejadiannya daripada api sedangkan Nabi Adam alaihissalam daripada tanah. Itu saja penyebab yang dia rasa dirinya lebih hebat dan istimewa.

Peristiwa kesombongan iblis ini الله ceritakan dalam Al Quran, firman-Nya:

    Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir. (Al Baqarah: 34)
Di sini الله menceritakan bagaimana keengganan iblis untuk tunduk dan taat dengan arahan الله. Bahkan ia membesarkan diri kerana merasa dirinya lebih hebat dan mulia daripada Nabi Adam alaihissalam. Maka dia menjadi kafir dan menerima kutukan الله dunia Akhirat. الله keluarkan dia dari Syurga yang penuh nikmat dan menukar wajahnya menjadi seburuk-buruk rupa. Di sinilah bermula dendamnya kepada Nabi Adam alaihissalam. dan anak cucu cicitnya yang tidak pernah padam sesaat pun. Jelas, daripada penyakit sombong ini akan lahirlah penyakitpenyakit batin yang lain seperti pemarah, pendendam dan hasad dengki.

Sifat sombong ini hanya layak bagi الله. Ia pakaian Tuhan maka makhluk tidak berhak memakainya. الله SWT berfirman dalam Hadis Qudsi:
    “Sombong itu selendang-Ku dan keagungan adalah sarung-Ku. Barangsiapa merampas salah satu darinya, Aku lemparkan dia ke Neraka Jahannam.” (Riwayat Abu Daud)
Di antara ayat Quran yang sangat melarang kita memakai sifat kibir ini ialah:
    “Sesungguhnya orang-orang yang meyombongkan diri daripada menyembah-Ku, akan masuk ke Neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.” (Al Mukmin: 60) “Janganlah kamu berjalan dengan menyombomgkan diri kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan ketinggianmu tidak akan melepasi gunung.” (Al Israk: 37) “Sesungguhnya الله tidak suka kepada orang yang sombong.” (An Nahl: 23)
Sedangkan sifat-sifat dan nama-nama-Nya yang lain yang sebanyak 99 (Asmaul Husna) itu tidak salah untuk hamba-hamba-Nya memilikinya. Misalnya sifat Rahman, Rahim, Kaya, Kasih Sayang, Pemurah, Pemaaf, Alim dan lain-lain lagi. Ini dibenarkan bahkan diperintahkan supaya kita memilikinya.

Oleh kerana sifat sombong ini menjadi punca tercetusnya penyakit-penyakit batin (mazmumah) yang lain sehingga melahirkan kejahatan-kejahatan lahiriah yang banyak di tengah kehidupan masyarakat, maka sombong ini sangat dikeji dan dimurkai الله. Rasulullah صلی  ﷲ  علیﻪ و سلم  juga ada mengingatkan dalam Hadis baginda tentang bahayanya sifat sombong.


Tidak akan masuk Syurga, ertinya ke Nerakalah sebaliknya. Dengan membawa sikap sombong, di dunia lagi orang tidak suka dan tidak ada kedamaian jiwa. Di Akhirat dia akan ke Neraka. Oleh sebab itu sombong ini mesti dicabut sampai ke akar umbinya hingga tidak ada walaupun sebesar zarah, barulah kita selamat.

Menurut Imam Al Ghazali, sifat sombong ini hampir-hampir mustahil dapat dibuang. Oleh itu kita mesti mengenal pasti lebih dahulu tanda-tanda penyakit ini dan sebab atau punca-punca penyakit supaya mudah mengubati atau mengikisnya.




Langkah-langkah untuk mengenal pasti adanya penyakit ini ialah melalui pergaulan sesama manusia. Melalui pergaulan, akan dapat dikesan sifat sombong sama ada sombong yang keterlaluan, sederhana atau ringan.

Apakah tanda-tanda seseorang itu memiliki sifat sombong? Di antaranya:
    1.      Susah untuk  menerima pandangan orang lain. 
    2.      Mudah marah atau emosi, cepat tersinggung atau cepat naik darah kalau ada orang tersilap atau tersalah.
    3.      Memilih-milih kawan - suka berkawan hanya dengan orang yang ssama taraf dengannya.
    4.      Memandang hina pada golongan bawahan. 
    5.      Dalam perbahasan atau perbincangan, selalunya dia suka meninggikan suara atau menguatkan suara lebih daripada yang diperlukan.
    6.      Dalam pergaulan dia suka kata-katanya didengari, diambil perhatian dan diikuti. 
    7.      Dalam pergaulannya, dia saja yang hendak bercakap dan tidak suka memberi peluang kepada orang lain bercakap. 8.      Kalau dia jadi pemimpin, dia memimpin dengan kasar dan keras terhadap pengikut atau orang bawahannya, memeri  arahan tanpa timbang rasa dan tidak ada perikemanusiaan.  Jika dia menjadi pengikut, susah pula untuk taat dan patuh pada pemimpinnya. 
    9.      Susah hendak memberi kemaafan kepada orang yang tersilap dengannya. Di belakangnya diumpat-umpat. 
    10.  Kalau dia yang bersalah, susah dan berat hendak minta maaf. Bahkan dia tidak mengaku bersalah. 
    11.  Dia suka dihormati. Tersinggung kalau tidak dihormati. Tetapi dia sendiri susah atau berat untuk menghormati orang lain. 
    12.  Mudah berdendam dengan orang lain terutamanya bila orang itu tersilap.
    13.  Suka menzalimi orang sama ada secara kasar atau secara halus. 
    14.  Kurang bermesra dengan orang kecuali terpaksa kerana perlukan orang itu atau kerana takutkan orang itu. 
    15.  Suka memperkatakan keburukan orang seperti mengumpat, memfitnah serta membenci orang. 
    16.  Kurang menghormati pemberian orang atau tidak menghargai pemberian orang lain. 
    17.  Suka mengangkat-angkat diri atau menceritakan kelebihan diri. 
    18.   Suka menghina dan menjatuhkan air muka orang di hadapan orang lain. 
    19.  Kurang menghormati nikmat-nikmat الله. Kalau ada makanan, berlaku pembaziran atau membuang makanan yang berlebihan. Kalau ada pakaian walaupun masih elok dipakai tetapi suka berganti dengan yang baru. Pakaian yang lama dibuang. Kalau ada duit lebih, suka beli barang yang tidak diperlukan. Semua itu lebih digemari daripada memberi nikmat yang berlebihan itu kepada orang lain. 
    20.  Kalau berdiri, lebih suka bercekak pinggang (kerana membesarkan diri). Kalau bercakap, menepuk-nepuk meja dan suka mencemik. Kalau berjalan suka bergaya, menghentak-hentak kaki atau berjalan membusung dada. 
    21.  Kurang memberi simpati atau kurang menolong orang lain melainkan ada tujuan-tujuan dunia atau kerana takut dengan orang itu. 
    22.  Kurang minat menerima tetamu atau tidak suka jadi tetamu orang. 
    23.  Tidak suka menyebut kelebihan-kelebihan orang lain kerana takut mencabar dirinya. 
    24.  Kesalahan-kesalahan orang lain dibesar-besarkan sedangkan kesalahan sendiri didiamkan, disorokkan, cuba mempertahankan diri supaya orang menganggap dia tidak bersalah. 
    25.  Sangat tidak senang dengan kejayaan atau kebolehan orang lain. 
    26.  Dia sangat tersinggung kalau ada orang memuji-muji atau menyebut kelebihan-kelebihan orang lain di hadapannya. Tetapi kalau dia dipuji, terserlah pada air mukanya rasa bangga dan senang hati.

Senarai tanda-tanda, riya’-riya’ atau sikap-sikap di atas sudah cukup jelas untuk kita dapat mengenali sifat sombong ini. Bila sudah dikenal pasti ertinya memudahkan kita mengatasi atau mencabut sifat keji ini.




Sebelum mencabut sifat sombong yang keji ini perlu kita tahu kenapa sifat ini boleh berlaku. Ini juga merupakan faktor pembantu untuk memudahkan kita mengikis sifat ini. Faktor-faktor penyebab yang menjadikan seseorang itu memiliki sifat-sifat sombong, di antaranya ialah:
    1.      Memiliki kuasa - sama ada dia memiliki kuasa besar atau kecil. Kuasa yang ada itu mendorongnya menjadi sombong. 
    2.      Mempunyai ilmu pengetahuan - sama ada pengetahuan tentang dunia atau pengetahuan tentang Akhirat. Sama ada pengetahuan di banyak bidang atau di satu bidang. Ini jadi pendorong seseorang itu menjadi sombong kerana dia rasa lebih pandai daripada orang lain. 
    3.      Mempunyai harta kekayaan - Harta juga mendorong seseorang itu menjadi sombong. 
    4.      Mempunyai kegagahan - iaitu orang yang mempunyai kekuatan fizikal atau mempunyai kepandaian dalam mempertahankan diri seperti tinju, gusti, tae kwan do, silat dan lain-lain lagi. 
    5.      Keturunan - Ada orang jadi sombong kerana berketurunan bangsawan, berketurunan ulama dan lain-lain lagi, lantas merasa diri mulia serta memandang orang lain hina berbanding dengan dirinya. 6.      Sebab-sebab yang lain - seperti berwajah tampan dan cantik, disayangi oleh orang besar, disayangi suami, disayangi oleh ibu ayah dan lain-lain lagi.


Golongan yang sombong di taraf ini bilamana tidak sedar atau tidak kenal dirinya yang sebenar, inilah yang jadi pendorong dia bersifat sombong. Bersebab atau tidak, sifat sombong tetap mesti dicabut dan dibuang.  Jika tidak, ia akan memberi kesan yang buruk di tengah kehidupan masyarakat.




Di antara kesan sifat sombong ialah:
    1.       Orang benci kepadanya. Fitrah semula jadi manusia tidak suka kepada orang yang bersifat sombong ini. Hati yang benci-membenci tentulah tidak ada kasih sayang, akhirnya tidak wujud perpaduan. Ini bererti umat Islam tidak ada kekuatan.
    2.      Mudah marah, di mana kebiasaannya kemarahan akan berakhir dengan perbalahan dan pergaduhan. 
    3.      Bilamana wujud sifat sombong, lahirlah penyakit yang berikutnya iaitu mudah berdendam, hasad dengki, bertindak balas di atas kesilapan orang lain, sakit hati terhadap kejayaan dan kebolehan orang lain sehingga berusaha sedaya upaya untuk merosakkan atau menjatuhkan orang itu. Akhirnya tentulah timbul permusuhan sesama manusia.

Kesombongan sangat membahayakan masyarakat manusia dan dunia seluruhnya. Lantaran ini الله sangat murka dan الله tempatkan mereka ini di Neraka bersama Firaun, Namrud, Hamman dan lain-lain orang yang zalim dan angkuh itu.



Memandangkan betapa merbahayanya penyakit ini maka usaha-usaha lahir mesti dibuat untuk membendungnya. Beberapa panduan dan kaedah diberi untuk mengikis-buang dan mengubatinya secepat mungkin secara serius supaya kita tidak terus mengidap penyakit yang mengerikan ini.

Di antara cara-caranya ialah:
    1.      Mempunyai ilmu tentang sifat-sifat mazmumah Adanya ilmu ibarat ada cahaya yang mampu menyuluh sifat-sifat mazmumah di dalam diri itu termasuk sifat kibir atau sombong. Perlunya ilmu kerana ia merupakan sifat batiniah yang sesetengah orang payah mengesannya tetapi mudah pula dikesan oleh orang lain. 
    2.      Selalu berfikir tentang kejadian manusia Sedarkan hati kita bahawa soal kejadian manusia itu adalah sama. Yakni daripada tanah dan mati kembali ke tanah semula. Walau bagaimana hebat sekalipun seseorang itu, kejadiannya sama dengan orang lain. Walaupun berdarjat, berpangkat, berkuasa, berharta, berilmu, sama ada yang alim atau tidak, yang kaya atau miskin, yang cantik atau buruk, namun mereka semuanya berasal daripada tanah. Lihatlah raja-raja besar seperti Firaun. Walau bagaimana hebatnya dia sehingga mengaku dirinya tuhan, di manakah dia sekarang? Bukankah dia tidak dapat mempertahankan kehebatannya, akhirnya mati dan kembali ke tanah! Jadi untuk apa dibangga-banggakan dengan kehebatan dan keistimewaan masing-masing. Sedangkan semuanya setaraf, yakni berasal daripada tanah dan akhirnya kembali ke tanah jua. Tidak mampu untuk memanjangkan umur sendiri.
    3.      Sedarkan hati bahawa kejadian manusia yang kedua adalah daripada air mani yang hina Kalau diperlihatkan kepada manusia, amat jijik dan benci sekali untuk melihatnya. Ertinya, kejadian manusia itu tidak ada beza di antara satu sama lain, sama ada orang kaya, orang berilmu, pembesar atau lain-lain lagi, semuanya berasal daripada air mani yang hina.  
    4.      Melihat respons orang lain terhadap kita Dalam pergaulan hidup, dapat dikesan respon orang lain kepada kita. Kalau kita sombong, semua orang akan benci. Anak isteri, jiran-jiran, sahabat tidak suka. Apa pendapat kita? Adakah kitaberuntung mempertahankan sikap begitu? 
    5.      Ambil iktibar dari pengalaman hidup Apabila ada kelebihan, keistimewaan dan kehebatan, bolehkah bersifat sombong? Apakah kita berkuasa mengelakkan diri daripada sakit, bencana alam dan lain-lain lagi? Apakah anda mampu melawan kematian dengan kesombongan dan kekibiran itu?  
    6.      Ingat azab الله untuk orang yang sombong Cubalah renungkan. Ingatkanlah di hati bahawa sombong ini sangat dimurkai oleh الله. Kita dianggap sudah merampas pakaian-Nya. Akibatnya, kita akan dicampakkan ke Neraka yang panas apinya 70 kali ganda kekuatan api dunia dan dalamnya 70 ribu tahun perjalanan baru sampai ke dasarnya.

Perkara-perkara di atas tadi perlu difikir-fikirkan, direnung-renungkan dan diulang-ulang memikirkannya. Diingat selalu dalam hati hingga tidak dapat dilupakan lagi. Kesannya nanti akan timbul rasa malu dan takut untuk kita bersikap ego dengan Tuhan dan dengan manusia. Dengan cara-cara atau kaedah ini moga-moga membantu kita mudah untuk bermujahadah menumpaskan sombong ini. Harapan kita moga-moga الله sentiasa memimpin kita agar menjadi hamba-hamba-Nya yang merendah diri.


[ Semua Gambar Adalah Hiasan ]


___________________
Disunting dari:
http://www.usahataqwa.com/rohaniah/sombong

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...