Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 27 December 2011

Denda RM1,000 subahat kes khalwat


KAMPUNG RAJA – Seorang pengawal keselamatan terpaksa membayar denda RM1,000 di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam bagi mengelak dia meringkuk sebulan dalam penjara selepas dia mengaku bersalah bersubahat dalam satu kes khalwat.

Lelaki berusia 17 tahun yang beralamat di Kampung Beris Lampu itu membuat pengakuan salah di hadapan Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Dalam pertuduhan itu, bertempat di dalam rumah di Kampung Beris Lampu, Kuala Besut pada 12.50 malam, 20 Disember lalu, tertuduh telah membantu perbuatan khalwat membabitkan sepasang kekasih yang bukan pasangan suami isteri.

Dia dituduh tidak mengambil langkah-langkah munasabah dengan membiarkan pasangan itu melakukan perbuatan tersebut di dalam rumah terbabit.

Sehubungan itu dia dituduh di bawah Seksyen 55 (c) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) Terengganu 2001 kerana penyubahatan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama, iaitu jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Pendakwa Syarie, Norzilawati Said manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Norzilawati yang membacakan fakta kes menyebut, ketika serbuan dilakukan dan pintu rumah diketuk di rumah berkenaan, tertuduh keluar membuka pintu dan kemudian masuk ke dalam bilik.

Penguat kuasa seterusnya membuat pemeriksaan di dalam bilik tersebut dan mendapati seorang lelaki lain yang hanya memakai tuala manakala dua orang perempuan sedang menyorok di sebalik katil.

Pemeriksaan mendapati lelaki yang bertuala merupakan bapa saudara tertuduh dan lelaki itu adalah pasangan salah seorang perempuan warga Indonesia yang sedang menyorok itu.

Manakala seorang lagi perempuan adalah adik kepada lelaki yang bertuala itu dan terdapat seorang wanita warga emas di dalam rumah itu yang merupakan nenek tertuduh.

Tertuduh yang memohon mahkamah meringankan hukuman ke atasnya kerana berpendapatan kecil sebagai pengawal keselamatan membayar denda berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...