Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Monday 26 December 2011

Kereta mewah taktik baru pengusaha bas sekolah haram


KUALA LUMPUR: Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) mendedahkan masalah pengangkutan sekolah haram kini kian meruncing dengan taktik operasi terbaru menggunakan kenderaan persendirian mewah, terutama pacuan empat roda untuk mengaburi pandangan pihak penguat kuasa.

Setiausaha Agung PPBSM, Md Saad Mohamad, berkata pengusaha terbabit menggunakan helah kononnya membantu mengangkut anak jiran jika ditahan penguat kuasa, sedangkan mereka mengaut keuntungan dengan berulang-alik antara dua hingga tiga kali sehari.
Beliau mendakwa, lebih 500 pengangkutan sekolah haram sedang beroperasi di seluruh negara dengan purata setiap sekolah menjadi lubuk sekurang-kurang tiga pengusaha terbabit, malah ada yang mencecah sehingga 10 kenderaan terbabit.
Katanya, operasi pengangkutan haram itu kian berleluasa apabila sesi persekolahan baru dibuka tidak lama lagi berikutan ia `merebak’ kepada penggunaan kenderaan persendirian mewah, berbanding bas dan van tanpa permit sebelum ini.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Pemilik dan Pemandu Bas Sekolah Daerah Johor Bahru berkata, keadaan itu mencetuskan persaingan tidak sihat terhadap pengusaha bas sekolah berlesen, lebih-lebih lagi ramai ibu bapa cenderung menggunakan perkhidmatan persendirian atau van sekolah haram atas alasan anak sampai awal ke rumah.

“Jadi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diminta mengambil tindakan membanteras operasi pengangkutan sekolah haram itu kerana ia membawa risiko besar kepada keselamatan pelajar.

“Lebih membimbangkan, gejala itu mungkin semakin buruk ekoran kelewatan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memproses lebih 250 permohonan permit bas sekolah yang sudah dikemukakan sejak Januari lalu, sedangkan ibu bapa sudah membuat tempahan mengangkut anak mereka untuk sesi persekolahan baru tidak lama lagi.
“Masalah itu mencetuskan rungutan hingga ada pengusaha terbabit yang bercadang menggunakan kenderaan persendirian saja untuk mengangkut pelajar kerana ia boleh dibawa ke mana-mana,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Setakat ini, Md Saad berkata, SPAD hanya meluluskan kurang 10 peratus permohonan permit bas sekolah yang dikemukakan sejak Januari lalu dengan alasan ‘banyak urusan perlu diselesaikan’.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...