PUTRAJAYA - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bersetuju peruncit menambah kuota simpanan minyak masak sebanyak 10 peratus untuk bulan ini bagi menjamin bekalan bahan itu mencukupi terutama menjelang perayaan Tahun Baru Cina.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kementeriannya telah menerima surat daripada MPOB yang membenarkan peruncit menyimpan stok lebih apabila pembungkusan semula  dan pengangkut dijangka cuti panjang sempena sambutan Tahun Baru Cina pada 23 dan 24 Jan ini.

"Dengan penambahan kuota minyak masak ini untuk bulan ini, maka tiada masalah (bekalan minyak masak mencukupi)," katanya pada satu sidang media di sini hari ini sebagai mengulas kekurangan bekalan minyak masak yang dilaporkan berlaku kebelakangan ini.

Selain itu, beliau berkata KPDNKK juga membuat persediaan awal dengan membenarkan pejabatnya di setiap kawasan menyimpan stok bagi menjamin bekalan minyak masak mencukupi menjelang cuti perayaan Tahun Baru Cina yang agak panjang nanti.

Ismail Sabri berkata kuota menyimpan bekalan minyak masak di setiap kedai runcit adalah berdasarkan populasi di kawasan tersebut.

"Sekiranya kawasan yang mempunyai ramai penduduk, maka peruncit di kawasan tersebut dibenarkan menyimpan lebih banyak stok minyak masak," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan bahawa tiada masalah kekurangan bekalan minyak masak dalam negara sebaliknya ia hanya sekadar 'kes terpencil'.
Sambil memberi contoh, beliau berkata "kekurangan minyak masak" yang dilaporkan di Temerloh, Pahang akhir-akhir ini adalah berpunca daripada masalah dalaman antara pemborong dan peruncit yang gagal menjelaskan hutang yang mencecah RM50,000.

Selain itu, beliau berkata "masalah kekurangan minyak masak" di beberapa kedai pada minggu lepas adalah berikutan cuti sempena Tahun Baru yang menyebabkan pembungkusan semula tutup kilang dan pengangkut cuti dan tidak membuat penghantaran.

"Ini hanya kes terpencil dan ini tidak boleh dianggap sebagai kekurangan minyak masak," katanya.