Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 27 December 2011

Nelayan terjejas tuntut baki pampasan RM2.9 juta


JOHOR BAHARU- Kira-kira 500 nelayan dari sembilan kampung di sekitar Selat Tebrau, di sini, hari ini, menyerahkan satu memorandum kepada pihak pengurusan Danga Bay Sdn Bhd bagi menuntut baki pampasan berjumlah RM2.9 juta ekoran terjejas pendapatan akibat projek pembangunan Danga Bay.
 
Kesemua mereka yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pampasan Danga Bay, Pandak Ahmad menaiki bot ke Danga Bay dan berhimpun secara aman mulai jam 2.30 petang sebelum berjalan kaki hampir satu kilometer ke pejabat Danga Bay Sdn Bhd, untuk menyerahkan memorandum terbabit.
 
Memorandum tersebut kemudian diserahkan kepada Pengurus Undang-Undang Danga Bay Sdn Bhd, Chai Yee Man. Bercakap kepada pemberita, Pandak berkata kesemua nelayan terbabit adalah dari Kampung Teluk Serdang, Kampung Skudai Kiri, Kampung Bakar Batu, Kampung Sungai Temon, Pantai Lido, Sungai Danga, Sungai Melayu, Kampung Tebing Runtuh dan Kampung Usaha Jaya.
 
Beliau berkata pihak pengurusan Danga Bay pada mesyuarat khas yang diadakan pada 2003 berjanji untuk membayar pampasan sebanyak RM3 juta bagi membantu nelayan yang terjejas.
 
Bagaimanapun, hanya RM100,000 berjaya diserah dan diagihkan kepada 279 orang nelayan pada 6 Jan 2004.
 
"Oleh itu, kami ingin menuntut baki pampasan sejumlah RM2.9 juta yang dijanjikan selepas hampir lapan tahun menunggu. Tuntutan pampasan oleh para nelayan ini adalah berasaskan kesan pencemaran akibat projek Danga Bay, pengurusan pendapatan kepada nelayan dan kerosakan alatan menangkap ikan," katanya.
 
Pandak berkata kesemua nelayan terbabit tidak menolak projek pembangunan di kawasan Iskandar Malaysia berkenaan tetapi pihak pemaju dalam masa yang sama perlu memikirkan pendapatan mereka yang terjejas akibat projek itu.
 
Beliau berkata semua nelayan bersetuju untuk memberikan tempoh seminggu kepada Danga Bay bagi memberi maklum balas dan kesemua nelayan itu tidak teragak-agak untuk mengajukan hal berkenaan kepada Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekiranya tidak mendapat maklum balas yang dijanjikan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...