Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 27 December 2011

PNB beli aset di luar negara


Sektor hartanah jadi bidang pelaburan teras tingkat pertumbuhan dana

PERMODALAN Nasional Bhd (PNB) akan menjadikan sektor hartanah sebagai antara bidang pelaburan terasnya dengan meninjau pembelian aset berpotensi secara lebih agresif di luar negara dalam usaha mengembangkan lagi portfolio pelaburannya.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata PNB perlu mempelbagaikan bidang pelaburannya selain tumpuan kepada ekuiti, supaya dana berjumlah lebih RM190 bilion yang diuruskannya dapat diperluaskan.
Langkah itu, katanya, juga bertujuan memastikan PNB mampu mengagihkan pendapatan kira-kira RM9 bilion kepada semua pemegang sembilan tabung unit amanah di bawah tanggungjawabnya setiap tahun.

“Memang pelaburan hartanah akan menjadi antara teras pelaburan PNB, tetapi kita perlu menentukan setiap pelaburan yang akan dibuat mendapat pulangan seperti yang diharapkan dan kurang risiko.

“Kalau hendak dibandingkan dengan ekuiti, pelaburan dalam sektor itu adalah lebih besar. Bagaimanapun, PNB juga akan terus meninjau peluang pelaburan hartanah yang baik di luar dan dalam negara,” katanya pada sidang media selepas pengumuman pengagihan pendapatan Skim Amanah Saham Nasional (ASN) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011 di Kuala Lumpur, semalam.

Sebelum ini, PNB dilaporkan telah membeli bangunan pejabat, Milton and Shire House di Silk Street, Central London pada harga £350 juta (RM1.7 bilion) dalam usaha mengukuhkan lagi pelaburan hartanahnya di luar negara.
Pengurus dana itu juga difahamkan bakal membuat beberapa lagi pembelian di bandar raya itu, setelah memperuntukkan kira-kira satu bilion pound untuk melabur di London yang kini menjadi antara lokasi utama pelaburan dalam sektor hartanah di United Kingdom (UK).

Mengenai prospek pelaburan PNB tahun depan, beliau berkata pihaknya akan terus menumpukan kepada usaha meningkatkan pertumbuhan dana yang diuruskannya meskipun keadaan pasaran global tidak menentu akibat krisis hutang Eropah dan kelemahan ekonomi Amerika Syarikat.

Justeru, PNB katanya akan terus mengambil langkah dengan memilih saham yang dapat memperkukuhkan portfolionya bagi membolehkannya menyediakan pulangan yang baik kepada pelabur.

PNB kini menguruskan dana berjumlah lebih RM190 bilion dengan pelbagai portfolio kepentingan yang meliputi saham amanah, amanah harta institusi, pengurusan harta dan pengurusan aset.

Dalam pada itu, katanya PNB akan membuka pejabat operasi yang keempatnya di luar negara, iaitu di Amerika Syarikat (AS) tahun depan. Ketika ini, PNB telah mempunyai pejabat operasi di London, Tokyo dan Singapura.

“PNB akan membuka sebuah lagi pejabat operasi di luar negara, dan ketika ini kami masih lagi mengenal pasti lokasi yang sesuai di AS.

Dalam perkembangan lain, katanya Skim Amanah Rakyat (SARA) 1Malaysia yang akan memberi manfaat kepada isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 sebulan dijangka dilancarkan pada pertengahan Januari depan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...