Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 3 January 2012

‘Saya rimas pakai topeng’

KUALA BERANG: “Bukan sebab malu, tapi rasa rimas dan panas apabila memakai topeng itu menyebabkan saya lebih selesa mengikuti pembelajaran di dalam kelas tanpa memakainya,” kata Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 10, ketika ditemui pada hari pertama persekolahan sesi 2012 di Sekolah Kebangsaan Padang Star, Sekayu, semalam.
Nurul Dahyatul atau lebih mesra dipanggil Lin di kalangan ahli keluarganya kelihatan gembira dan seronok mengikuti sesi pembelajaran di dalam kelas Tahun Empat Pintar.

Dia yang menjadi mangsa simbahan asid oleh bapa sendiri dalam kejadian pada 15 Ogos 2010 berkata, mukanya sering gatal-gatal dan terpaksa menyapu ubat setiap malam bagi melegakan rasa gatal itu.
“Jika diikutkan, saya perlu memakai topeng 23 jam sehari dalam tempoh dua tahun, tetapi tidak tahan kerana berasa rimas dan panas.

“Saya tidak kisah jika muka bermasalah sekalipun asalkan boleh memberi tumpuan dalam kelas kerana topeng itu sedikit sebanyak mengganggu tumpuan saya di dalam kelas,” katanya.

Menurutnya, dia lebih semangat belajar apabila memperoleh keputusan memuaskan pada peperiksaan tahun tiga lalu dengan menduduki tempat kesembilan daripada 35 pelajar dalam kelasnya.

“Saya akan berusaha lebih gigih untuk memperoleh keputusan lebih baik. Sasaran saya ialah memperoleh tempat pertama pada peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun,” katanya yang bercita-cita menjadi doktor.

Sementara itu, ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, berkata, dia bangga dan puas hati dengan kecemerlangan serta potensi ditunjukkan Lin dalam pelajaran.
“Walaupun dia mengalami masalah pada wajahnya, dia tetap membuktikan kemampuannya untuk memperoleh keputusan yang baik dalam peperiksaan.

“Lin sebenarnya menderita kerana dia sukar bernafas ketika tidur.

“Saluran hidungnya yang terlalu sempit membuatkan Lin menanggung derita,” katanya.

Che Ku Zaimah berharap ada pihak menyalurkan bantuan membiayai pembedahan keseluruhan muka Lin yang berjumlah RM300,000.

“Jika diikutkan, Lin perlu menjalani pembedahan seberapa segera, namun kerana faktor kewangan, pembedahan itu terpaksa ditangguhkan sehingga kini.

“Lin juga sudah lima bulan tidak menjalani rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu kerana memerlukan RM100 untuk tambang van atau teksi,” katanya yang berniaga sayur di Pasar Kuala Brang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...