Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Saturday 31 December 2011

Komplikasi jangkitan rubela kepada bayi


Rubela atau dikenali sebagai German measles dicirikan dengan bintik-bintik ruam merah.



TAHUKAH anda bahawa salah satu senjata paling berkesan untuk melindungi kesihatan awam ialah dengan imunisasi?
Apakah yang anda fahami mengenai imunisasi? Mungkin anda ada persepsi tersendiri mengenainya.
Atau mungkin lebih banyak salah faham dan tanggapan negatif dilabelkan berbanding kebaikan yang boleh dimanfaatkan.
Imunisasi atau juga dikenali sebagai vaksinasi bertujuan membantu kanak-kanak dan orang dewasa daripada dijangkiti bakteria atau virus yang boleh menyebabkan mereka menghidap penyakit-penyakit tertentu.
Seseorang yang imun terhadap penyakit adalah individu yang telah mendapat perlindungan melalui imunisasi.
Ketua Jabatan Pertumbuhan dan Pembangunan Manusia dan Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Fakulti Perubatan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia - Hospital Kuala Lumpur (UPM-HKL), Prof. Madya Dr. Noraihan Mohd. Nordin berkata, vaksin merangsang sistem pertahanan tubuh dengan menghasilkan antibodi.
Menurut beliau, antibodi ini akan melindungi tubuh daripada dijangkiti penyakit-penyakit tertentu.
``Sehubungan itu, imunisasi amat penting bagi melindungi mereka daripada komplikasi yang berbahaya dan mengancam nyawa mereka,'' katanya.
Dr. Noraihan memberitahu, bayi yang baru dilahirkan yang memperoleh sistem pertahanan tubuh daripada ibunya melalui uri memiliki sistem pertahanan tubuh yang belum matang.
Bagaimanapun, sistem pertahanan tubuh ini hanya boleh bertahan dalam tempoh beberapa minggu atau bulan sahaja.
Menurut beliau, rubela atau dalam istilah perubatannya dikenali sebagai German measles yang disebabkan oleh virus rubela boleh menjangkiti sesiapa saja.
``Seperti penyakit berjangkit yang lain rubela bukanlah sejenis penyakit yang begitu berbahaya.
``Tetapi ia menjadi berbahaya sekiranya virus ini menjangkiti wanita hamil terutama bayi dalam kandungan,'' jelas beliau.
Vaksin diperbuat daripada bakteria yang sama atau sebahagian daripada bakteria yang menyebabkan terjadinya penyakit tersebut.
Bezanya bakteria yang terdapat dalam vaksin yang disuntik adalah bakteria yang telah mati atau dilemahkan.
Justeru, bakteria ini tidak akan menyebabkan mereka yang disuntik jatuh sakit.
Sebaliknya, ia dapat merangsang penghasilan antibodi.
Virus rubela boleh merentasi sistem pertahanan uri dan masuk ke dalam tubuh janin yang sedang membentuk menjadi bayi.
Ancaman yang paling menakutkan oleh virus rubela ini sekiranya ia menjangkiti wanita yang hamil dalam tempoh 12 minggu pertama atau tiga bulan.
Jangkitan virus rubela terutama pada peringkat awal kehamilan ini agak berbahaya kerana sifat janin mula membentuk.
Malah terdapat sebahagian besar bayi yang dilahirkan dengan sindrom konginetal rubela ini begitu lewat dalam perkembangan untuk berjalan atau melakukan aktiviti-aktiviti yang mudah.
Tambah Dr. Noraihan, keadaan ia boleh mendedahkan risiko kecacatan yang tinggi terhadap bayi dalam kandungan.
``Kecacatan ini termasuklah buta, katarak, hilang pendengaran, masalah jantung dan adakalanya terencat akal.
``Dalam peringkat ini, jangkitan virus yang mengakibatkan kecacatan kepada janin dipanggil sebagai sindrom konginetal rubela,'' jelasnya.
Dianggarkan lebih 85 peratus bayi yang dijangkiti dalam tempoh tiga bulan pertama kehamilan terdedah dengan risiko yang berbahaya.
Rubela dicirikan dengan pening kepala, sakit tekak, demam dan ruam kecil berwarna merah merupakan sejenis penyakit yang amat mudah berjangkit.
Ia biasanya menjangkiti kulit dan kelenjar limfa.
Rubela yang disebabkan oleh sejenis virus biasanya ditemui pada tekak, darah dan najis individu yang dijangkiti.
Virus yang masuk ke dalam tubuh melalui hidung atau tekak juga boleh dijangkiti melalui aliran darah wanita hamil kepada janin dalam kandungan.
Menurut Dr. Noraihan, sistem pertahanan tubuh akan bertindak balas pada vaksin yang disuntik ke dalam tubuh ibu yang menyebabkan terbentuknya antibodi.
Antibodi akan melindungi tubuh sekiranya anda diserang oleh penyakit tersebut termasuklah bayi atau janin dalam kandungan.
Di Amerika Syarikat, lebih 20,000 bayi yang dilahirkan dengan kecacatan apabila wabak rubela merebak pada 1964-1965.
Wabak ini dikatakan menyebabkan sekurang-kurangnya 10,000 kes keguguran dan bayi yang lahir mati sejurus dilahirkan.
Dianggarkan 25 peratus bayi yang mendapat jangkitan rubela pada tiga bulan pertama usia kandungan dilahirkan dengan satu jenis atau lebih kecacatan.
Ibu-ibu yang mendapat jangkitan rubela selepas trimester yang kedua, risiko mendapat sindrom konginetal rubela boleh menyebabkan masalah lain seperti:
- Lahir tidak cukup bulan
- Berat badan yang kurang
- Masalah makan
- Cirit-birit
- Jangkitan kuman dalam paru-paru
- Anemia
- Radang paru-paru
- Mudah mengalami pendarahan
- Bintik-bintik merah ungu pada muka dan tubuh
- Pembengkakan hati dan limpa
Bagaimana mengetahui imuniti terhadap rubela
Ujian darah dapat mengenal pasti sama ada seseorang wanita mempunyai antibodi terhadap rubela.
Wanita dinasihatkan supaya menjalani ujian imuniti terhadap rubela sebelum mereka hamil.
Vaksinasi dapat melindungi wanita dan bayi yang bakal dilahirkan daripada sindrom konginetal rubela.
Sehingga kini, belum ada rawatan yang dapat menghindar atau membantu wanita yang mendapat jangkitan rubela semasa hamil.
Malah, vaksinasi juga tidak digalakkan semasa hamil. Wanita terbabit perlu menunggu sehingga tiga bulan selepas vaksinasi sebelum merancang untuk hamil.
Imunisasi ini tidak akan dilakukan terhadap wanita yang hamil.
Bagaimanapun, doktor tidak akan menggugurkan kandungan sekiranya wanita terbabit tidak menyedari bahawa mereka hamil ketika mendapat suntikan imunasi.
Rubela amat mudah berjangkit dalam tempoh satu minggu sehinggalah tujuh hari selepas ruam timbul.
Gejala rubela
- Mengigil
- Sakit kepala
- Bersin
- Batuk
- Sakit tekak
- Suhu badan yang agak panas
Ruam
Selepas gejala-gejala ini, ruam akan timbul bermula dari muka, leher dan seluruh badan.
Kelenjar pada leher juga mungkin akan bengkak.
Fakta
Beberapa perkara yang anda perlu ketahui mengenai imunisasi:
Kanak-kanak memerlukan imunisasi untuk melindungi mereka daripada penyakit kanak-kanak yang berbahaya.
Ini kerana penyakit-penyakit ini boleh mengakibatkan komplikasi yang serius, malah boleh mengancam nyawa mereka.
Penyakit kanak-kanak yang boleh dicegah dengan suntikan vaksin terdiri daripada:
a. Campak
b. Beguk
c. Polio
d. Rubela
e. Batuk kokol (Pertusis)
f. Penyakit difteria - penyakit berjangkit pada tekak, kulit dan lain-lain anggota tubuh secara tiba-tiba
g. Kancing mulut (Tetanus)
h. Haemophilus influenza jenis B - penyebab utama radang selaput otak
i. Hepatitis B
j. Cacar air
k. Pneumococcal

Ringkasnya, imunisasi adalah satu program suntikan berkala untuk bayi dan kanak-kanak bagi mencegah mereka daripada dijangkiti penyakit-penyakit tertentu.
Vaksin difteria (DPT), pertusis, tetanus diberi kepada bayi ketika bayi berumur tiga, empat atau lima bulan.

Infanrix Hexa: Vaksin 6 dalam 1


WALAUPUN terdapat bukti bahawa penggunaan vaksin dapat mencegah penyakit dan kematian di seluruh dunia, masih ada yang berpendapat bahawa vaksinasi/pengimunan tidak penting dan tidak perlu.
Sesetengah pihak lain pula kurang senang dengan jadual imunisasi yang rumit, atau mempunyai kebimbangan yang tidak berasas.
Menurut Tinjauan Soal Selidik My Generation yang membabitkan lebih 6,600 ibu di seluruh dunia, 42 peratus daripada 300 ibu di Malaysia yang disoal selidik merasakan bahawa kesan sampingan dan keselamatan adalah sebab utama mereka tidak memvaksin bayi mereka.
Sementara itu, kesakitan suntikan menjadi sebab kedua paling umum iaitu meliputi sebanyak 36 peratus. “Vaksinasi merupakan isu sensitif bagi ibu bapa.
“Di satu sudut, ibu bapa mahukan jaminan bahawa anak mereka dilindungi secukupnya daripada penyakit berbahaya, manakala di sudut lain pula, mereka tidak mahu menyakiti anak mereka,’’ kata Pengarah R&D Klinikal dan Hal Ehwal Perubatan GlaxoSmithKline, Singapura dan Malaysia, Dr. Teoh Yee Leong.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Infanrix Hexa, sejenis kombinasi vaksin baru menentang enam penyakit umum kanak-kanak oleh GlaxoSmithKline Pharmaceuticals (GSK) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Namun, hasil soal selidik My Generation turut mendedahkan bahawa kebanyakan kaum ibu melihat vaksin dari sudut positif kerana:
* 79 peratus menganggap pengimunan sebagai amat perlu
* 75 peratus melihat pemvaksinan sebagai pelaburan dalam kesihatan anak mereka
* 76 peratus menganggap vaksinasi sebagai melindungi kesejahteraan anak
* 84 peratus menyatakan bahawa sebab terutama untuk memvaksin bayi mereka ialah untuk melindungi mereka daripada penyakit serius
Sementara itu, Pakar Runding Pediatrik, Dr. Khoo Phaik Choo berkata, vaksin kombinasi seperti MMR dan DTP telah lama digunakan dan terbukti selamat.
“Kami gembira kerana ibu bapa kini mempunyai pandangan positif tentang kebaikan pemvaksinan untuk anak mereka. Vaksin kombinasi memberikan manfaat terbaik dari dua sudut.
“Iaitu, perlindungan sekali gus daripada jangkitan sebilangan penyakit serta mengurangkan bilangan suntikan yang diperlukan dan kunjungan ke klinik, seterusnya mengurangkan kesakitan dan trauma yang dialami oleh kanak-kanak.’’
Selain melindungi kanak-kanak daripada penyakit, nilai vaksin ini juga mempunyai implikasi yang lebih luas dari segi:
* Mengurangkan kekerapan rawatan perubatan dan kemasukan hospital
* Mengurangkan beban terhadap kemudahan penjagaan kesihatan
* Mengurangkan bilangan hari sakit bagi kanak-kanak dan ibu bapa
Apa itu imunisasi
Ibu bapa tidak mungkin dapat memastikan anak-anak mereka sihat sepanjang masa. Kanak-kanak lebih mudah dijangkiti pelbagai jenis penyakit kerana sistem pertahanan badan mereka belum terbentuk sepenuhnya.
Untuk mengelakkan sepenuhnya penyakit-penyakit ini adalah sukar. Dengan mendapatkan imunisasi yang lengkap untuk anak-anak anda akan dapat mengelakkan mereka dari dijangkiti oleh beberapa jenis penyakit berjangkit tersebut.
Imunisasi melindungi kanak-kanak dengan mudah, selamat dan berkesan daripada penyakit berjangkit yang berbahaya.
Ia merupakan satu proses pembentukan imuniti yang dicetuskan secara tiruan melalui pemberian vaksin bagi pembentukan antibodi untuk membina daya ketahanan badan.
Antibodi ini akan melindungi bayi dari penyakit tertentu apabila mereka terdedah kepada penyakit tersebut.
Vaksin adalah virus atau bakteria yang mati atau dilemahkan, boleh diberikan secara suntikan atau melalui mulut.
Mengenai Infanrix Hexa
Pertama kali dilancarkan pada tahun 1994, Infanrix merupakan satu vaksin kombinasi kategori DTPa – vaksin difteria, tetanus dan pertusis yang diberikan sekali suntikan.
Kemajuan dalam bidang vaksinologi telah membawakan pembangunan dalam vaksin kombinasi seperti Infanrix Heza, yang memberikan perlindungan terhadap enam penyakit sekali gus dan bukannya satu penyakit bagi setiap suntikan.
Infanrix Hexa memberikan perlindungan menyeluruh daripada enam penyakit utama di kalangan kanak-kanak iaitu difteria, tetanus, pertusis (batuk kokol), polio, hepatitis B dan Hib (hemofilus influenzae jenis B).
Ia merupakan vaksin enam dalam satu yang pertama dihasilkan oleh GSK, dengan rekod keberkesanan, toleransi dan keselamatan baik.
Kajian klinikal juga menunjukkan bahawa Infanrix Heza menawarkan perlindungan yang optimum dan menyeluruh menentang keenam-enam penyakit tersebut, dan memenuhi piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) secara konsisten bagi gerak balas imun terhadap virus hepatitis B.
Infanrix Heza juga didapati diterima dengan baik, dengan kadar kesakitan, bengkak dan demam yang rendah.
Kenapa vaksin kombinasi?
Ibu bapa kini disarankan memvaksin bayi mereka bagi menentang penyakit-penyakit utama yang semakin meningkat, menjadikan jadual imunisasi kompleks dan begitu sesak dalam tempoh dua tahun pertama usia si bayi.
Vaksin kombinasi mengurangkan jumlah suntikan yang perlu diambil, sekali gus memberikan ibu bapa dan bayi mereka jadual yang lebih ringkas.
Vaksin kombinasi menawarkan perlindungan bagi melawan lebih banyak penyakit melalui satu suntikan sahaja berbanding sebelumnya.
Jadual vaksin kombinasi memerlukan suntikan serta lawatan untuk berjumpa doktor yang lebih sedikit sekali gus mengurangkan darjah kebimbangan yang mungkin dialami baik oleh si ibu mahupun bayi.
Hasilnya, mereka akan lebih cenderung menyelesaikan suntikan vaksin seperti jadual yang telah disarankan.
Infanrix Hexa boleh mencegah daripada penyakit-penyakit:
Difteria 
Memberikan kesan terhadap kerongkong sehingga menyebabkan kesukaran bernafas, masalah jantung dan saraf.
Ia berpunca daripada bakteria Corynebacterium Diphteriae yang disebarkan melalui udara semasa batuk dan bersin. Boleh dicegah dengan pengimunan DPT.
Tetanus    
Juga dikenali sebagai penyakit terkunci rahang atau kancing gigi yang berpunca daripada bakteria Clostridium Tetani.
Ia merebak menerusi pencemaran luka-luka. Bakteria menghasilkan toksin yang menyebabkan otot-otot pada bahagian leher dan rahang menjadi kejang dan mangsa sukar bernafas.
Dalam kes-kes yang teruk, ia boleh melibatkan keseluruhan tubuh dan mengundang maut. Boleh dicegah dengan vaksin DPT.
Pertusis
Nama lain bagi pertusis adalah batuk kokol, disebabkan oleh toksin-toksin yang dirembeskan oleh bakteria Bordetella Pertussis. Ia menyerupai flu/selesema.
Komplikasi – radang paru-paru (pneumonia) dan sawan tarik. Sebelum adanya imunisasi, saban tahun kira-kira 5,000 hingga 10,000 kanak-kanak mati akibat pertusis. Boleh dicegah dengan vaksinasi DPT.
Polio       
Menyebabkan lumpuh/ketidakupayaan fizikal, radang otak (ensefalitis) dan kematian yang berpunca daripada virus Polio.
Toksin yang dihasilkan oleh virus berkenaan memusnahkan otot-otot dan saraf hingga menyebabkan kegagalan untuk berfungsi.
Boleh dicegah dengan vaksin polio.
HIB (Hemofilus Influenzae type B)
Disebabkan oleh bakteria Hemofilus Influenzae B yang mencetuskan masalah seperti selesema.
Ia disebarkan ke paru-paru mengakibatkan pneumonia dan radang epiglotis (saluran pernafasan tersumbat) yang boleh mengorbankan jiwa.
Sementara itu, penyebarannya ke otak mencetuskan radang selaput otak/meningitis yang disertai komplikasi seperti pekak, buta, sawan tarik dan terencat akal.
Ia juga boleh menyebabkan pendarahan pada kulit yang menghasilkan ruam merah.
Udara menjadi medium penyebaran, semasa pesakit batuk dan bersin. Boleh dicegah melalui pemvaksinan HIB.
Hepatitis B
Penyakit hati kronik yang merosakkan hati dan boleh mendorong kepada kanser hati. Virus HB menjadi puncanya.
Penyebaran terjadi melalui hubungan seks yang tidak dilindungi, daripada ibu ke anak dan penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan.
Dapat dicegah melalui vaksinasi Hepatitis B.

Cegah awal elak tibi



Walaupun mudah berjangkit, tibi boleh dicegah melalui dua cara. Pertama dengan memberi suntikan vaksin BCG bagi bayi baru lahir dan ketika berumur tujuh tahun; jika tiada parut pada lengan.
"Jika dulu kanak-kanak diberi suntikan kedua untuk memantapkan sistem imun terhadap jangkitan tibi, kaedah itu dihentikan apabila kajian mendapati ia tidak meningkatkan tahap ketahanan. Satu suntikan BCG ketika bayi sudah mencukupi untuk memberi perlindungan sebanyak 30 hingga 80 peratus.
"Namun, kita tidak boleh yakin sepenuhnya dengan pemberian vaksin ini. Apa yang penting, kesedaran rakyat menyedari tanda-tanda awal tibi . Kemudian, berjumpa doktor untuk melakukan ujian tibi seperti ujian mantaoux. Ujian ini dilakukan untuk menyiasat jangkitan tibi pada seseorang. Lebih berkesan, doktor akan melakukan ujian ke atas kahak," katanya.
Seseorang yang pernah menghidap tibi boleh mendapat jangkitan berulang selagi ada sumber jangkitan (pesakit tibi yang tidak dirawat).
Kaedah kedua adalah pemeriksaan ahli keluarga terdekat atau rakan yang rapat dengan pesakit sebaik sahaja dia disahkan menghidap tibi .
“Tanda batuk juga mempunyai beberapa kategori sama ada batuk berkahak atau tidak atau pun berdarah tetapi ia kebiasaannya melebihi dua minggu,” katanya.
Dalam hal ini, Dr. Nor Adina yang tidak menolak kebanjiran pendatang asing mempengaruhi kemunculan semula tibi di Malaysia, menyarankan agar mereka diberi suntikan BCG ketika memasuki negara ini.
"Mungkin mereka akan didapati negatif tibi pada awalnya tetapi bakteria itu boleh ada dalam badan tanpa disedari.
“Tanpa rawatan, bakteria yang tidur ini boleh tiba-tiba aktif menyerang paru-paru pada masa yang kita tidak ketahui,” ujarnya.
Justeru beliau mengingatkan masyarakat agar lebih peka dengan menghindari kawasan sesak yang boleh memberi risiko seperti dewan tertutup.

Friday 30 December 2011

Vaksin mencegah penyakit



MEMANG terbukti pemberian vaksin kepada bayi dan kanak-kanak di Malaysia telah banyak mengurangkan kes kecacatan serta meningkatkan perlindungan terhadap penyakit berjangkit dan penyakit bahaya lain.
Apabila Kementerian Kesihatan mewajibkan pengambilan vaksin seperti BCG, Hepatitis B, DPT dan MMR terhadap bayi yang baru lahir, telah berjaya melindungi berjuta rakyat daripada penyakit seperti polio, tetanus, difteria, meningitis dan banyak lagi.
Malah kes seperti kecacatan kaki akibat polio juga amat jarang dilihat kini, semuanya kerana inisiatif yang telah diambil oleh pihak ibu bapa dan kerajaan dalam memberikan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat.
Namun ada sesetengah golongan di peringkat antarabangsa yang giat mempromosikan gerakan anti vaksin.
Dan dengan hebahan yang diadakan menerusi Internet dan sebagainya telah sedikit sebanyak berjaya menghakis segelintir pandangan ibu bapa tentang kebaikan vaksin ini.
Perunding kesihatan kanak-kanak dari Hospital Pakar An-Nur, Dr. Khairul Azman Mohd. Khalid berkata, vaksin secara umumnya memang halal.
"Ada fatwa sudah dikeluarkan dan mengatakan bahawa beberapa jenis vaksin yang dulu diragui halal kini sudah disahkan halal seperti rotavirus.
"Memang vaksin tiada mengandungi unsur babi dan fatwa mengatakan kita boleh mendapatkan vaksin tanpa was-was," jelasnya.
Menurut Dr. Khairul Azman, kurangnya pengetahuan di kalangan ibu bapa menyebabkan mereka meragui kebaikan suntikan vaksin untuk anak-anak.
Malah ada yang mempersoalkan tentang kesan sampingan pengambilan vaksin yang dikatakan mempunyai kesan mudarat untuk jangka masa panjang.
"Memang ada kesan sampingan tapi terlalu sedikit seperti demam atau tempat suntikan membengkak. Melalui kemajuan dalam bidang perubatan, ahli sains telah menghasilkan vaksin dengan kesan sampingan yang sangat minimum," katanya.
Dr. Khairul juga menangkis tanggapan mengatakan bahawa apabila anak demam selepas disuntik bermakna vaksin memberikan tindak balas positif.
"Itu tidak benar, kemajuan dalam penyelidikan dan penghasilan vaksin telah meminimumkan kesan sampingan pada anak-anak hingga mereka tidak demam atau berasa tidak selesa selepas disuntik vaksin," ujarnya.
Tegas Dr. Khairul Azman, vaksin sebenarnya meningkatkan sistem imunisasi kanak-kanak, dengan itu mereka akan menjadi lebih aktif dan boleh mengikuti pelajaran dengan lebih berkesan.
Sesetengah vaksin hanya perlu diambil sekali untuk seumur hidup sebagai contoh kanak-kanak yang mengambil vaksin cacar (chicken pox).
"Bayangkan manfaatnya, selepas mengambil vaksin tubuh badan mereka terlindung daripada virus tersebut dan jika alaminya pun tidaklah seteruk tanpa vaksin," jelasnya.
Tambah Dr. Khairul, tanggapan sesetengah ibu bapa yang mengatakan anak-anak lasak di kampung kurang terkena jangkitan penyakit dan lebih sihat berbanding di bandar adalah kerana faktor keadaan sekeliling.
"Pengudaraan ibu yang menjaga anak sendiri di rumah berbanding dengan di pusat jagaan di bandar adalah amat berbeza.
"Adalah salah jika membandingkan kanak-kanak di luar bandar lebih sihat berbanding di bandar walaupun mereka tidak mengambil vaksin," katanya.
Tambah Dr. Khairul lagi, kanak-kanak yang tidak mengambil vaksin di waktu kecil tetap boleh mengambilnya apabila remaja atau dewasa.
Cuma ada vaksin seperti rotavirus yang ada peringkat umur dan jika terlepas tidak boleh mendapatkannya kembali.
Bagi sesetengah kanak-kanak yang menghidapi penyakit seperti Down Sindrom amat disarankan pengambilannya.
Begitu juga dengan bayi yang lahir pra matang, bayi berpenyakit jantung, lelah juga sebaiknya memiliki pelalian ini.
"Bila ada imuniti yang diambil menerusi vaksin maka sistem imunisasi kanak-kanak ini akan menjadi lebih kuat.
"Ibu bapa perlulah menambah ilmu. Memang saya tidak nafikan adanya pergerakan yang melarang pengambilan vaksin ini secara besar-besaran, bukan sahaja di luar negara malah di Malaysia juga.
"Ibu bapa perlu tahu bahawa tidak mengambil sebarang pelalian menyebabkan anak-anak berpotensi untuk mendapat penyakit yang mencacatkan mereka.
"Memang vaksin yang kerajaan sarankan sudah cukup namun bagi ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pusat jagaan kanak-kanak di bandar perlu mengambil inisiatif untuk mendapatkan pelalian tambahan kepada anak-anak.
" Dengan pencegahan ini kita bukan sahaja mendapatkan ketenangan fikiran malah dapat menyelamatkan anak-anak daripada penyakit berjangkit yang boleh mengancam nyawa. Perlu juga ingat, kos rawatan lebih mahal daripada imunisasi yang diambil," ujarnya.

Bahaya virus kencing tikus atau Leptospirosis

LEPTOSPIROSIS adalah merupakan penyakit yang disebabkan oleh Bakteria LEPTOSPIRA.

Kalau dilihat melalui mikroskop bentuk virus ini adalah berbentuk spiral dan boleh hidup didalam air tawar selama satu bulan atau lebih. Ia tidak boleh hidup didalam air laut.




CARA PENYEBARAN KEPADA MANUSIA

Air, Tanah atau Tanaman yang telah dikotori oleh air kencing haiwan yang mengidapi leptospirosis. Ia akan memasuki ke badan manusia dengan pelbagai cara antaranya melalui mata,hidung, kulit yang melecet atau makanan yang dicemari oleh najis terutama air kencing haiwan yang telah dijangkiti Bakteria LEPTOSPIRA.


SIMPTOM-SIMPTOM TERKENA JANGKITAN

Demam tinggi,menggigil, Sakit Kepala, Lesu / lemah,Muntah-muntah , radang mata, rasa nilu dibahagian betis dan punggung.

Simptom-simptom ini cuma akan kelihatan antara 4 hari ke 9 hari selepas jangkitan.

Maka adalah wajar untuk kita mengambil langkah berjaga-jaga dan pencegahan sebelum terkena.


KOMPLIKASI YANG BAKAL DIHADAPI OLEH MANGSA YANG DIJANGKITI

  • Pada bahagian hati akan menjadi kekuningan pada hari ke 4 dan ke 6. Kegagalan Ginjal (buah pinggang) .
  • Jantung berdebar-debar tidak menentu,membengkak dan gagal berfungsi.
  • Pada bahagian paru-paru pengidap akan merasa nyilu,batuk berdarah dan sesak nafas.
  • Akan berlaku pendarahan dalaman kerana kerosakan pada pembuluh darah pada saluran pernafasan,pencernaan,buah pinggang,alat sulit dan mata.
  • Bagi pengidap yang hamil akan berlaku keguguran dan kandungan sama ada lahir tidak cukup bulan,lahir cacat atau kandungan mati semasa lahir


LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN YANG PERLU DIAMBIL.
  • Simpan makanan atau minuman dengan baik agar tidak dicemari.
  • Cuci tangan dengan sabun sebelum makan.
  • Bersihkan diri selepas melakukan aktiviti luar seperti berkebun dan apa jua aktiviti yang terbuka.
  • Untuk majikan pula mereka harus memberi perlindungan kepada pekerja mereka yang mempunyai risiko yang tinggi dijangkiti seperti memberi sarung tangan dsbnya.

Menjaga kebersihan sekeliling,sediakan tempat membuang sampah yang bertutup, bersihkan tempat bekas air dan kolam renang, pastikan tiada tikus dikawasan sekeliling terutama rumah anda,membuat semburan disinfeksi tempat yang telah dicemari.

Dan pastikan kita hapuskan tikus-tikus yang berkeliaran

Ikutkan banyak lagi cara-cara untuk mencegah,tetapi mungkin adakalanya kita mudah terlupa atau lalai.

Paling mudah perkara ini berjangkit bagi aku adalah melalui Bekas Tin terutama minuman ringan yang diletak ditempat terbuka.

Jadi ingat-ingatlah jangan main teguk jer air tuh..Cuci bahagian atas atau pun minumlah menggunakan straw.

Tiga kanak-kanak dikhuatiri dijangkiti Leptospirosis


JERANTUT - Tiga kanak-kanak Orang Asli dari Kampung Sungai Lintah di sini, dimasukkan ke Hospital Jerantut semalam selepas dikhuatiri dijangkiti virus air kencing tikus atau leptospirosis.

Menurut sumber hospital tersebut, kanak-kanak Orang Asli berkenaan, Arini Mary a/p Yusof, 4, Muliana a/p Yusof, 5, dan sepupu mereka, Jun a/p Man, 11, kini ditempatkan di bilik berasingan di wad kanak-kanak hospital itu.

"Ketiga-tiga mereka didapati mengalami komplikasi demam kuning, sakit kepala dan lesu," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menurut sumber berkenaan, pihak hospital telah mengambil sampel darah mereka dan keputusan dijangka diketahui dalam tempoh dua minggu ini.

"Kanak-kanak ini sudah ditempatkan di bilik berasingan untuk memudahkan pegawai perubatan memantau rawatan dan perkembangan kesihatannya," katanya.

Menurut sumber itu lagi, jika keadaan ketiga-tiga kanak-kanak itu semakin teruk, mereka akan dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, ibu kepada Arini Mary dan Muliana,  Musliza a/p Batin Bakar, 30, ketika ditemui di sini, berkata anaknya dan sepupu mereka sebelum itu dipercayai minum dan makan di satu majlis kenduri di kampung Orang Asli Sungai Petai, dekat sini baru-baru ini.

Musliza berkata selepas pulang dari kenduri itu, anaknya dan sepupunya itu mengalami demam dan tidak berselera makan.

"Melihat keadaan mereka semakin teruk, mereka kemudiannya di bawa ke hospital dan kini ditahan di wad," katanya.
  

PR bakal menang di Johor

PAS Negeri Johor memutuskan untuk mengurangkan bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Persuruhjaya PAS Johor Dzulkefly Ahmad berkata, mereka "menyerahkan" lebihan kerusi yang pernah ditandingi pada pilihan raya umum lalu kepada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Kesemua kerusi DUN dan Parlimen di Johor yang diserahkan PAS kepada DAP dan PKR itu merupakan kawasan campuran berdasarkan kedua-dua parti itu mempunyai kekuatan di kawasan terbabit," katanya kepada Bernama, semalam.

Katanya, PAS Johor membuat keputusan untuk bertanding di lapan kawasan Parlimen dan 28 kawasan DUN pada PRU13, berbanding sembilan Parlimen dan 33 DUN pada PRU 2008.

Menurut Dzulkefly, pada 2008 Pas Johor bertanding di banyak kawasan kerana menyedari PKR Johor pada ketika itu tidak mempunyai kekuatan dan disebabkan kerana enggan memberi kemenangan percuma kepada Barisan Nasional (BN).

Pada PRU 2008, PAS Johor memenangi dua kerusi DUN iaitu di Maharani dan Sungai Abong.

Mengenai peluang PAS Johor pada PRU13, Dzulkefly meramalkan dengan suasana politik negara pada ketika ini yang memberi kelebihan kepada PR, ia mampu membuat kejutan dengan "memecah kubu BN" di Johor.

"Kita berkeyakinan jika ''gelanggang pertandingan adalah sama rata,'' Pakatan Rakyat Johor mampu memenangi sekurang-kurangnya 29 kerusi DUN untuk memperolehi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri," katanya.

Johor yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) mempunyai 26 kerusi Parlimen dan 56 kerusi DUN.

Kata beliau, senarai calon-calon PAS Johor yang akan bertanding pada PRU13 telah pun siap, tetapi ia perlu diperakui oleh kepimpinan parti pada peringkat pusat.

Sumber: Bernama.com

Dari padang, Khairul Fahmi beralih ke bidang peragaan?

WarkahDaily – Fenomena fanatik terhadap sukan nombor satu, bola sepak di negara ini semakin hangat selepas satu demi satu kejuaraan yang dicipta oleh pemain bola sepak negara di pentas antarabangsa.

Perkembangan itu diambil kesempatan oleh majalah hiburan untuk ‘tumpang sekaki’ populariti yang baru tercipta dengan menjadikan pemain sebagai target melariskan jualan majalah mereka. Dengan harapan, peminat bola sepak turut beralih kepada mereka. Dah jadi kerja mereka, nak buat macamana, bisnes!

Kalau dulu, pemain bola sepak negara sekadar ‘top’ di padang, namun kini ia sudah dijelmakan di majalah sebagai penghias muka depan. Tak aneh, jika sekarang pemain bola sepak sudah jadi selebriti yang setanding dengan artis tempatan.

Antara pemain yang sudah menjadi selebriti glamour, penjaga gawang skuad Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali sebagai Apex, ternyata popular dan sensasi.

Selain dilanda banyak kontroversi, kini wajah Khairul Fahmi dijadikan penghias kulit hadapan majalah GLAM Lelaki bagi edisi Januari/ Februari 2012 dengan penampilan glamour dan seksi.

Dipetik dari blog hiburan, Khairul Fahmi tidak keseorangan beraksi depan kemera. Bersamanya seorang model, Anastascia yang kelihatan seolah-olah sedang membuka baju Fahmi dari belakang.

Gambar muka depan majalah berkenaan yang dipetik dari ruangan forum terkenal, Cari.com.my itu turut meletak tajuk ‘Khairul Fahmi Che Mat The World Class Goalkeeper’ (penjaga gol bertaraf dunia).

Khairul Fahmi, 22, pernah dilaporkan mahu bersara awal dari karier bola sepak setelah dihujani pelbagai kontroversi yang membabitkan diri dan aktiviti sosialnya.

Persoalannya, apakah Khairul Fahmi benar-benar serius dengan kenyataan ‘merajuk’ tersebut dan beralih arah ke bidang peragaan?

Namun, Khairul Fahmi telah membuktikan bahawa dirinya mampu menjadi fenomena dan memiliki ‘aura’ yang berjaya menarik ramai pihak untuk terus menyokongnya, khususnya setelah mempertahan dan menewaskan skuad Garuda di tempat lawan pada Sukan SEA di Indonesia baru-baru ini.

‘Ujian dara’ tentera Mesir dibongkar Samira


UJIAN DARA: Samira Ibrahim memberikan isyarat kemenangan di Qasr el Tiada Bridge berhampiran Tahrir Square di Kaherah selepas mahkamah arahkan tentera hentikan ujian berkenaan terhadap tahanan wanita. | foto

KAHERAH: Seorang wanita Mesir yang menuduh tentera mencabul kehormatan tahanan wanita di penjara kini dianggap 'hero' kaum Hawa di negaranya selepas mahkamah mengarahkan tentera menghentikan amalan itu yang dilabel 'ujian kononnya untuk menentukan seseorang masih dara atau tidak.'

Kes itu difailkan Samira Ibrahim, 25, yang mendakwa dipaksa tentera untuk menjalani ujian itu pada 9 Mac lalu selepas dia ditahan semasa menyertai protes di Dataran Tahrir.

“Kes ini adalah untuk semua wanita Mesir, bukan saja saja. Saya rasa amat kecewa. Saya dicederakan dan tidak menyangka askar boleh bertindak begitu. Satu perkara yang diberitahu ayah saya ialah hanya undang-undang akan membantu kamu,” katanya.

Pengurus pemasaran itu mendakwa menerusi video YouTube dikenakan kejutan elektrik atas tuduhan menjadi pelacur. Dia diarah menanggalkan pakaian di depan askar dan diperiksa oleh lelaki di hadapan sekumpulan anggota tentera yang mentertawakannya.

Doktor tentera yang menjalankan ujian itu kini berdepan dengan perbicaraan pada 3 Januari depan di mahkamah tentera, menurut stesen televisyen kerajaan.
Jeneral yang memerintah menafikan anggota tentera menjalankan ujian itu dan tidak meminta maaf.

Ketua perundangan tentera, Jeneral Adel el-Mursi, berkata penghakiman itu tidak boleh dilaksanakan kerana tentera tidak menjalankan ujian dara secara paksa, menurut laporan agensi berita MENA.

Seorang lagi jeneral yang enggan disiarkan namanya dipetik sebagai berkata ujian itu dijalankan hanya untuk melindungi tentera daripada tuduhan merogol.

Minggu lalu, tentera mengumumkan penyiasatan terhadap insiden itu. Organisasi hak asasi manusia pula percaya, banyak lagi ujian seumpama itu dilakukan askar.

“Mahkamah mengarahkan pelaksanaan prosedur ujian dara terhadap gadis dalam tahanan tentera dihentikan,” kata hakim Mahkamah Pentadbiran Kaherah, Aly Fekry sambil disambut tepukan gemuruh orang awam yang mendengar keputusan itu.

Samira adalah seorang daripada tujuh wanita yang mendakwa mereka diarah menjalani ujian itu selepas ditahan tentera.

Pengurusan jeneral ketenteraan dalam kerajaan peralihan negara itu mengundang kritikan hebat daripada aktivis hak asasi tetapi laporan layanan buruk wanita di tangan askar ketika ditahan meningkatkan kemarahan rakyat Mesir.

Antara contoh kekerasan terhadap wanita berlaku baru-baru ini apabila tentera dirakam menarik rambut seorang wanita tidak bersenjata, memukulnya hingga menyebabkan colinya kelihatan. -Reuters/Agensi

Pemimpin politik ditahan berkaitan kes bunuh


COLOMBO 29 Dis. - Seorang pemimpin politik dari parti pemerintah ditahan berkaitan pembunuhan seorang pelancong Britain di sebuah resort pantai di selatan Sri Lanka pada minggu lalu.
Pemangku Menteri Pembangunan Ekonomi, Lakshman Yapa Abeywardena berkata, pemimpin politik itu menyerah diri dalam satu usaha memburu orang yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan Kuram Shaikah Zaman, seorang warganegara Britain yang berketurunan Israel.
Tambah beliau, lapan pasukan polis ditugaskan untuk menyiasat pembunuhan Zaman serta rakannya yang mengalami kecederaan dan sedang dirawat di sebuah hospital di Colombo. - AFP

Thursday 29 December 2011

Diperdaya syarikat kereta terpakai



WENG YEW menanggung hutang RM20,000 selepas sebuah syarikat kenderaan terpakai gagal menukar hak milik kereta yang dijualnya di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang ejen hartanah terpaksa menanggung hutang sebanyak RM20,000 ekoran sebuah syarikat kenderaan terpakai tidak menukar hak milik kereta yang dijualnya kira-kira dua tahun lalu.
Mangsa, Ng Weng Yew, 35, mendakwa, kereta jenis Honda Accord miliknya itu dijual kepada syarikat di Jalan Klang Lama di sini dengan harga sebanyak RM26,500.
Ujarnya, ketika itu syarikat tersebut berjanji akan menyelesaikan segala prosedur penjualan kenderaan itu termasuk menukar nama hak milik.
Bagaimanapun, katanya, dia kemudian menerima panggilan daripada pihak bank yang mengatakan dia masih mempunyai hutang pinjaman kereta tersebut sebanyak RM20,000.
“Saya amat terkejut kerana bayaran tersebut sepatutnya disambung bayar oleh pemilik baharu kereta berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.
Jelasnya, dia kemudian mendapati kereta yang telah dijual itu masih didaftar di bawah namanya.
“Saya tidak sangka selepas tiga tahun perkara ini dibiarkan begitu sahaja sehingga membawa masalah kepada saya,” katanya.

Pegawai PTD dituduh pukul suami dengan fail




SEPANG – Seorang pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) berdepan hukuman penjara dan denda selepas dituduh memukul suaminya menggunakan fail pejabat sembilan bulan lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Kamaliah Basir, 35, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mendatangkan kecederaan kepada suaminya, Zaihan Md. Lani, 48, dengan menggunakan fail pejabat pada bahagian badan mangsa.
Kejadian didakwa berlaku di dalam kereta di perhentian simpang tiga lampu isyarat Persiaran Semarak Api dan Persiaran Apec, Cyberjaya, Sepang di sini pada pukul 12.45 tengah hari 3 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tiada rundingan sulit

KANGAR: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu menafikan laporan portal berita mendakwa beliau mengadakan rundingan rahsia mengenai masa depan Umno dan pentadbiran negeri dengan dua bekas menteri besar Perlis di Kemboja, baru-baru ini.
Beliau mengaku menemui Datuk Seri Shahidan Kassim dan Tan Sri Abdul Hamid Pawanteh di Kemboja atas jemputan meninjau industri pelojian dan pemprosesan air di negara berkenaan.

Katanya, beliau tidak melakukan sebarang rundingan rasmi berkaitan politik atau percaturan parti.
“Saya akui ada berbincang, tetapi itu atas dasar sosial sebagai kawan dan saya rasa itu tidak salah. Selain Datuk Seri Shahidan dan Tan Sri (Abdul) Hamid, lawatan turut disertai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, beberapa pegawai Syarikat Air Perlis serta wakil syarikat swasta terbabit,” katanya selepas merasmikan Kelab Komuniti 1Malaysia di Kampung Ujung Bukit, dekat sini, semalam.

Baru-baru ini, satu portal berita melaporkan Dr Md Isa bersama pimpinan parti negeri berkunjung ke Kemboja bagi membincangkan masalah dalaman parti serta calon pilihan raya akan datang.

Dr Md Isa berkata, tiada rundingan rahsia terutama menyentuh masa depan dan teraju kepemimpinan pentadbiran negeri pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 seperti dihebohkan, sebaliknya lawatan itu bermotifkan pelaburan dan perniagaan.

Difahamkan, isu rundingan rahsia antara Dr Md Isa selaku Pengerusi Perhubungan Umno negeri dan dua bekas Menteri Besar itu terutama Shahidan timbul selepas kedua-duanya sebelum ini didakwa berselisih faham menyertai lawatan sama ke Kemboja.

Selain itu, ada pihak menyatakan Dr Md Isa yang sehingga kini menerima kritikan dan tekanan sejak mengambil alih pentadbiran daripada Shahidan selepas PRU ke-12 2008 lalu, akan menyerahkan kuasa kepada pemimpin baru lebih muda.
Tambah meyakinkan, Shahidan yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri ketika berada di Kemboja, melalui laman sosial facebooknya mengakui sedang berbincang dengan kerajaan negeri, yang mana persetujuan awal dikatakan dicapai demi mencari kata sepakat antara pihak terbabit.

Dr Md Isa ketika mengulas kenyataan Shahidan berkata, soal parti serta ketentuan calon untuk PRU bergantung kepada budi bicara pucuk pimpinan.

Mengenai kedudukannya dan Shahidan yang didakwa tidak sehaluan, katanya ia hanya persepsi kerana mereka tidak pernah bermusuh.

“Datuk Seri Shahidan bukan musuh saya. Malah, saya tidak pernah berkelahi dengannya kerana kami sedar tindakan itu langsung tidak menguntungkan sesiapa, lebih-lebih lagi parti.

“Jika diambil kira lawatan ke Kemboja, kami boleh duduk semeja dan berbual mesra. Bukankah itu membuktikan kami tidak bermusuh dan keadaan Umno serta Barisan Nasional (BN) negeri juga semakin baik?” katanya.

nenek super

 
BESUT: Seorang wanita cacat penglihatan, Mek Long Salim, 79, layak digelar ‘warga emas super’ apabila masih mampu melakukan rutin harian tanpa mengharapkan bantuan.
Warga emas itu bukan saja mampu memasak, membasuh dan mengemas rumah, malah boleh melakukan kerja berat yang tidak terdaya dilakukan orang celik seperti memanjat pokok kelapa.

Keistimewaan Mek Long itu menjadikannya kebanggaan penduduk yang menganggapnya wanita luar biasa.
Mek Long yang tinggal bersama suami ketiga, Hassan Awang, 69, di Kampung La, Hulu Besut, di sini, berkata, dia tidak memiliki rahsia atau mengamalkan petua, sebaliknya menganggap ia anugerah Allah.

“Kita kena kuat semangat dan rajin usaha. Seumur hidup, saya tak pernah minta bantuan orang. Saya bersyukur Allah beri saya hati yang terang.

“Sejak muda hingga sekarang, saya buat kerja termasuk jual sayur dan pucuk paku di Pasar Jertih, berkebun dan cari kayu api di hutan. Semuanya buat sendiri.

“Cuma sejak diserang asma, saya tak buat kerja itu lagi dan banyak berehat di rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, kelmarin.

Mek Long yang menghidap asma sejak tujuh bulan lalu berkata, walaupun tidak boleh melihat, namun dia boleh membezakan antara siang dan malam, malah mengetahui tiba waktu solat hanya berpandukan suara ayam berkokok.
“Biasanya jika masuk waktu Subuh, ayam berkokok sekali manakala jika waktu Zuhur, ayam berkokok dua kali berturut-turut.

“Jika waktu Asar pula, ayam berkokok tiga kali berturut-turut. Jika waktu Maghrib, ayam berkokok di bawah rumah,” katanya.

Sementara itu, adik Mek Long, Azizah Salim, 66, berkata, dia bangga mempunyai kakak luar biasa dan menganggap semua itu anugerah Allah yang tidak ternilai.

“Hati dia terang walaupun tidak nampak, tetapi kehidupannya sama seperti orang celik. Tidak hairan kerana apa yang berlaku kuasa Allah,” katanya.

Azizah yang tinggal bersebelahan rumah Mek Long berkata, kakaknya itu tidak pernah meminta bantuannya, sebaliknya melakukan semua kerja sendiri termasuk menguruskan keperluan suami yang juga buta.

“Tanggungjawab terhadap suami dilakukannya sama seperti wanita celik lain. Dia bukan saja memasak, mencuci atau mengemas rumah, tetapi boleh membeli barangan keperluan harian sendiri.

“Orang kampung sudah biasa dengannya, tetapi kalau orang tak biasa tengok, mesti ingat dia celik. Dia berjalan laju, tak macam orang buta.

“Jika terlajak lorong rumah penduduk kampung yang dia nak pergi, dia akan berhenti dua atau tiga saat dan berpatah semula sebelum masuk ke lorong rumah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kakaknya seorang yang kuat bekerja dan tidak pernah mengabaikan solat sejak kanak-kanak hingga sekarang selain penyabar.

“Walaupun tidak nampak tetapi boleh membezakan antara malam dengan siang.

“Pernah ketika bersembang bersama jiran, tiba-tiba dia memberitahu kami ketika itu sudah masuk waktu sembahyang sama ada Zuhur, Asar atau Maghrib. Biasanya selepas dia kata begitu, selang beberapa minit kemudian azan berkumandang.

“Pernah juga pada Ramadan, dia mengejutkan saya untuk bersahur,” katanya.

Azizah berkata, Mek Long ketika kanak-kanak seorang yang celik, tetapi penglihatannya kabur sedikit demi sedikit sebaik memasuki zaman remaja.

Katanya, penglihatan wanita berkenaan hilang sepenuhnya selepas beberapa bulan berkahwin dengan lelaki celik dari kampung sama ketika berusia 27 tahun.

“Masa baru kahwin, dia ‘buta ayam’ tetapi beberapa bulan selepas itu terus tidak nampak,” katanya.

Azizah berkata, Mek Long dan suami mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM200 seorang bagi menampung kehidupan mereka.

“Sejak sakit, saya bimbang terjadi apa-apa kepadanya dan sentiasa berdoa semoga Allah melindunginya dan suami,” katanya.

Angkara tahi judi

JOHOR BAHRU: Gara-gara hobi gila suami ketagih judi, seorang wanita bimbang bakal hidup merempat selepas hampir separuh barang kemas tergadai manakala gaji bulanan suaminya habis berjudi.
Wanita berkenaan yang mahu dikenali sebagai Jasmine, 29, berkata, suaminya yang penyayang dan mengutamakan keluarga sepanjang 11 tahun berkahwin, mula mengabaikan keluarga selepas ketagih bermain mesin judi sejak setahun lalu.

“Dalam masa sebulan, suami yang juga kontraktor sambilan boleh menghabiskan sehingga RM20,000 di meja judi kerana hilang pertimbangan dan gagal mengawal ketagihan bertaruh.

“Saya yang risau dengan hobi gila suami pernah mengikutnya ke beberapa pusat judi haram di sekitar bandar raya ini dengan harapan dia berhenti, namun ketagihannya kian menjadi-jadi,” katanya, semalam.


Menurut Jasmine, jika tiada kontrak, suaminya yang dikenali sebagai Eddie, 31, bekerja di bengkel di bandar raya ini dengan pendapatan kasar RM2,000 sebulan

Bekas pegawai rasuah didenda RM2j



SHAH ALAM: Seorang bekas pegawai kanan di syarikat telekomunikasi utama dihukum penjara empat tahun dan denda RM2.075 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah atas 14 tuduhan memperoleh rasuah RM415,000.
Hakim Asmadi Hussin membuat keputusan itu terhadap S Stanley, 40, selepas berpuas hati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Asmadi menetapkan hukuman penjara terhadap tertuduh yang berasal dari Kinrara, Puchong itu berjalan mulai semalam.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara 14 tahun jika gagal membayar denda.
Sepanjang perbicaraan, 16 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan tampil memberi keterangan.

Mengikut pertuduhan, Stanley didakwa memperoleh sogokan tunai itu daripada Nakhoda Sistem Sdn Bhd sebagai dorongan untuk memilih syarikat berkenaan sebagai pembekal kabel dan peralatan telekomunikasi kepada syarikat telekomunikasi berkenaan.

Dia yang ketika kejadian bertugas sebagai pegawai kanan pemerolehan syarikat telekomunikasi itu didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Taman Kinrara, Puchong, dekat sini, antara 13 Ogos 2007 dan 22 Oktober 2008.

Stanley didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam M Athimulan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya memandangkan anak guamnya bukan penjawat awam. Selain itu, katanya, tertuduh sudah tidak lagi bekerja dengan syarikat berkenaan dan menyara keluarga. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Sinti memohon hukuman setimpal kerana perbicaraan penuh sudah dijalankan.

Beliau berkata, mahkamah harus mengambil kira usaha kerajaan menubuhkan mahkamah khas rasuah. Asmadi membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman dengan menaikkan jaminan kepada RM250,000 daripada RM50,000.

Menurutnya, tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa untuk simpanan mahkamah dan dikehendaki melapor diri di balai polis berhampiran kediaman pada Ahad pertama setiap bulan. Selain itu, katanya, pihak pembelaan perlu memfailkan notis rayuan selewat-lewatnya hari ini

Wednesday 28 December 2011

Ketua Pemuda MCA Pulau Pinang, 439 lagi keluar parti

Dalam satu tindakan yang mengejutkan malam tadi, Ketua Pemuda MCA Pulau Pinang, Eng Hiap Boon meletak jawatan daripada semua jawatan parti, kerana mendakwa kecewa dengan kepimpinan MCA.

penang mca youth chief eng hiap boon quit party 281211 eng hiap boonEng (kanan) berkata 439 ahli juga turut keluar parti bersama-sama dengan dia, mengakibatkan dua MCA cawangan di negeri itu dibubarkan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di George Town malam tadi, Eng berkata, beliau dan rakan-rakan seperjuangannya amat kecewa dengan pemimpin parti yang menurutnya sedang berdepan dengan isu moral dan tidak beretika dalam kepimpinan mereka.

Perbalahan dalaman parti, tambahnya, semakin buruk dan para pemimpin pula didakwanya enggan melibatkan diri dengan akar umbi atau berkhidmat kepada rakyat secara ikhlas.

Eng dikenali sebagai "penyokong tegar" bekas presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, tetapi tegasnya, tindakannya itu adalah keputusannya sendiri.
Katanya, beliau juga difahamkan bahawa kira-kira 500 ahli parti dari Johor mungkin turut keluar MCA pada masa yang sama (malam tadi), mengakibatkan pembubaran lima cawangan parti itu.

Eng berkata, beliau tidak tahu bila badai itu akan berhenti, tetapi menegaskan bahawa kepimpinan MCA perlu melakukan muhasabah diri.

ANAK tarik Ku Li untuk kempen isu FGVH

Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (ANAK) akan menampilkan putera raja Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah dalam satu program jelajah berhubung isu penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) Bhd ke Bursa Malaysia.

Presiden ANAK, Mazlan Aliman berkata, dengan nama Gerakan Selamatkan Felda itu dirancang untuk membabitkan Tengku Razaleigh atas kapasiti bekas menteri kewangan itu sebagai salah seorang pengasas Felda.

"(Dalam) isu penyenaraian (ini), beliau berhajat bertemu dengan kami. Mungkin sudah sampai masanya beliau menyatakan pendiriannya tentang Felda kerana beliau antara yang terbabit dengan penubuhan Felda," kata Mazlan dalam satu sidang media di ibu negara hari ini.

Katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh hari ini berhubung perkara itu.

Selain Tengku Razaleigh, program jelajah anjuran ANAK dan sepuluh NGO lain itu juga dirancang untuk membabitkan beberapa tokoh lain yang telah berjasa kepada Felda, termasuk seorang bekas pengerusi, Tan Sri Raja Alias Raja Ali.

"Banyak lagi tokoh-tokoh lain (kita sedang berhubung)... Ini untuk melonjakkan kebersamaan dalam isu Felda (supaya) menjadi isu nasional untuk dipertimbangkan secara serius oleh perdana menteri," kata Mazlan.

Dakwat kekal: Pindaan peraturan siap Februari

Jawatankuasa terpilih untuk menambahbaik pilihan raya (PSC) hari ini mengumumkan, pindaan ke atas peraturan pilihan raya untuk mewajibkan penggunaan dakwat kekal akan disiap menjelang 1 Februari.
Pengumuman itu dibuat dalam satu mesyuarat jawatankuasa tersebut di bangunan parlimen hari ini, yang turut menyaksikan demonstrasi penggunaan dakwat kekal berkenaan.
Demonstrasi berkenaan dijalankan oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya kepada anggota jawatankuasa berkenaan.

Dakwat berwarna gelap itu ditunjukkan oleh salah seorang anggota jawatankuasa berkenaan, Anthony Loke melalui satu rakaman foto beliau yang dimuatkan di laman Twitter.

Foto berkenaan menunjukkan dakwat yang telah disapukan di jari telunjuk ahli parlimen Rasah itu.

"Inilah dakwat kekal yang akan digunakan dalam pilihan raya umum akan datang," katanya lagi dalam tulisannya bersama foto tersebut.

Cinta Cristina Suzanne


Bakatnya dalam bidang lakonan sememangnya masih belum teruji. Namun tidak hairanlah kerana figura cantik bernama Cristina Suzanne Stockstill boleh dikategorikan masih hijau dalam industri seni.
 
Namun gadis berusia 26 tahun ini tidak gentar untuk mengharungi pahit maung dalam industri seni dan percaya dia juga bakal mendapat kepercayaan penerbit serta pengarah.
 
Malah semangat dan kata-katanya itu terbukti apabila gadis berdarah kacukan Melayu-Jerman ini ‘dilamar’ pengarah popular, Osman Ali sebagai bintang utama drama terbaru, Bicara Hati yang akan disiarkan bermula 3 Januari ini, jam 9 malam, di Astro Prima.
 
Mengakui dirinya masih mentah dalam dunia lakonan, Cristina atau mesra disapa Cris berkata, dia mendapat tunjuk ajar serta bantuan daripada pengarah serta pelakon yang terbabit produksi itu seperti Shanaaz Ahmad, Marsha Milan Londoh, Abby Nadzri, Balkish dan Lash Mokhtar.
 
“Menerusi Bicara Hati, saya membawa watak sebagai Zahlia, seorang gadis yang lemah lembut selain suka melakukan kerja kebajikan. Dia tidak mudah marah, sebaliknya suka memendam perasaan.
 
“Memang pada awalnya agak mencabar juga untuk membawa watak yang banyak bermain emosi ini. Mujur saya mendapat dorongan daripada Abang Man (Osman Ali). Malah dia banyak membantu dari segi penghayatan watak.
 
“Ini pertama kali saya membawakan watak utama, sudah tentu cabarannya cukup kuat. Saya berharap penonton juga dapat menerima penampilan saya menerusi drama ini,” kata Cris yang tampil bertudung sepanjang membawakan watak Zahlia.
 
Menyentuh tentang penglibatan awalnya dalam bidang seni, Cris berkata, dia pernah bergelar pramugari selama tujuh tahun sebelum mengambil keputusan untuk berhenti kerana mahu mencari arah tuju dalam kehidupannya.
 
“Sebelum in saya pernah berkhidmat sebagai pramugari bersama Penerbangan Malaysia (MAS) dan Qatar Airways. Namun, tujuh tahun menjadi pramugari saya mula terfikir tentang arah tujuan hidup saya.
 
“Kebetulan ibu mencadangkan saya memasuki Pilih Kasih musim kedua. Tidak sangka jodoh saya lebih kuat dalam industri seni,” katanya ramah.

 
Pernah bekerja dengan Eirma 
 
Mengulas pembabitannya dalam lakonan yang seterusnya dijadikan kerjaya baru, Cris berkata, dia terlibat secara serius dalam bidang seni bermula Mac tahun ini.
 
Malah Cris juga pernah bekerja dengan Eirma Fatima pada 2004, sehingga menimbulkan bibit-bibit cintanya dalam bidang seni.
 
“Saya dan Kak Eirma berkenalan melalui MySpace apabila saya yang memulakan perkenalan dengan mengundangnya menjadi rakan laman sosial saya itu.
 
“Kemudian Eirma melamar saya untuk berlakon drama arahannya iaitu Cermin Pada Bulan. Namun saya akur, yang saya tidak boleh membuat kerja dalam satu masa yang mana ketika itu masih seorang pramugari,” katanya yang pernah berlakon dalam drama Kasih Najihah dan Dia Bukan Maryam, kedua-duanya disiarkan di TV9.

 
Selesa guna nama sebenar 
 
Cris yang sebelum ini menggunakan nama Kris Cempaka memilih untuk kembali menggunakan nama sebenarnya kerana nama itu menyimpan banyak nostalgia pada dirinya.
 
“Nama Kris Cempaka itu diberi oleh produksi Pilih Kasih. Memang saya hargai dengan panggilan itu yang memikirkan nilai komersil untuk saya mudah dikenali. Namun selepas keluar dari program itu, saya mahu menggunakan nama sebenar kembali walaupun saya masih mahu berada di dalam dunia lakonan ini.
 
“Saya sebenarnya tidak selesa dengan nama glamor, apa pun saya harus juga hargai nama yang sudah diberikan oleh keluarga saya,” akhirinya.

Anzalna belum bersedia


Bekas finalis Dewi Remaja 2010, Anzalna Nasir, antara nama baru dalam industri hiburan tanah air yang semakin mendapat perhatian pengarah dan penerbit filem serta drama.
 
Ternyata rezeki gadis manis ini semakin mencurah-curah apabila menerima pelbagai tawaran berlakon hingga tidak menang tangan dibuatnya.
 
Baru sahaja selesai penggambaran drama adaptasi novel di TV3, Gemersik Kalbu, anak kelahiran Pulau Pinang ini bagaimanapun tidak mahu terlalu tamak meraih peluang yang ada.
 
Menurut Anzalna, buat masa ini dia lebih selesa memegang watak pembantu dalam sesebuah drama kerana masih belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai pelakon utama.
 
“Saya selesa dengan apa yang ada sekarang walaupun sekadar memegang watak sampingan kerana saya masih dalam proses belajar menghayati watak yang ditawarkan kepada saya.
 
“Sebelum ini ada beberapa pengarah menawarkan saya watak utama dalam drama mereka, tetapi saya terpaksa tolak. Belum masanya lagi untuk saya ambil tawaran seperti ini kerana banyak lagi yang perlu saya perbaiki,” katanya.
Katanya, walaupun masih baru dalam bidang lakonan, setiap watak yang diberikan kepadanya akan cuba dihayatinya sebaik mungkin.
 
“Saya akui lakonan saya tidak sebaik pelakon lain, tapi saya akan lakukan yang terbaik dan saya harap penonton dapat menerimanya,” katanya.
 
Pelakon berusia 23 tahun ini juga bakal membintangi dua filem iaitu Sepah The movie arahan MP Roslin yang akan menemui penonton pada Jun 2012 dan filem Tyickoouns yang akan memulakan penggambaran pertengahan tahun depan.

 
Mahu rehat secukupnya
 
Jika rakan seperjuangannya di Dewi Remaja 2010 seperti Neelofa dan Izara Aisyah semakin mencipta nama, Anzalna juga tidak kurang hebatnya.
 
Menurut Anzalna, sejak empat bulan lalu, jadualnya amat padat dengan sesi penggambaran drama dan filem.
 
“Baru-baru ini saya terpaksa berulang-alik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur selama seminggu untuk menghadiri penggambaran filem Sepah The Movie dan drama Gemersik Kalbu.
 
“Bukannya tamak, tapi atas beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan membuatkan jadual saya menjadi kucar-kacir dan terpaksa berulang-alik,” katanya.
 
Maka, selepas tamat saja penggambaran Sepah The Movie dan Gemersik Kalbu, Anzalna merancang untuk menghabiskan masanya dengan berehat.
 
“Saya akui sangat keletihan dan tidak mendapat rehat yang cukup akibat aktiviti penggambaran tanpa henti.
 
“Oleh itu, saya ambil keputusan untuk berehat seketika sebelum kembali sibuk dengan aktiviti lakonan,” katanya yang sudah memiliki teman istimewa ini.

AdamAF jadi Mentor musim ke-enam!


Sidang media program realiti nyanyian, Mentor yang berlangsung di Sri Pentas, TV3, sebentar tadi, Adam AF diumumkan antara Mentor musim keenam yang bakal bermula awal tahun depan.

Selain pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia musim kedua itu, tugas sebagai Mentor turut diterajui Ramlah Ram, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Ferhad, Ella dan Faizal Tahir. Melihat nama-nama hebat ini, status pemilihan Adam bagaimanapun menjadi tanda tanya ekoran profilnya dalam industri seni tidaklah sehebat mana. 

Apakah penyanyi 'Tak Tahu' ini mampu menggalas tanggungjawabnya sebagai 'sifu' program realiti itu dengan sebaik mungkin?

Mel Gibson sah bercerai


Akhirnya, perkahwinan yang dibina pelakon Mel Gibson bersama Robyn selama tiga dekad, kini menemui jalan penamat.

Hakim mengesahkan pelakon itu bercerai dengan isterinya pada Jumaat lalu.
 
Bagaimanapun, kedua-duanya tidak dilihat menghadiri upacara prosiding berlangsung.
 
Sebelum ini, mereka telah pun duduk berasingan sejak 2006.
 
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tujuh cahaya mata.

Pelajar MRSM johan tahfiz


KAMPUNG CACAR – Bekas pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Paka II, Muhammad Haizul Ezzat Alias, 13, muncul johan program Kem Pra-Tahfiz 2012 setelah mengetepikan lebih 30 peserta lain pada program yang diadakan sempena musim cuti sekolah itu.
 
Haizul Ezzat, yang kini sedang menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan dinobatkan sebagai pelajar terbaik apabila dia berjaya menghafal empat surah al-Quran selain dapat membaca kitab suci itu mengikut sebutan dan kaedah yang betul.
 
Haizul yang ditemui ketika berkongsi kegembiraan berkata, dia akan membaca surah yang dihafalnya beberapa kali untuk membolehkannya mengingati apa yang dibaca.
 
“Sekurang-kurangnya saya baca sepotong ayat itu sebanyak 10 kali untuk membolehkan saya mengingatinya.
 
“Selain itu saya juga fokus ketika mendengar tunjuk ajar dari guru selain banyak membuat hafalan ketika berada di rumah,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu ketika ditemui selepas menerima hadiah dan sijil penghargaan sempena majlis tamat kursus di Masterscaff Holdings delat sini, malam semalam.
 
Program Kem Pra Tahfiz anjuran As Syafie Consultancy yang berpusat di Taman Uda Murni Paka itu bertujuan untuk mendidik golongan remaja agar menjadikan Al-Quran sebagai budaya hidup selain turut menyelitkan ibadah lain sebagai melengkapkan acara.

Dijel curi televisyen hotel


KUALA TERENGGANU – Malang bagi dua lelaki apabila mereka bukan sahaja tidak berjaya mendapatkan televisyen yang cuba dicurinya, malah terpaksa meringkuk dalam penjara selama enam bulan selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan terbabit di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
 
Tertuduh, masing-masing berasal dari Kuala Terengganu iaitu Mohamad Zani Mat Yusof, 23, dari Kampung Nesan Empat, dan Mohd Asyraf Hamdi Mat Din, 20, dari Kampung Tanjung Teluk melakukan perbuatan itu di sebuah hotel, di Jalan Sultan Zainal Abidin, empat hari lepas.
 
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-duanya melaksanakan dengan niat bersama melakukan perbuatan terbabit pada 25 Disember lalu kira-kira jam 4.30 petang di Hotel Suria Inn dan telah mencuri dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat kediaman daripada milikan Wong Soon Woei, 38, iaitu sebuah televisyen LCD 32 inci bernilai RM1,600.
 
Kedua-duanya melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
 
Mengikut fakta kes, kedua-duanya dikatakan telah menggunakan tali plastik untuk mengeluarkan televisyen di bahagian ruang tamu tingkat satu itu melalui tingkap hotel.
 
Bagaimanapun, perlakuan kedua-duanya disedari oleh orang ramai yang berada di kedai makan bersebelahan hotel tersebut dan bertindak menghentikan perbuatan terbabit.
 
Pemilik kedai makan kemudian menghubungi pemilik hotel terbabit yang ketika itu sedang berada di kediamannya di Jalan Sultan Zainal Abidin bagi memaklumkan berhubung perkara itu.
 
Pengadu yang ke tempat kejadian kemudian mendapati orang ramai telah menangkap kedua-dua tertuduh terbabit dengan kesan lebam di bahagian badannya.
 
Pengakuan pertuduhan dibuat di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof dan pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi.

Gara-gara pukul bekas adik ipar


KUALA TERENGGANU – Tindakan seorang pembantu kantin yang bertindak memukul bekas adik iparnya membawa padah apabila dihukum denda sebanyak RM1,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Norliza Juliana Mohd Arif, 24, ibu kepada dua anak berasal dari Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, di sini, telah memukul mangsa, Nurul Hazlinda Md Nong, 23, dengan menggunakan kunci tambahan motosikal dipercayai akibat provokasi daripada mangsa sebelum kejadian tersebut yang bertindak menarik tudung tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 11 September lalu, kira-kira jam 4 petang di Jalan Mengabang Telipot, di sini dan dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad dari Tetuan Mohd Hayyatuddin & Co membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof dan pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi.

Berdasarkan fakta kes, pada 11 September lalu kira-kira jam 4 petang, pengadu bersama rakannya menaiki motosikal di Jalan Mengabang Telipot, di sini, dan secara tiba-tiba tertuduh memukul tangan pengadu menggunakan kunci tambahan motosikal (kunci fox).

Berikutan itu, pengadu mengalami kecederaan di pergelangan tangan kirinya dan membuat laporan di Balai Polis Gong Badak sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Hasil siasatan mendapati tertuduh mengaku memukul pengadu menggunakan kunci tambahan yang terdapat di dalam motosikalnya dan kejadian itu berlaku disebabkan masalah keluarga.

Dugaan datang bertimpa



KUANTAN – “Sejak suami saya meninggal dua tahun lalu, dugaan datang bertimpa-timpa, Dan jika tidak kuat semangat saya juga tidak mahu hidup lagi,” kata B. Sharta 27 yang kehilangan suami dan anak sulungnya dalam kemalangan jalan raya dua tahun lalu.

Sharta berkata, kemalangan itu bukan sahaja meragut nyawa dua orang yang disayanginya, malah turut merentap kebahagiaan yang dikecapnya selama ini.

“Dalam kejadian itu, hanya saya dan anak bongsu, Kartik, 6 sahaja yang hidup manakala suami, anak sulung, adik ipar dan anaknya turut meninggal kerana kereta bertembung dengan lori.

“Mengenangkan anak bongsu yang masih kecil, saya tabahkan hati untuk menerima dugaan ini dan kini saya hanya berharap agar masa depan anak saya ini cerah biarpun tanpa ayah di sisinya,” katanya.

Selain itu, Sharda juga terkilan kerana tidak dapat bekerja untuk menambah pendapatan keluarganya kerana keadaan kesihatannya yang tidak menentu.

Oleh itu, dia kini menumpang di rumah bapanya yang hanya bekerja susun papan di sebuah kilang.

“Saya bukan tidak mahu bekerja, tetapi kemalangan tersebut telah menyebabkan saya mengalami cedera parah di bahagian kepala dan setiap kali ingin pergi bekerja saya akan rasa pitam.

“Kini, hanya mengharapkan gaji ayah yang tidak seberapa sahaja untuk menanggung kami dua beranak ini,” katanya.

Sementara itu juga, dia juga berharap agar permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat diluluskan.

Menurutnya, permohonan terdahulu telah ditolak kerana factor usianya yang masih muda.

“Jika ikutkan usia, memang saya masih muda,tetapi saya tidak berdaya untuk bekerja dan memerlukan bantuan untuk menyara anak saya ini.

“Apa yang saya harapkan agar anak saya dapat kesempurnaan sepertimana kanak-kanak yang lain,” katanya ketika ditemui Sinar Harian ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali di Taman Sriku di sini.

Sumbangan disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Mohd Sohami Jusoh.

RM25,000 lesap sekali gus


MARAN – Akibat percaya dengan jaminan sebuah bank bahawa wang simpanannya akan selamat, seorang wanita terpaksa berputih mata apabila wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM24,978.89 yang baru sahaja dimasukkan November lalu lesap.

Mangsa, Norhayati Ali,37, dari Ulu Jempol dekat sini berkata, wang tersebut akan digunakan untuk merawat kakinya yang pernah tercedera akibat kemalangan.

Menceritakan kembali kejadian itu, dia memberitahu pernah meminjamkan kad ATM miliknya kepada seorang jirannya dengan alasan mahu menerima deposit tunai dari seorang kenalannya.

“Setelah selesai melakukan urusan pertukaran sistem perbankan internet yang dilakukan oleh saya sendiri atas permintaan jiran yang pada ketika itu bercakap dengan seseorang dalam satu perbualan telefon.

“Kemudian transaksi berkenaan selesai barulah jiran saya memberitahu urusan tersebut dilakukan kerana dia dikatakan telah memenangi hadiah wang tunai dari sebuah syarikat komunikasi melalui satu sistem pesanan ringkas (SMS),” katanya.

Menyedari diri dan jiran telah tertipu, Norhayati mengambil keputusan untuk merujuk kes tersebut kepada bank terbabit bagi memastikan kedudukan akaun banknya selamat bagi mengelakkan risiko pencerobohan pihak sindiket itu.

“Saya berurusan dengan cawangan bank itu di Temerloh dan staf bank tersebut hanya menukarkan kad ATM dan nombor pin baru serta turut memberi jaminan bahawa akaun saya akan selamat jika berbuat demikian.

“Saya kemudiannya memohon wang KWSP dan pihak KWSP mengesahkan wang tersebut telah masuk ke dalam akaun saya. Tetapi apabila disemak, saya dapati wang saya itu telah dikeluarkan melalui sistem perbankan internet,” katanya.

Norhayati kemudiannya membuat laporan polis di Temerloh dan kemudiannya kes tersebut dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Maran.

Menurutnya lagi, polis menasihatinya agar menyelesaikan masalah tersebut dengan pihak bank.

“Sebulan lalu saya membawa kes ini untuk dirujuk pihak atasan bank tersebut. Mereka berjanji akan menyelesaikan masalah ini dalam masa dua minggu tetapi sehingga kini masih belum selesai.

“Sudah banyak masa dan wang saya habiskan untuk menyelesaikan masalah saya ini. Malah saya telah pergi ke ibu pejabat bank tersebut ydi Kuala Lumpur, tetapi mereka tetap memberikan jawapan yang sama,” katanya.

Oleh itu Norhayati menuntut bank terbabit bukan sahaja membayar semula wang yang telah hilang itu, malah turut meminta ganti rugi kerana banyak wang telah dilaburkan untuk kes ini.

Sekiranya masalah ini belum selesai, dia tidak akan teragak-agak untuk membawa kes ini ke mahkamah.

Dalam pada itu, Sinar Harian turut menghubungi pihak bank terbabit namun menurut mereka, keputusan masih belum diterima kerana kes itu masih dalam siasatan.

Membeli' ketenangan



Pengarah terkenal Cameron Crowe 'menghilangkan' diri selepas Elizabethtown (2005) gagal menerima perhatian pawagam dan pengkritik. Kembali aktif tahun ini menghasilkan dokumentari Pearl Jam Twenty dan The Union (mengenai Elton John), dia juga membawakan filem We Bought A Zoo.
Filem ini berdasarkan kisah benar seorang wartawan dari Britain, Benjamin Mee. Walaupun Crowe mengubah latarnya kepada Southern California, itu tidak mengubah jalan cerita dan pengalaman sebenar duda beranak dua ini dalam mendapatkan semula kehidupan selepas kematian isteri.
Anaknya, Dylan dibuang sekolah selepas tiga kali melakukan kesalahan besar, termasuk mencuri. Manakala Rosie masih meminta sarapan yang sering disediakan ibu mereka. Terdesak untuk menggembirakan anak-anak dan mahu meninggalkan memori lama, Mee membeli sebuah rumah di pinggir bandar.
Rumah itu sebenarnya adalah pusat pengurusan zoo yang terbiar. Meskipun berdepan hutang yang banyak dan wang simpanan yang semakin menyusut, namun dibantu beberapa pekerja, Mee bertekad membuka semula zoo itu; seperti mana dia mahu membuka buku baru dalam kehidupannya.
Membaca sinopsis seimbas lalu, We Bought A Zoo mempunyai motif yang sama seperti filem-filem bertemakan haiwan yang lain, antaranya Hachiko (2009) atau Dolphin's Tale (2011). Naskhah sebegini mempunyai kecenderungan memerah simpati dan air mata penonton dengan cara mudah.
Begitupun, Crowe bijak untuk tidak memanipulasikan perasaan secara murahan. Secara peribadi, saya merasakan filem ini lebih dekat dengan penonton dewasa, meskipun ia berkisar kepada zoo dan cuba menarik perhatian kanak-kanak dengan syot haiwan-haiwan yang comel.
Untuk dua puluh minit pertama, filem ini seakan mencari rentak yang sesuai. Penonton tidak mampu 'menggenggam' apa yang ingin diberikan Crowe, di antara sebuah naskhah melankolik dengan percubaan-percubaan comel pelakon berusia tujuh tahun, Maggie Elizabeth Jones dalam mengambil hati penonton.
Diselang-selikan dengan jenaka Thomas Haden Church sebagai abang Mee dan watak ejen hartanah yang banyak cakap lakonan J.B Smoove, penonton hanya mula merasai momentum yang kukuh sebaik saja mereka berpindah rumah.
We Bought A Zoo tidak sebaik atau senostalgik dua drama itu. Namun Crowe masih berupaya menangani naskhah ringan dengan penuh kasih sayang. Penonton mudah berasa hangat dan tersentuh menerusi skrip yang sentimental, tetapi tidak memualkan dan dibumbu sedikit humor.
Tidak dinafikan lakon layar tulisan Crowe dan Aline Brosh McKenna (The Devil Wears Prada, 2006) berpegang kuat kepada momen sinematik Hollywood. Contoh jelas, babak penamat apabila berduyun-duyun pengunjung datang ke zoo dan sanggup memanjat batang pokok yang tumbang akibat hujan ribut.
Penonton mempunyai pilihan untuk mencebik atau berasa sebak pada babak ini, tetapi untuk filem bertemakan inspirasi, penghujung sebegitu adalah perlu.
Matt Damon adalah pilihan yang tepat untuk watak Benjamin Mee. Dia mengisi karakter itu dengan pesona seorang bapa, lari jauh dari labelnya sebagai ejen Jason Bourne atau lelaki lurus berkaca mata dalam The Informant! (2009).
Damon merupakan salah seorang aktor gred A yang sesuai menggalas apa jua peranan, dalam apa jua bentuk fizikal, seperti lelaki yang beruban dan gempal. Dia mengadunkan perasaan ceria dan derita dalam dos yang secukupnya, mengelakkan persembahannya kelihatan cheesy.
Biarpun lakonan Elle Fanning tidak menyerlah seperti dalam Super 8 (2011), dia tetap dilihat sebagai aktres yang berpotensi besar. Lebih-lebih lagi dia tidak tenggelam di samping pelakon sepopular Scarlett Johansson yang meninggalkan aura seksinya untuk watak ketua penjaga zoo yang selekeh, Kelly Foster.
Barangkali We Bought A Zoo sekadar sebuah lagi filem kekeluargaan dengan penghujung yang menggembirakan.
Namun, tidak salah rasanya untuk kita menonton naskhah yang mengangkat semangat insani ala tipikal Hollywood untuk berasa damai dan tenang dalam kekecohan dunia hari ini.

Mengenang Lagenda



PADA 11 Oktober 2011 yang lalu, penyanyi veteren Datuk Mohd. Jais Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Ahmad Jais telah kembali ke rahmatullah kerana menghadapi kompiklasi paru-paru. Allahyarham ketika itu berumur 75 tahun.
Bagi mengenang segala jasa dan memberi penghargaan kepada seniman lagenda tersebut, Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah mengadakan sebuah konsert Konsert Budi Setahun Segunung Intan.
Konsert yang diadakan pada 24 Disember lalu itu adalah suatu persembahan khas yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1.
Konsert ini dimeriahkan dengan penampilan barisan artis daripada pelbagai generasi dan genre muzik bersama menyanyikan lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham.
Antara artis yang terlibat adalah Datuk Sharifah Aini, Datuk Yusni Hamid, Datuk Andre Goh, Salamiah Hassan, Nazrey Raihan, Nassier Wahab dan juga Muhaizam.
Selain itu, barisan artis generasi baru pula terdiri daripada Alyah, Haziq, Izwan Pilus, Amir Sofazr, Zehra Zambri dan juga Eddie Nazri.
Antara lagu yang dipersembahkan pada malam tersebut adalah lagu Bungaku Puja Dipetik Orang, Seraut Wajah, Budi Setahun Segunung Intan, Di Ambang Sore, Joget Mengikat Janji dan juga Takwa Iman.
Menariknya, konsert tersebut diiringi persembahan hebat dan memukau daripada kumpulan Orkestra RTM yang sememangnya tidak dapat dinafikan antara kumpulan orkestra terhebat di Malaysia.
Sejurus sebelum konsert bermula, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim telah merasmikan pelancaran buku Gemilang 50 Tahun Orkestra RTM yang mendokumentasikan perjalanan kumpulan tersebut.
Sebagai mengingati seniman lagenda yang mula popular pada era 60-an, konsert tersebut turut menyelitkan sedutan temuramah bersama keluarga, rakan-rakan seniman, wartawan dan juga peminat.
Pemergian Allahyarham ketika masih lagi aktif dalam dunia seni sememangnya merupakan satu kehilangan kepada negara dalam arena muzik tempatan kerana lagu-lagu nyanyiannya masih lagi didengari sehingga kini.
Sebagai menutup kepada konsert yang mengimbau kembali nostalgia dengan lagu-lagu dendangan Allahyarham, lagu Umpan Jinak Di Air Tenang dipersembahkan secara bersama oleh kesemua barisan artis yang terlibat.
Konsert yang bersiaran secara langsung dari Auditorium Perdana, Angkasapuri dan memakan masa hampir dua jam ini dihoskan Raja Azura dan Ivan Toh.

Keadaan banjir di Filipina semakin buruk

CAGAYAN DE ORO 28 Dis. - Banjir terbaru di selatan Filipina dilaporkan membawa lebih kesengsaraan di wilayah itu hari ini, seminggu selepas ribut tropika Washi mengorbankan lebih 1,200 orang dan menyebabkan beratus-ratus ribu lagi penduduk hilang tempat tinggal.
Pengarah Eksekutif Majlis Pengurusan Pengawalan Risiko dan Bencana Kebangsaan, Benito Ramos berkata, beberapa kawasan di pulau Mindanao terus dilanda banjir sejak dua hari lalu, sekali gus memaksa mereka melanjutkan operasi mencari dan bantuan kepada penduduk yang terjejas ekoran ribut itu.
"Beberapa pekan di sebelah timur laut Mindanao dilanda banjir," katanya.
Ramos turut memaklumkan bahawa air sungai utama yang melalui beberapa pekan di wilayah Mindanao telah melimpah tebing, menyebabkan beberapa rumah musnah.
Tambahnya, kerajaan sedang menumpukan perhatian di bandar pelabuhan Iligan dan Cagayan de Oro yang terjejas teruk akibat ribut tropika di mana ramai mangsa dipercayai masih hilang.
Setakat ini lebih 431,000 orang telah dipindah dengan hampir 54,000 mangsa bersesak-sesak di pusat pemindahan di bandar Cagayan dan Iligan.
Angka kematian dilaporkan meningkat kepada 1,249 orang setakat hari ini.
Operasi mencari berpuluh-puluh penduduk yang masih hilang diteruskan, kata Ramos. - AFP

Iran ancam tutup Selat Hormuz

TEHERAN 28 Dis. - Iran mengancam untuk menutup Selat Hormuz yang menjadi laluan transit minyak utama di Teluk, sekiranya sekatan asing dikenakan ke atas eksport minyak mentahnya berhubung program nuklear kontroversi Teheran.
"Jika (negara Barat) menyekat eksport minyak Iran, kami tidak akan membenarkan setitik minyak pun melalui Selat Hormuz.
"Musuh-musuh kami hanya akan berputus asa sekiranya Iran memberi pengajaran keras kepada mereka," kata Timbalan Presiden Iran, Mohammd Reza Rahimi seperti yang dipetik agensi berita negara ini.
Ketegangan antara Iran dan negara Barat semakin memuncak sejak satu laporan oleh badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 8 November lalu menyatakan, Teheran sedang membangunkan bom atom dan akan meneruskan penyelidikan nuklearnya.
Amaran Iran semalam dibuat tiga minggu selepas menteri-menteri luar Kesatuan Eropah (EU) bersetuju mengetatkan lagi sekatan ke atas Teheran berikutan laporan berkenaan.
Pertemuan itu turut menyaksikan rancangan yang mungkin menyekat eksport minyak mentah Iran yang merupakan pengeluar kelima terbesar bahan tersebut di dunia.
Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) berkata, amaran Iran itu merupakan satu 'ugutan', tetapi tidak mengulas kenyataan bahawa AS menyokong aliran bebas minyak.
"Ia merupakan satu lagi cubaan untuk mengalihkan tumpuan daripada isu sebenar iaitu program nuklear Teheran yang masih diteruskan sehingga kini," kata jurucakap Jabatan Negara, Mark Toner.
Kenyataan Rahimi itu dibuat ketika Iran melaksanakan latihan tentera laut selama 10 hari di selat tersebut dan perairan sekitarnya yang bermula Sabtu lalu. - REUTERS

Seleweng wang istana


KOTA BHARU 28 Dis. - Polis negeri mengambil keterangan daripada 10 individu berhubung tiga laporan polis yang dibuat Penasihat Undang-undang Istana Kelantan, Datuk Sukri Mohamed terhadap sembilan blog yang didakwa memfitnahnya berkaitan penyelewengan membabitkan jumlah wang melebihi RM1.8 juta.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima ketiga-tiga laporan berkenaan dan semuanya dalam siasatan polis dan hampir lengkap.
"Dua daripada laporan dibuat pada bulan lalu manakala satu lagi pada bulan ini. Polis sudah ambil keterangan daripada 10 individu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini, hari ini.
Jalaluddin bagaimanapun tidak memberi sebarang maklumat mengenai identiti kesemua individu yang diambil keterangan mereka.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan kenyataan Sukri yang menafikan laporan beberapa blog termasuk blog sultanik.wordpress.com yang mendakwa beliau terbabit dengan penyelewengan wang Yayasan Sultan Kelantan berjumlah RM700,000.
Selain itu, beberapa blog turut mendakwa beliau menipu isteri kedua bekas Sultan Kelantan, Cik Puan Elia Suhana Ahmad membabitkan wang berjumlah RM1.8 juta.
Dalam perkembangan lain, Jalaluddin berkata, polis negeri berjaya mencapai indeks penilaian prestasi (KPI) yang ditetapkan apabila kadar jenayah turun sebanyak 14.7 peratus tahun ini setakat 25 Disember lalu.
"Kes yang berjaya diselesaikan adalah 49 peratus dan menunjukkan kita berjaya mencapai KPI yang ditetapkan dan usaha akan diteruskan lagi untuk tahun depan," katanya.
Terdahulu, beliau turut menyerahkan surat penghargaan kepada 65 pegawai dan anggota cemerlang serta penghargaan kepada orang awam kerana memberi maklumat mengenai kejadian kes rogol bersiri di negeri ini, baru-baru ini.

Peniaga terkejut hutang lapuk bank RM600,000

PASIR PUTEH 28 Dis. - Seorang peniaga kedai makan di Kampung Padang Pak Amat, dekat sini terpaksa membuat laporan polis dan mengemukakan aduan kepada Tribunal Pengguna Kelantan selepas dibebani hutang lapuk melebihi RM600,000.
Mangsa, Faridah Muhammad, 45, mendakwa kad pengenalannya telah digunakan untuk membeli barangan di sebuah gedung beli-belah dan membuat pinjaman di enam buah institusi kewangan tempatan.
Katanya, dia hanya menyedari hutang tersebut selepas membuat permohonan untuk mendapatkan pinjaman mikro perniagaan di salah sebuah bank di bandar itu.
"Permohonan saya gagal dan bank tersebut telah menunjukkan senarai nama beberapa buah bank yang menyenarai nama saya sebagai pemiutang tegar, namun sehingga kini saya belum menerima sebarang surat notis yang berkaitan kecuali surat daripada syarikat guaman yang mewakili Court Malaysia Sdn., Bhd.
"Surat berdaftar syarikat guaman itu bertarikh 21 November 2011 memberi notis amaran meminta saya melunaskan hutang tertunggak sebanyak RM15,204.02 dalam kadar segera sebelum diambil tindakan mahkamah," katanya ketika ditemui pemberita di warungnya di Padang Pak Amat, dekat sini hari ini.
Faridah berkata, notis amaran itu diperolehnya ketika pulang ke rumah ibunya di Manek Urai, Kuala Krai pada 23 Disember lepas.
Katanya, ekoran itu, dia telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh pada pukul 12 tengah hari Isnin lalu supaya siasatan dilakukan.
"Pekerja bank serta gedung beli-belah ini juga perlu disiasat kerana mungkin bersubahat dengan kegiatan sebegini termasuk mendapat ganjaran pihak tertentu kerana mempermudahkan pinjaman yang dipohon tanpa perlu menemui pemohon yang sebenar berdasarkan identiti pengenalan diri yang sah.
"Saya menyerahkan kes ini kepada polis untuk menyiasat pelbagai kemungkinan dan bersedia untuk disiasat oleh mana-mana pihak termasuk pihak bank atau pengurusan syarikat terbabit.
"Tidak adil bagi saya untuk melunaskan bayaran berkenaan lebih-lebih lagi kalau diisytiharkan muflis kerana sememangnya saya tidak mampu melunaskannya kerana berpendapatan kecil," katanya.
Faridah berkata, kemungkinan besar kad pengenalan dirinya yang dibuat dalam salinan yang banyak sebelum disalah gunakan oleh individu atau sindiket tertentu untuk mendapatkan wang dengan cara yang mudah sehingga menganiayai orang lain yang terpaksa menanggung bebanan.

Amah dilayan seperti hamba




KUCHING 28 Dis. - Diperlakukan seperti hamba oleh majikan termasuk dibayar RM100 sebulan dan hanya diberi makan sekali sehari, seorang pembantu rumah sanggup menanggung penderitaan itu malah merahsiakannya semata-mata ingin membantu keluarga yang miskin.
Lebih memilukan, mangsa, Chai Chun Mie, 17, yang berasal dari Kampung Bako, di sini mendakwa sering diseksa oleh ibu majikannya yang berusia sekitar 70 tahun.
Tidak cukup dibelasah dengan tongkat kayu, mangsa juga dipukul dengan pinggan kaca atau apa sahaja perkakas rumah yang sempat dicapai warga emas itu, selain dicubit dan dipulas telinga hingga berdarah hanya kerana kesilapan kecil ketika melakukan kerja-kerja rumah.
Penderitaan ditanggung Chun Mie sejak setahun lalu itu akhirnya terbongkar apabila bapanya datang menjenguknya di rumah majikan di Jalan Lapangan Terbang, di sini kira-kira pukul 10 pagi ini.
Tidak sanggup melihat anak sendiri diperlakukan sebegitu, bapanya, Chai Jee Teng nekad melarikan Chun Mie sebelum membuat laporan polis kira-kira pukul dua petang ini.
Jee Teng, 59, yang bekerja sebagai penoreh getah berkata, ketika mula-mula berkhidmat dengan keluarga tersebut, anak sulung daripada lima beradik itu dibenarkan pulang bercuti beberapa hari setiap tiga bulan.
"Kali pertama dia balik, kami hairan melihat badannya kurus kering serta banyak kesan calar di muka namun, dia enggan bercerita perkara sebenar walaupun didesak kami sekeluarga.
"Kemudian, sejak enam bulan lalu, dia tidak lagi pulang ke rumah selain tiada khabar berita langsung menyebabkan saya nekad untuk datang ke rumah majikannya.
"Saya sangat terperanjat dan sedih melihat keadaan dia yang lemah serta kurus dengan kesan luka di seluruh badan, dia dilayan seperti seekor anjing di sana," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Chun Mie kemudiannya dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, jurucakap Balai Polis Kuching mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan menahan ibu majikan mangsa bagi membantu siasatan.

Pelajar IPT dipaksa jadi pelacur

MELAKA 28 Dis. – Hasrat seorang pelajar institut pengajian tinggi (IPT) untuk mencari pekerjaan bagi memenuhi cuti semester bertukar tragedi apabila dia akhirnya dipaksa menjadi pelacur selama sebulan oleh satu sindiket di negeri ini, sejak 29 November lalu.
Lebih malang, gadis berusia 19 tahun itu ditipu rakannya sendiri yang merupakan anggota sindiket pelacuran yang sebelum itu menjanjikan mangsa untuk mendapat pekerjaan di sebuah restoran makanan segera.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, pelajar IPT dari ibu negara itu tiba di negeri ini pada 29 November apabila rakannya itu yang berusia 22 tahun menjanjikannya pekerjaan.
“Namun, belum pun sempat mangsa mendapat pekerjaan, rakannya itu telah memperkenalkannya dengan beberapa lagi rakannya sehingga akhirnya mangsa dipaksa menjadi pelacur.
“Anggota sindiket ini juga telah merakam gambar bogel mangsa dengan mengugut akan mengedarkannya di Internet sekiranya mangsa enggan melayan senarai pelanggan yang telah ditetapkan di sebuah hotel di Taman Melaka Raya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya selain dipaksa melacur di hotel, mangsa yang berasal dari Perak juga dipaksa melayan beberapa lelaki di sebuah rumah selama hampir sebulan.
Menurut Raja Shahrom, bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri menyerbu hotel tersebut pada Ahad lalu.

MAIWP jawab tuduhan seleweng zakat

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggunakan peruntukan khas geran kerajaan bagi menjelaskan kos guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom dan dua yang lain dalam kes membabitkan pertikaian di mahkamah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Muhammad Yamin Ismail berkata, pihaknya mempunyai peruntukan khas daripada geran kerajaan bagi tujuan pembayaran yuran guaman.
"Sejak 1993, peruntukan khas itu telah diwujudkan dan tahun ini peruntukan yang diterima ialah sebanyak RM11 juta termasuk RM700,000 pada tahun sebelumnya.
"Apa yang boleh disimpulkan, keghairahan sesetengah pihak untuk menyalahgunakan proses mahkamah terhadap penjawat awam telah mengakibatkan wang rakyat terpaksa digunakan bagi melayan kerenah mereka yang tidak berkesudahan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjelaskan dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan tiga responden seperti dilaporkan oleh akhbar pembangkang iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain.
Laporan itu mengatakan, Laporan Audit Negara mengesahkan sebanyak RM63,650 telah dikeluarkan daripada dana zakat MAIWP bagi mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk ketiga-tiga mereka.
Turut disebut berhubung isu Che Mat yang telah meluluskan bayaran interim berjumlah RM31,500 menggunakan peruntukan sumber am bagi perkhidmatan perundangan pada 28 Januari 2010 iaitu daripada peruntukan zakat terlebih dahulu kerana geran kerajaan belum diterima pada tarikh tersebut.
Menurut Muhammad Yamin, ketiga-tiga responden berkenaan adalah di bawah seliaan MAIWP sebagai penjawat awam bagi hal ehwal Islam, bukannya atas kapasiti peribadi mereka.
"Adalah menjadi kewajipan kami sebagai pihak berkuasa agama Islam untuk menanggung kos pembelaan bagi sebarang tindakan guaman terhadap mereka bertiga.
"Tohmahan yang dihadapi oleh ketiga-tiga responden ketika ini telah membawa kepada banyak pertikaian di mahkamah.
"Oleh demikian, ia mengakibatkan penggunaan wang rakyat yang sepatutnya disalurkan kepada kepentingan umat Islam," jelas beliau.

Siasatan skandal projek Iskandar

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Lebih 30 saksi termasuk dari Singapura, Switzerland, Pakistan, India dan Arab Saudi telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan dalam skandal projek mega Iskandar Malaysia.
Saksi-saksi itu terdiri daripada pegawai-pegawai Iskandar Investment Berhad (IIB), ahli perniagaan, kontraktor, ahli politik, konsultan dan orang tengah.
Difahamkan, SPRM menjalankan siasatan terhadap saksi-saksi dari luar negara ekoran terdapat maklumat turut wujud unsur rasuah di kalangan konsultan asing dalam projek itu.
Difahamkan siasatan kes itu masih diteruskan dan dijangka beberapa lagi individu akan didakwa dalam masa terdekat.
Menurut sumber, skandal itu disifatkan sebagai terancang berikutan wujudnya rangkaian termasuk orang dalam yang mendedahkan maklumat berkaitan kontrak dan beberapa projek Iskandar Malaysia.
"Perbuatan rasuah dan penyelewengan kuasa difahamkan berlaku ketika pegawai-pegawai kanan IIB menyalurkan maklumat tender kepada syarikat kontraktor berkaitan.
"Orang-orang tengah atau runner pula bertindak mengambil wang suapan untuk disampaikan kepada pihak yang berurusan dengan mereka.
"Perbuatan rasuah inner circle itu membabitkan orang dalam dan kontraktor. Mereka bersepakat dalam rancangan tersebut dan mendapat bahagian masing-masing," kata sumber itu ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Turut difahamkan, salah seorang pegawai kanan IIB yang disyaki terlibat dalam skandal tersebut memperoleh gaji mencecah RM40,000 sebulan.
Semalam, suami bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IIB mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tiga tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM1.6 juta tahun lalu.
Mohd. Amin Suhaimi, 52, yang juga pengarah sebuah syarikat swasta membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Nasir Nordin.
Di mahkamah yang sama hari ini, bekas Naib Presiden Kanan IIB, Rostam Razali, 51, didenda RM20,000 selepas mengaku salah mendedahkan maklumat harga anggaran bidaan sebuah projek kepada bakal penender tiga tahun lalu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...