Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Wednesday 28 December 2011

Peniaga terkejut hutang lapuk bank RM600,000

PASIR PUTEH 28 Dis. - Seorang peniaga kedai makan di Kampung Padang Pak Amat, dekat sini terpaksa membuat laporan polis dan mengemukakan aduan kepada Tribunal Pengguna Kelantan selepas dibebani hutang lapuk melebihi RM600,000.
Mangsa, Faridah Muhammad, 45, mendakwa kad pengenalannya telah digunakan untuk membeli barangan di sebuah gedung beli-belah dan membuat pinjaman di enam buah institusi kewangan tempatan.
Katanya, dia hanya menyedari hutang tersebut selepas membuat permohonan untuk mendapatkan pinjaman mikro perniagaan di salah sebuah bank di bandar itu.
"Permohonan saya gagal dan bank tersebut telah menunjukkan senarai nama beberapa buah bank yang menyenarai nama saya sebagai pemiutang tegar, namun sehingga kini saya belum menerima sebarang surat notis yang berkaitan kecuali surat daripada syarikat guaman yang mewakili Court Malaysia Sdn., Bhd.
"Surat berdaftar syarikat guaman itu bertarikh 21 November 2011 memberi notis amaran meminta saya melunaskan hutang tertunggak sebanyak RM15,204.02 dalam kadar segera sebelum diambil tindakan mahkamah," katanya ketika ditemui pemberita di warungnya di Padang Pak Amat, dekat sini hari ini.
Faridah berkata, notis amaran itu diperolehnya ketika pulang ke rumah ibunya di Manek Urai, Kuala Krai pada 23 Disember lepas.
Katanya, ekoran itu, dia telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh pada pukul 12 tengah hari Isnin lalu supaya siasatan dilakukan.
"Pekerja bank serta gedung beli-belah ini juga perlu disiasat kerana mungkin bersubahat dengan kegiatan sebegini termasuk mendapat ganjaran pihak tertentu kerana mempermudahkan pinjaman yang dipohon tanpa perlu menemui pemohon yang sebenar berdasarkan identiti pengenalan diri yang sah.
"Saya menyerahkan kes ini kepada polis untuk menyiasat pelbagai kemungkinan dan bersedia untuk disiasat oleh mana-mana pihak termasuk pihak bank atau pengurusan syarikat terbabit.
"Tidak adil bagi saya untuk melunaskan bayaran berkenaan lebih-lebih lagi kalau diisytiharkan muflis kerana sememangnya saya tidak mampu melunaskannya kerana berpendapatan kecil," katanya.
Faridah berkata, kemungkinan besar kad pengenalan dirinya yang dibuat dalam salinan yang banyak sebelum disalah gunakan oleh individu atau sindiket tertentu untuk mendapatkan wang dengan cara yang mudah sehingga menganiayai orang lain yang terpaksa menanggung bebanan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...