Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 10 January 2012

Tetap cari emas walau ‘pyrite’

JOHOR BAHRU 10 Jan. – Orang ramai terus melakukan aktiviti mendulang dan mencari batu yang didakwa disaluti emas di Kampung Melayu Majidee di sini meskipun ia telah disahkan sejenis mineral dikenali sebagai ‘pyrite’ dan tidak mempunyai sebarang nilai.
Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains negeri, Shahar Effendi Abdullah Azizi berkata, beliau bersama empat pegawainya telah mengambil sampel batu di lokasi tersebut pagi ini dan hasil kajian ke atas batu itu mendapati ia tidak mempunyai unsur emas seperti didakwa penduduk.
‘‘Sebaik sahaja kami membuat kajian ke atas batu itu, didapati ia bukan emas dan hanyalah sejenis mineral dan saya terus memaklumkan kepada orang ramai yang sibuk mendulang tentang perkara sebenar.
‘‘Saya sendiri turut menunjukkan perbezaan sampel batu yang disaluti emas seperti yang diambil di Mersing sebelum ini dengan batu di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan Kampung Melayu Majidee di sini secara tiba-tiba menjadi tumpuan ramai sejak seminggu lalu selepas batu-batu di Jalan Mewah kampung berkenaan didakwa disaluti emas.
Menurut Shahar, orang ramai dinasihatkan agar tidak lagi melakukan aktiviti tersebut kerana ia tidak memberi sebarang manfaat kepada mereka.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan berkenaan pada pukul 5 petang mendapati orang ramai masih sibuk melakukan aktiviti mendulang dan mencari batu berkenaan.
Namun seorang penduduk, Bashar Bakar, 54, dia tidak lagi melakukan aktiviti tersebut selepas anak saudaranya yang mempunyai kedai emas di Jalan Wong Ah Fook di sini mengesahkan batu tersebut tidak disadur emas.
‘‘Sebaik sahaja anak saudara saya yang mahir tentang emas mengatakan batu itu tidak disadur emas, saya tidak lagi mencari batu berkenaan,” katanya.
Bagi Nzali Shafian, 45, meskipun agak kecewa apabila dimaklumkan batu berkenaan tidak disaluti emas, dia bagaimanapun tetap akan menyimpan batu berkenaan untuk dijadikan kenangan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...