Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Saturday 31 December 2011

Komplikasi jangkitan rubela kepada bayi


Rubela atau dikenali sebagai German measles dicirikan dengan bintik-bintik ruam merah.



TAHUKAH anda bahawa salah satu senjata paling berkesan untuk melindungi kesihatan awam ialah dengan imunisasi?
Apakah yang anda fahami mengenai imunisasi? Mungkin anda ada persepsi tersendiri mengenainya.
Atau mungkin lebih banyak salah faham dan tanggapan negatif dilabelkan berbanding kebaikan yang boleh dimanfaatkan.
Imunisasi atau juga dikenali sebagai vaksinasi bertujuan membantu kanak-kanak dan orang dewasa daripada dijangkiti bakteria atau virus yang boleh menyebabkan mereka menghidap penyakit-penyakit tertentu.
Seseorang yang imun terhadap penyakit adalah individu yang telah mendapat perlindungan melalui imunisasi.
Ketua Jabatan Pertumbuhan dan Pembangunan Manusia dan Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Fakulti Perubatan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia - Hospital Kuala Lumpur (UPM-HKL), Prof. Madya Dr. Noraihan Mohd. Nordin berkata, vaksin merangsang sistem pertahanan tubuh dengan menghasilkan antibodi.
Menurut beliau, antibodi ini akan melindungi tubuh daripada dijangkiti penyakit-penyakit tertentu.
``Sehubungan itu, imunisasi amat penting bagi melindungi mereka daripada komplikasi yang berbahaya dan mengancam nyawa mereka,'' katanya.
Dr. Noraihan memberitahu, bayi yang baru dilahirkan yang memperoleh sistem pertahanan tubuh daripada ibunya melalui uri memiliki sistem pertahanan tubuh yang belum matang.
Bagaimanapun, sistem pertahanan tubuh ini hanya boleh bertahan dalam tempoh beberapa minggu atau bulan sahaja.
Menurut beliau, rubela atau dalam istilah perubatannya dikenali sebagai German measles yang disebabkan oleh virus rubela boleh menjangkiti sesiapa saja.
``Seperti penyakit berjangkit yang lain rubela bukanlah sejenis penyakit yang begitu berbahaya.
``Tetapi ia menjadi berbahaya sekiranya virus ini menjangkiti wanita hamil terutama bayi dalam kandungan,'' jelas beliau.
Vaksin diperbuat daripada bakteria yang sama atau sebahagian daripada bakteria yang menyebabkan terjadinya penyakit tersebut.
Bezanya bakteria yang terdapat dalam vaksin yang disuntik adalah bakteria yang telah mati atau dilemahkan.
Justeru, bakteria ini tidak akan menyebabkan mereka yang disuntik jatuh sakit.
Sebaliknya, ia dapat merangsang penghasilan antibodi.
Virus rubela boleh merentasi sistem pertahanan uri dan masuk ke dalam tubuh janin yang sedang membentuk menjadi bayi.
Ancaman yang paling menakutkan oleh virus rubela ini sekiranya ia menjangkiti wanita yang hamil dalam tempoh 12 minggu pertama atau tiga bulan.
Jangkitan virus rubela terutama pada peringkat awal kehamilan ini agak berbahaya kerana sifat janin mula membentuk.
Malah terdapat sebahagian besar bayi yang dilahirkan dengan sindrom konginetal rubela ini begitu lewat dalam perkembangan untuk berjalan atau melakukan aktiviti-aktiviti yang mudah.
Tambah Dr. Noraihan, keadaan ia boleh mendedahkan risiko kecacatan yang tinggi terhadap bayi dalam kandungan.
``Kecacatan ini termasuklah buta, katarak, hilang pendengaran, masalah jantung dan adakalanya terencat akal.
``Dalam peringkat ini, jangkitan virus yang mengakibatkan kecacatan kepada janin dipanggil sebagai sindrom konginetal rubela,'' jelasnya.
Dianggarkan lebih 85 peratus bayi yang dijangkiti dalam tempoh tiga bulan pertama kehamilan terdedah dengan risiko yang berbahaya.
Rubela dicirikan dengan pening kepala, sakit tekak, demam dan ruam kecil berwarna merah merupakan sejenis penyakit yang amat mudah berjangkit.
Ia biasanya menjangkiti kulit dan kelenjar limfa.
Rubela yang disebabkan oleh sejenis virus biasanya ditemui pada tekak, darah dan najis individu yang dijangkiti.
Virus yang masuk ke dalam tubuh melalui hidung atau tekak juga boleh dijangkiti melalui aliran darah wanita hamil kepada janin dalam kandungan.
Menurut Dr. Noraihan, sistem pertahanan tubuh akan bertindak balas pada vaksin yang disuntik ke dalam tubuh ibu yang menyebabkan terbentuknya antibodi.
Antibodi akan melindungi tubuh sekiranya anda diserang oleh penyakit tersebut termasuklah bayi atau janin dalam kandungan.
Di Amerika Syarikat, lebih 20,000 bayi yang dilahirkan dengan kecacatan apabila wabak rubela merebak pada 1964-1965.
Wabak ini dikatakan menyebabkan sekurang-kurangnya 10,000 kes keguguran dan bayi yang lahir mati sejurus dilahirkan.
Dianggarkan 25 peratus bayi yang mendapat jangkitan rubela pada tiga bulan pertama usia kandungan dilahirkan dengan satu jenis atau lebih kecacatan.
Ibu-ibu yang mendapat jangkitan rubela selepas trimester yang kedua, risiko mendapat sindrom konginetal rubela boleh menyebabkan masalah lain seperti:
- Lahir tidak cukup bulan
- Berat badan yang kurang
- Masalah makan
- Cirit-birit
- Jangkitan kuman dalam paru-paru
- Anemia
- Radang paru-paru
- Mudah mengalami pendarahan
- Bintik-bintik merah ungu pada muka dan tubuh
- Pembengkakan hati dan limpa
Bagaimana mengetahui imuniti terhadap rubela
Ujian darah dapat mengenal pasti sama ada seseorang wanita mempunyai antibodi terhadap rubela.
Wanita dinasihatkan supaya menjalani ujian imuniti terhadap rubela sebelum mereka hamil.
Vaksinasi dapat melindungi wanita dan bayi yang bakal dilahirkan daripada sindrom konginetal rubela.
Sehingga kini, belum ada rawatan yang dapat menghindar atau membantu wanita yang mendapat jangkitan rubela semasa hamil.
Malah, vaksinasi juga tidak digalakkan semasa hamil. Wanita terbabit perlu menunggu sehingga tiga bulan selepas vaksinasi sebelum merancang untuk hamil.
Imunisasi ini tidak akan dilakukan terhadap wanita yang hamil.
Bagaimanapun, doktor tidak akan menggugurkan kandungan sekiranya wanita terbabit tidak menyedari bahawa mereka hamil ketika mendapat suntikan imunasi.
Rubela amat mudah berjangkit dalam tempoh satu minggu sehinggalah tujuh hari selepas ruam timbul.
Gejala rubela
- Mengigil
- Sakit kepala
- Bersin
- Batuk
- Sakit tekak
- Suhu badan yang agak panas
Ruam
Selepas gejala-gejala ini, ruam akan timbul bermula dari muka, leher dan seluruh badan.
Kelenjar pada leher juga mungkin akan bengkak.
Fakta
Beberapa perkara yang anda perlu ketahui mengenai imunisasi:
Kanak-kanak memerlukan imunisasi untuk melindungi mereka daripada penyakit kanak-kanak yang berbahaya.
Ini kerana penyakit-penyakit ini boleh mengakibatkan komplikasi yang serius, malah boleh mengancam nyawa mereka.
Penyakit kanak-kanak yang boleh dicegah dengan suntikan vaksin terdiri daripada:
a. Campak
b. Beguk
c. Polio
d. Rubela
e. Batuk kokol (Pertusis)
f. Penyakit difteria - penyakit berjangkit pada tekak, kulit dan lain-lain anggota tubuh secara tiba-tiba
g. Kancing mulut (Tetanus)
h. Haemophilus influenza jenis B - penyebab utama radang selaput otak
i. Hepatitis B
j. Cacar air
k. Pneumococcal

Ringkasnya, imunisasi adalah satu program suntikan berkala untuk bayi dan kanak-kanak bagi mencegah mereka daripada dijangkiti penyakit-penyakit tertentu.
Vaksin difteria (DPT), pertusis, tetanus diberi kepada bayi ketika bayi berumur tiga, empat atau lima bulan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...