Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Monday 16 January 2012

Keputusan kes mutaah bekas menantu Taib Mahmud 31 Jan


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Syariah menetapkan 31 Januari ini untuk membuat keputuskan berhubung beberapa permohonan dalam kes tuntutan mutaah berjumlah RM100 juta yang difailkan bekas menantu Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Shahnaz A. Majid.

Ketua Hakim Syarie Datuk Muhammad Abdullah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Saadiah Din yang mewakili Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib dan peguam Shahnaz, Dr Mohd Rafie Mohd Shafie.

Beliau turut memberi tempoh seminggu kepada Shahnaz untuk memasukkan hujah terakhir. Antara permohonan yang difailkan Shahnaz, 49, dalam tuntutan mutaah yang bermaksud saguhati selepas perceraian itu ialah permohonan notis tunjuk sebab terhadap bekas  suaminya, Mahmud Abu Bekir, 49, yang didakwa telah mengingkari perintah mahkamah.

Pada 31 Januari itu juga, mahkamah akan membuat keputusan permohonan anak sulung kepada Ketua Menteri Sarawak itu untuk mengenepikan notis tunjuk sebab itu.

Di luar mahkamah, Saadiah memberitahu pemberita bahawa Shahnaz mengemukakan bantahan terhadap peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang turut mewakili bekas suaminya. Ini kerana Zainul Rijal merupakan Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan dibimbangi akan berlaku konflik kepentingan jika beliau mewakili Mahmud Abu Bekir dalam kes itu.

Sementara itu, Mohd Rafie berkata pihaknya menghantar sapina kepada tujuh saksi termasuk Abdul Taib dua minggu lepas untuk memberi keterangan dalam kes tuntutan mutaah tersebut.

Shahnaz, kakak Ratu Jazz negara Datuk Sheila Majid, turut menfailkan tuntutan harta sepencarian berjumlah RM300 juta terhadap Mahmud Abu Bekir.

Pada 5 Ogos lalu, Shahnaz memperoleh kebenaran bagi memulakan prosiding tunjuk sebab terhadap Mahmud Abu Bekir mengapa bekas suaminya itu tidak boleh dikenakan tindakan selepas didakwa mengingkari perintah mahkamah.

Perintah itu adalah untuk Mahmud Abu Bekir, seorang ahli perniagaan, menzahirkan semua dokumen berkaitan harta miliknya termasuk akaun simpanan bank, akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), penyata cukai dan penyata kewangan bulanan atau tahunan.

Jika gagal berbuat demikian, beliau boleh disabit dan dikenakan hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM2,000.

Antara lain, Shahnaz menuntut beberapa rumah, beratus hektar tanah di Sarawak dan di Bukit Tunku di sini serta beberapa kereta mewah diisytiharkan sebagai harta sepencarian.

Pada 11 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Syariah mengesahkan penceraian Mahmud Abu Bekir dan Shahnaz dengan talak satu.

Pasangan itu, yang berkahwin pada 9 Januari 1992, dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya, 19. - Bernama
 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...