Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Wednesday 11 January 2012

UiTM diarah bayar lebih RM250,000


SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, semalam memerintahkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) membayar lebih RM250,000 kepada bekas pelajarnya yang cedera teruk akibat terjatuh di premis institusi itu, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Hinshawati Shariff membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan seorang Eksekutif Bank, Nur Fairuzah Amat @ Saini terhadap UiTM, dengan kos.

Beliau mengarahkan UiTM membayar ganti rugi RM254,058.99 kepada plaintif termasuk
  1. ganti rugi istimewa RM24,058.99; 
  2. ganti rugi am dan kos pembedahan pada masa depan (RM70,000); 
  3. ganti rugi untuk penderitaan serta kehilangan upaya serta
  4. ganti rugi kerana kehilangan keupayaan mendapat lebih tiga anak berikutan kejadian itu.
Nur Fairuzah, 30, yang memfailkan tuntutan pada 2008, menyatakan beliau pelajar sepenuh masa di kampus defendan dan mengikuti kursus di peringkat ijazah dalam bidang perakaunan dari 2003 hingga 2005.

Plaintif yang berjaya menamatkan pengajiannya, diminta hadir oleh defendan di premis bangunan universiti itu iaitu di Bangunan Menara Sultan Abdul Aziz Shah untuk mengambil jubah dan menyertai raptai konvokesyen pada 21 Mei 2006.

Beliau menyatakan, ketika berada di tingkat dua lobi lif bangunan berkenaan, plaintif terlanggar sesuatu dan hilang keseimbangan lalu terjatuh dari balkoni ke tingkat bawah, pada ketinggian kira-kira 20 kaki.

Nur Fairuzah menyatakan, ketika kejadian, kawasan di depan lif itu
  • dalam proses ubah suai naik taraf kerana ada banyak pasir dan bahan binaan manakala 
  • besi penghadang mengelilingi balkoni berkenaan dialihkan untuk kerja pembinaan, tanpa notis amaran atau papan tanda.
Beliau menyatakan, defendan gagal
  • mengambil langkah pencegahan kemalangan secukupnya di kawasan dan di sekitar kawasan yang sedang diubah suai itu, 
  • gagal mempamerkan papan tanda atau notis amaran kepada orang ramai dan plaintif supaya berhati-hati selain 
  • gagal menutup kawasan itu daripada dimasuki plaintif.

Plaintif juga menyatakan dalam tuntutannya, berikutan kejadian itu, beliau dikejarkan ke hospital dan dirawat selama sebulan akibat cedera teruk, termasuk menjalani pembedahan di bahagian tulang belakangnya.

Dalam penghakiman itu, Hinshawati turut mengarahkan UiTM menanggung 70 peratus daripada liabiliti berkenaan manakala 30 peratus lagi ditanggung oleh syarikat kontraktor yang menjalankan kerja ubah suai itu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...