Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 3 January 2012

Ah long cuba berlagak kebal


KADAR faedah pinjaman yang tinggi yang dikenakan oleh ah long kepada peminjam banyak membebankan peminjam terutama bagi yang gagal melunaskan hutang pinjaman pada masa yang ditetapkan. – Gambar hiasan


BAHAGIAN pertama laporan khas ah long semalam menyingkap modus operandi yang digunakan oleh kumpulan terbabit dalam usaha menipu peminjam agar menjadi mangsa mereka. Malangnya kegiatan ‘memeras’ tersebut seolah-olah tidak dihiraukan oleh peminjam apabila mereka sendiri akan mencari ah long setiap kali berdepan dengan masalah kewangan.
Justeru, siapa yang harus dipersalahkan? Ah long yang memberi pinjam atau peminjam yang sengaja mencari ah long?
Ikuti bahagian kedua laporan khas ah long ini yang disediakan wartawan, MOHD. RAFIE AZIMI dan TERMIZI CHE ANUAR.
KUALA LUMPUR 3 Jan. – Pertemuan dengan orang tengah atau ‘runner’ ah long serta ‘taukenya’ sendiri mendapati mereka akan cuba berlagak seolah-olah tidak takut langsung dengan undang-undang setiap kali berurusan.
Malah, sewaktu melakukan penyamaran bersama seorang peminjam (mangsa) dengan bertemu salah seorang ‘runner’ dikenali sebagai Rosli di Kajang, dia tanpa berselindung mendakwa bos atau taukenya tidak gentar dengan polis kerana mempunyai ramai ‘kaki’ yang sudah ‘dibeli’ termasuk di Bukit Aman.
“Kalau setakat polis, tak jalan (tak takut)... Dia (bos) ada duit, polis dia boleh beli sampai Bukit Aman pun ada orang dia. Tapi kalau cakap dengan menteri, dia takut.
“Sekarang dah tak ada pukul-pukul lagi. Setakat tampal-tampal poster dan gertak sahaja selepas polis buat tindakan besar-besaran,” katanya.
Kenyataannya itu merujuk kepada kempen ‘Perangi Ah Long’ yang dilancarkan Kementerian Dalam Negeri pada 2009.
Rosli menambah, dia sendiri pernah menguji taukenya itu dengan bertanyakan sama ada mahu memukul seorang peminjam yang liat membuat bayaran.
“Akhirnya bos kata tak perlu. Saya tengok dia lebih menggunakan pendekatan psikologi dan bijak bermain kata-kata bagi menggertak peminjam,” katanya yang sudah lima tahun terlibat dalam bidang itu.
Ketika ditanya sama ada perniagaan yang dijalankan itu mempunyai lesen atau tidak, dengan selamba Rosli menjawab: “Cuba awak tanya dia ada bayar cukai atau tidak? Ah long mana ada lesen.’’
BERJUMPA AH LONG
Keesokan harinya, Utusan Malaysia bersama peminjam (mangsa) serta wakil sebuah pertubuhan bukan kerajaan bertemu ah long tersebut di pejabatnya yang terletak di tengah-tengah bandar Kajang.
Seperti diberitahu Rosli sebelum itu, pergerakan kami sentiasa diperhatikan dan diawasi oleh kira-kira empat orang suruhan ah long tersebut.
Bagaimanapun, sangkaan kami kononnya ah long itu akan bertindak kasar meleset kerana dia ternyata menyambut dengan mesra dan tidak mempunyai masalah untuk berbincang.
Dalam perbincangan tersebut, mulanya ah long yang dikenali sebagai Jaswant mahukan RM19,000 untuk menutup kes sedangkan pinjaman dibuat hanyalah RM15,000.
Menurut peminjam, selama ini dia telah membuat pembayaran sebanyak lebih RM30,000.
Jaswant kemudiannya bersetuju untuk mengurangkannya kepada RM9,000 sahaja dengan dua kali bayaran dalam tempoh sebulan.
Dalam pada itu, ketika ditegur bahawa tindakannya itu salah kerana undang-undang hanya membenarkan kadar faedah tidak melebihi 1.5 peratus sebulan atau 18 peratus setahun bagi pinjaman tanpa cagaran, Jaswant awal-awal lagi memintas.
“Kalau diikutkan begitu, bank pun sama juga. Mereka kata kad kredit tiada apa-apa caj tetapi kenakan juga caj dua peratus.
“Cuma orang saja tak tahu. Tetapi caj tersembunyi itu memang ada di mana-mana pun. Awak pergi Bank Negara mengadu kononnya bank lain kenakan caj tinggi, mereka akan kata dah tetapkan pekeliling tetapi peminjam sendiri yang setuju dengan bank yang mengenakan caj.
“Disebabkan itu, Bank Negara tak campur. Semua itu sama juga dengan apa yang berlaku di sini,” dakwanya.
Sebelum pulang, kami menyatakan kepada Jaswant agar tidak lagi memberikan pinjaman kepada mangsa.
“Itu susah saya mahu cakap, dia yang datang cari kita. Di sini banyak pertubuhan malah wakil parti politik datang mahu selesaikan hutang peminjam tetapi akhirnya peminjam cari kami semula.
“Kami jalankan perniagaan, itu anda kena fahamlah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...