Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Wednesday 11 January 2012

Hasan Ali pastinya tidak berdiam diri



SHAH ALAM - Pas yang memecat Datuk Dr Hasan Ali, Ahad lalu dipercayai bimbang kemungkinan bekas Pesuruhjaya Negeri Selangor akan mendedahkan rahsia-rahsia parti termasuk desas-desus bahawa wujud perundingan membentuk kerajaan perpaduan tiga tahun lalu, kata penasihat pusat kajian Ilham Centre.

Muhamad Hisomudin Bakar berkata, tindakan Pas memecat Hasan sebenarnya tidak akan membawa kepada perpecahan atau kesan yang mendalam, sebaliknya pemimpin-pemimpinnya bimbang mereka akan berhadapan dengan senario yang dialami oleh PKR sebelum ini.

PKR, rakan Pas dalam Pakatan Rakyat, berhadapan dengan siri pendedahan mengenai persekitaran dalaman parti itu dan juga berkaitan dengan Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas sekumpulan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri keluar parti dan menjadi wakil rakyat mesra Umno dan Barisan Nasional.

"Pas bimbang kalau-kalau isu atau rahsia parti didedahkan kepada media kelak," kata beliau sambil menambah, Hasan sudah tentu tidak akan berdiam diri."

"Saya pasti Hasan Ali akan bergerak selepas ini... ini yang akan menjadi kebimbangan pemimpin Pas, dari segi perpecahan, saya tidak melihat akan membawa kesan besar," kata beliau yang sebelum ini meruparakan Pengarah Eksekutif Ilham Centre.

Hasan mempunyai tempoh 30 hari untuk membuat rayuan kepada parti.

Surat pemecatan dikeluarkan tengah hari kelmarin.Isu kerajaan perpaduan melibatkan Umno dan Pas menjadi fokus arena politik tempatan sejurus selepas pilihan raya umum 2008.

Hasan, Exco Kerajaan Negeri Selangor, disenaraikan sebagai antara pemimpin yang bergerak ke arah mewujudkan kerajaan perpaduan.

Perak dan Selangor, yang jatuh ke tangan pembangkang pada Mac 2008, merupakan antara negeri yang disebut-sebut menjadi sasaran usaha pembentukan kerajaan perpaduan.

Akhir bulan lalu, Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali mendakwa beliau mempunyai bukti untuk mengaitkan Hasan dengan Umno yang merujuk kepada satu pertemuan dengan individu-individu terbabit di sebuah hotel di ibu negara bulan Ramadan lalu.

Hasan menafikan mengenai dakwaan Mustafa mengenai pertemuan beliau bersama tiga individu yang mempunyai kaitan dengan Umno.

Hasan berkata: “Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai pertemuan saya dengan mereka sama ada pimpinan Umno di peringkat bawahan, pertengahan atau atasan pada masa dan tempat yang dinyatakan.

"Hasan bagaimanapun enggan mendedahkan identiti tiga individu yang temuinya.Hasan berkata, Mustafa sekali lagi terperangkap dengan prasangka buruk dan fitnah sesama Muslim.

Menurut beliau, Mustafa sebagai Setiausaha Agung kepada sebuah parti yang berteraskan Islam, tuduhan-tuduhan liar dan serkap jarang seperti itu tidak selayaknya keluar dari mulut seorang yang berwibawa.

“Setahu saya yang ada ialah pertemuan yang sebahagiannya berulang kali antara setiausaha agung dengan pemimpin-pemimpin tertinggi Umno.

“Bahkan terdapat permohonan daripada setiausaha agung sendiri untuk bertemu dengan seorang pemimpin Umno yang sehingga kini setakat yang saya maklum belum dapat diadakan,” katanya lagi.

Walaupun wujud idea berkenaan kerajaan perpaduan, tiga muktamar tahunan iaitu 2008, 2009 dan 2010 telah mengambil pendirian menolak, sebaliknya menegaskan, akan bersama dengan Pakatan Rakyat, yang diwujudkan selepas pilihan raya umum lalu.

Mengulas lanjut, Muhamad Hisomudin berkata, berdasarkan komen pemimpin-pemimpin Pas sepanjang sebulan lalu, seolah-olah wujud perbezaan pandangan khususnya membabitkan Pemuda Pas.

"Tetapi ia tidak membawa kesan besar, malah ia juga menunjukkan (kesan) kewujudan barisan kepimpinan profesional dan ulama susulan pemilihan (Jun lalu)," katanya.

Bagaimanapun kata beliau, sebahagian besar ahli Pas tidak dapat menerima apabila Hasan membuat reaksi penafian berkenaan kenyataan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, susulan pertemuan dengan dua pemimpin kanan parti di Kota Bharu akhir bulan lalu.

"Apabila Tok Guru Nik Aziz berkata Datuk Hasan meminta maaf dalam pertemuan 28 Disember lalu, tetapi Datuk Hasan menafikan, saya rasa ramai ahli Pas tidak dapat menerimanya, jadi apabila beliau dipecat, ramai dapat menerima keputusan parti," kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...