Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 10 January 2012

Petani boleh pinjam RM300,000


Agrobank sedia pembiayaan kepada usahawan tanpa cagaran, penjamin

SERDANG: Mulai bulan depan, usahawan tani boleh memohon pembiayaan tanpa cagaran dan penjamin sehingga RM300,000 dengan kadar faedah empat peratus, dalam usaha meningkatkan bekalan makanan negara.
Pinjaman itu boleh dibuat melalui Agrobank yang menyediakan peruntukan sebanyak RM55 juta bagi tujuan berkenaan.
Pembiayaan itu adalah bagi beberapa projek permulaan (EPP) dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, termasuk penternakan ikan dalam sangkar dan ikan hiasan, ternakan lembu fidlot dan ruminan, taman pengeluaran makanan dan penanaman sayuran serta bunga.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar, berkata sebelum ini usahawan tani hanya menikmati pembiayaan sehingga RM50,000 menerusi skim mikro kredit ditawarkan institusi kewangan dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional), sedangkan jumlah itu tidak mencukupi untuk mengembangkan aktiviti pertanian.

Katanya, petani dan penternak sukar mematuhi syarat pinjaman terutama menyediakan cagaran kerana kebanyakan mereka menjalankan aktiviti dengan menumpang di tanah kosong, termasuk yang berstatus Lesen Menduduki Sementara (TOL).

Dengan memberi contoh lebih 60 peratus penanam sayur adalah setinggan yang menumpang tanah kosong, beliau berkata golongan itu terbabit dalam aktiviti penternakan dan pertanian sejak sekian lama tetapi tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
“Menerusi skim diselenggara Agrobank, lebih ramai usahawan tani berupaya mengembangkan aktiviti pertanian sekali gus meningkatkan bekalan makanan negara.

“Bagaimanapun, pinjaman itu khas bagi mereka yang sudah memulakan projek tanaman, ternakan atau pertanian. Mereka yang sudah memperoleh pinjaman daripada TEKUN atau institusi kewangan lain juga boleh memohon,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun Baru di Dewan Serbaguna, Taman Ekspo Pertanian Serdang Malaysia (MAEPS) di sini, semalam.

Hadir sama Timbalannya, Datuk Mohd Johari Baharom dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Hashim Abdullah.

Inisiatif Agrobank itu adalah satu usaha bagi menyahut seruan kerajaan dan memberi sokongan kepada projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Ia juga sebahagian tanggungjawab Agrobank untuk membantu usahawan pertanian dan meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

Program pembiayaan itu terbuka kepada warga negara berumur 18 hingga 60 tahun. Agrobank menetapkan tempoh pembiayaan sehingga 60 bulan, selain memerlukan surat sokongan daripada persatuan berkaitan pertanian yang diiktiraf Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Mereka yang berminat boleh membuat permohonan di 178 cawangan Agrobank di seluruh negara mulai bulan depan.

Terdahulu dalam ucapannya, Noh membidas beberapa agensi kementerian itu yang dilihat tersasar daripada matlamat asal penubuhan dengan menjalankan aktiviti lain terutama perniagaan.

“Agensi sudah menjadi seperti kontraktor dan pembekal, lebih menjalankan aktiviti bisnes daripada hendak memajukan sektor pertanian. Kita perlu cari jalan bagaimana hendak menarik lebih ramai golongan muda berminat menyertai aktiviti perikanan, penternakan dan pertanian.

“Kegagalan agensi memainkan peranan masing-masing turut menggagalkan usaha mengawal harga produk pertanian di pasaran dan mengekang pembabitan orang tengah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...