Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 10 January 2012

Ibu hamil redha kaki dipotong


YAN - “Saya reda kaki kanan terpaksa dipotong asalkan kandungan selamat,” demikian kata ibu hamil tujuh bulan yang terpaksa berdepan dengan takdir apabila kaki kanannya terpaksa dipotong akibat cedera parah dalam kemalangan.

Siti Asma Abd Majid, 24, berkata, kaki kanannya terpaksa dipotong dalam satu pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, jam 3 pagi 1 Januari lalu, akibat cedera parah setelah dirempuh sebuah kereta.

Menurutnya, dia pasrah dengan apa yang terjadi dan kini berharap agar kandungannya selamat sehingga dilahirkan iaitu 11 Mac depan.

Mengimbau kembali kejadian yang berlaku pada 31 Disember tahun lalu, Siti Asma berkata, ketika itu dia dan suaminya, Mohd Maizrien Mat Tahar, 26, menaiki motosikal untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Keda Sungai Udang dan berhenti sebentar di tepi jalan untuk berbual dengan abangnya.

“Saya dan suami duduk di atas motosikal sambil berbual dengan abang yang baru pulang dari laut di tepi jalan berhampiran sungai itu.

“Pada masa sama, saya sedar sebuah kereta dari arah sama menuju Kampung Keda Sungai Udang sangat laju dengan bunyi enjinnya yang kuat dan kami sempat menoleh ke arah kereta itu dari belakang,” katanya.

Siti Asma berkata, kemudian mereka menoleh semula ke arah abangnya dan menyambung perbualan.

Menurutnya, sejurus itu mereka dirempuh kereta berkenaan dan hanya menyedari ketika mendapati dirinya sudah berada di atas jalan dengan cedera parah di kaki kanan.

Dalam perkemba­ngan sama, Mohd Maizrien yang juga anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan berpangkat Lans Koperal berkata, dia dan Siti Asma melambung apabila dirempuh kereta berkenaan namun bersyukur keadaan kandungan Siti Asma selamat.

“Walaupun isteri saya terpaksa melakukan pembedahan memotong kaki kanannya hingga paras atas lutut akibat kecederaan parah, namun kami bersyukur keadaan kandungan anak sulung kami selamat,” katanya.

Mohd Maizrien berkata, dia turut cedera parah pada bahagian kaki kanan dan kini mereka berdua dirawat di Hospital Yan.

Penyelaras Parlimen Jerai, Datuk Suhaimi Abdullah turut meluangkan masa melawat mereka berdua di Hospital Yan, kira-kira jam 11 pagi, semalam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...