Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Wednesday 28 December 2011

2 minggu hafal 9 juzuk



Sabda Rasulullah SAW menerusi hadis jelas menunjukkan kepada kita ganjaran yang Allah janjikan kepada orang yang membaca al-Quran dan menghayatinya.
Ramai yang beranggapan ketenangan boleh dicari dan mudah diperolehi seperti menikmati keindahan semulajadi atau melawati kawasan yang indah dengan suasana yang permai.
Namun, sejauh mana ketenangan itu dikecapi dan berkekalan dalam diri seseorang, atau ia hanya bersifat sementara.
Pendakwah bebas, Asni Mansor berkata, ketenangan sebenar adalah apabila seseorang itu dapat menikmati nikmat hidup tanpa dibelenggu perasaan keluh kesah.
Seseorang itu belum dikatakan mendapat ketenangan sebenar jika sentiasa resah dan tidak tenteram memikirkan masalah harian walaupun memiliki pelbagai kemewahan dan kesenangan dunia.
Beliau berkata, salah satu kaedah untuk mengecapi ketenangan itu adalah dengan mempelajari, membaca dan menghayati al-Quran.
"Jiwa manusia memerlukan sesuatu yang boleh dijadikan sebagai penyucian jiwa. Oleh itu, mukjizat al-Quran merupakan sumber ketenangan sebenar yang mampu dikecapi oleh setiap insan.
"Tanpa ketenangan jiwa maka akan mengakibatkan berlakunya pelbagai keruntuhan akhlak, perkembangan gejala sosial dan perbuatan tidak sihat dalam kalangan masyarakat terutama golongan muda," katanya ketika ditemui di Kem Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat, baru-baru ini.
Beliau berkata, pendidikan al-Quran perlu diterapkan oleh setiap kanak-kanak bagi mendidik mereka menjadi generasi al-Quran pada masa depan.
Tambahnya, setelah hampir 11 bulan murid diberikan dengan pelbagai pendedahan ilmu akademik, maka sedikit ruang perlu disediakan bagi memenuhi hati dan fikiran dengan santapan nurani iaitu menggunakan ayat suci al-Quran.
"Hati dan jiwa kita juga memerlukan sesuatu sebagai landasan penyucian rohani yang dapat memberikan ketenangan. Dengan menghayati kalam Allah itu, secara tidak langsung mampu membersihkan sifat buruk seseorang dan mengubah sikap mereka kepada lebih baik," katanya.
Seorang peserta kem Tahsin al-Quran, Adib Fikri Jamil, 17, berkata, timbul satu perasaan dalam dirinya yang sebelum ini belum pernah dirasakan apabila dapat memberi fokus sepenuhnya kepada al-Quran.
"Sukar untuk saya gambarkan perasaan ini, tetapi apa yang mampu saya katakan adalah jiwa saya terasa tenang dan gembira apabila mengikuti kem ini yang menekankan pendekatan ala madrasah.
"Tidak sangka, kelapangan jiwa dan fikiran yang dianugerahkan ini membuatkan saya mampu menghafal hampir sembilan juzuk selama dua minggu berada di kem Tahsin al-Quran ini," katanya.
Anak pertama daripada empat adik beradik itu bercita-cita untuk menjadi tukang masak profesional yang mengamalkan prinsip al-Quran dalam perniagaan dan masakan.
Bagi peserta dari Singapura, Afiq Prasanto, 10, menyertai kem bermatlamatkan penguasaan al-Quran menanamkan minatnya untuk mempelajari dan mengkaji al-Quran dengan lebih mendalam.
"Jika sebelum ini saya jarang membaca al-Quran kecuali pada masa tertentu seperti di sekolah atau masa mengaji sahaja, tetapi dengan menyertai kem al-Quran, saya bertekad untuk mempelajari dan mengkaji ayat-ayat al-Quran dengan mendalam.
"Ini kerana saya ingin mengetahui segala rahsia al-Quran yang belum ditemui pada masa ini. Walaupun pada mulanya saya menolak untuk menyertai kem ini, tetapi akhirnya saya sungguh tertarik dan gembira," katanya.
Anak muda yang peramah itu menanamkan niat untuk memartabatkan pengajian al-Quran di Singapura dan mengembangkan dakwah Islam agar lebih meluas diamalkan di seluruh negara kelahirannya itu.
Sementara itu, bagi Azrina Hidayah Azhar, 11, dia ingin menyambung kursus dan tidak mahu meninggalkan kem kerana terlalu gembira walaupun sedih kali pertama menjejak kaki di kem tersebut.
"Saya selalu menangis sendirian dan meminta untuk dihantar pulang pada minggu pertama berada di kem ini. Saya sangat sedih berjauhan dengan keluarga.
"Bagaimanapun, lama kelamaan perasaan itu hilang sedikit-sedikit kerana terlalu seronok mendapat ramai kawan baru, mempelajari al-Quran serta pengalaman baru di sini," katanya yang telah menyertai kem tersebut sebanyak tiga kali berturut-turut.
Anak pertama daripada dua orang adik beradik itu telah menghabiskan (khatam) bacaan al-Quran sebanyak enam kali pada tahun ini dengan meluangkan banyak masa dalam kem Tahsin al-Quran.
Nurul Asyiqin Rasidi, 16, berkata, dia ingin membuktikan perubahan yang terbaik kepada ibu bapanya dan menjadi contoh kepada keluarga.
"Dengan menyertai kem ini, kini saya tahu kepentingan menunaikan solat, membaca al-Quran dan mengamalkan sunah Nabi SAW.
"Walaupun kita hanya berlumba-lumba mengejar dunia, tetapi ia belum menjamin kejayaan kita jika tidak disertai dengan persiapan rohani dan memohon pertolongan daripada Allah SWT," katanya.
Pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan itu bersyukur kerana pilihan keluarganya menghantar mengikuti kem tersebut merupakan pilihan terbaik yang mampu pelbagai memberikan input positif kepadanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...