Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Monday 16 January 2012

‘Culik’ budaya Sasak

KUALA LUMPUR: “Tiada apa yang menghairankan kerana kaedah ‘culik’ ini memang menjadi amalan suku kaum Sasak di Pulau Lombok ini. Bukan sehari dua, tapi saya difahamkan sudah lebih 15 generasi dari zaman nenek moyang kami mengamalkannya.
“Mengikut adat Lombok, menculik bukannya bermakna mencuri, tapi lebih kepada mengambil. Gadis itu pula bukannya dibawa ke mana-mana, tapi diletakkan sementara di rumah orang berpengaruh dan boleh dipercayai di kampung sebelah lelaki sementara menunggu wakil keluarga pergi berbincang dan menetapkan tarikh perkahwinan,” kata Embar, 49, wakil masyarakat Sasak ketika ditemui di kampungnya di Desa Sade, Rembitan, baru-baru ini.

Katanya, sudah menjadi adat bagi mereka yang tinggal di pulau itu untuk menculik anak gadis sebelum dimaklumkan kepada keluarga dan diijab kabul dengan lelaki pilihan, malah perkara itu amalan kaum Sasak sejak beratus tahun dulu.
Menurutnya, sehingga kini ia masih diamalkan dan di kampungnya terdapat kegiatan ‘menculik’ oleh pemuda yang jatuh cinta dengan gadis dan kemudiannya perbincangan lanjut antara dua keluarga diaturkan sebelum tarikh perkahwinan ditentukan.

“Cuma ketika ini ia semakin moden. Kalau dulu, si lelaki perlu memencilkan diri di dalam hutan untuk upacara ‘menyucikan diri’ kerana dalam tempoh mendapat persetujuan keluarga perempuan, dia perlu bersih daripada dosa.

“Biasanya selepas perempuan diculik dan tidak kembali ke rumah semalaman, keluarganya akan bersetuju untuk dikahwinkan dengan pilihan hatinya selepas melalui proses perbincangan yang biasanya diuruskan kepala desa (penghulu) di sesebuah kampung,” katanya.


Perkara itu turut diakui seorang pemuda tempatan yang mahu dikenali sebagai Awan, 39, yang sudah menculik gadis bagi pihak rakannya sebanyak 10 kali di kampung berkenaan.

Katanya, dia membantu beberapa rakannya yang ingin berumahtangga dengan menculik bakal isteri mereka dan dibawa ke rumah individu berpengaruh di kampung dan kepakarannya itu digunakan pemuda lain yang memintanya melarikan bakal pengantin perempuan.
“Sama ada culik mereka di rumah atau lari mengikut saya berjumpa keluarga lelaki, itu tidak penting kerana mengikut adat di sini, jika sudah mendapat kebenaran ibu bapa, mereka akan disatukan dalam pernikahan,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan mempunyai rahsia tertentu untuk menculik perempuan, Awan yang mencari nafkah dengan melakukan kerja kampung berkata, tiada amalan tertentu untuk melakukan kegiatan itu kerana ia sudah menjadi adat dan sesiapa saja boleh melakukannya.

“Saya sendiri tidak ada kelebihan. Cuma, di sini, ia sudah diterima sebagai adat, jadi tiada masalah untuk menculik kerana masing-masing sudah faham dan menerima adat ini dengan hati terbuka. Paling mudah, jumpa dulu di luar rumah dan terus dibawa lari,” katanya yang mula menculik sejak 1994.

Seorang lagi pemuda, Jali, 40, berkata, selain adat berkenaan, pemuda Lombok juga bijak bermain kata-kata untuk memikat teman wanita menyebabkan mereka bersetuju untuk pulang mengikut teman lelaki seterusnya melangsungkan perkahwinan.

“Kami menggunakan gurindam dan seloka untuk mencairkan hati wanita untuk memikat seseorang sebelum menculiknya.

“Lakukan saja begini. Kalau anda mahu menculik gadis Lombok dan dibawa ke Malaysia, silakanlah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...