Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Thursday 29 December 2011

Bekas pegawai rasuah didenda RM2j



SHAH ALAM: Seorang bekas pegawai kanan di syarikat telekomunikasi utama dihukum penjara empat tahun dan denda RM2.075 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah atas 14 tuduhan memperoleh rasuah RM415,000.
Hakim Asmadi Hussin membuat keputusan itu terhadap S Stanley, 40, selepas berpuas hati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Asmadi menetapkan hukuman penjara terhadap tertuduh yang berasal dari Kinrara, Puchong itu berjalan mulai semalam.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara 14 tahun jika gagal membayar denda.
Sepanjang perbicaraan, 16 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan tampil memberi keterangan.

Mengikut pertuduhan, Stanley didakwa memperoleh sogokan tunai itu daripada Nakhoda Sistem Sdn Bhd sebagai dorongan untuk memilih syarikat berkenaan sebagai pembekal kabel dan peralatan telekomunikasi kepada syarikat telekomunikasi berkenaan.

Dia yang ketika kejadian bertugas sebagai pegawai kanan pemerolehan syarikat telekomunikasi itu didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Taman Kinrara, Puchong, dekat sini, antara 13 Ogos 2007 dan 22 Oktober 2008.

Stanley didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam M Athimulan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya memandangkan anak guamnya bukan penjawat awam. Selain itu, katanya, tertuduh sudah tidak lagi bekerja dengan syarikat berkenaan dan menyara keluarga. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Sinti memohon hukuman setimpal kerana perbicaraan penuh sudah dijalankan.

Beliau berkata, mahkamah harus mengambil kira usaha kerajaan menubuhkan mahkamah khas rasuah. Asmadi membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman dengan menaikkan jaminan kepada RM250,000 daripada RM50,000.

Menurutnya, tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa untuk simpanan mahkamah dan dikehendaki melapor diri di balai polis berhampiran kediaman pada Ahad pertama setiap bulan. Selain itu, katanya, pihak pembelaan perlu memfailkan notis rayuan selewat-lewatnya hari ini

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...