Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 27 December 2011

Pemuda PAS bantah pindah kes murtad ke mahkamah sivil



KUALA LUMPUR, 28 Dis: Pemuda PAS membantah keras kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mahu membawa kesemua kes murtad ke mahkamah sivil dan bukan lagi Mahkamah Syariah seperti sebelum ini.

Ini berdasarkan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam diselaraskan di seluruh negara.
Media melaporkan, kesemua perbicaraan kes murtad akan dibawa ke mahkamah sivil dan bukan lagi mahkamah syariah selepas Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam diselaraskan di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sebelum ini tidak ada penyelarasan kerana ada pesalah dibicarakan di mahkamah syariah dan ada di mahkamah sivil.

“Kes murtad nanti akan berada di bawah mahkamah sivil dan bukan mahkamah syariah kerana jika mahkamah syariah, keseluruhan masalah tidak dapat diselesaikan sebab apabila disebut murtad ia membabitkan pelbagai pihak termasuk bukan Islam.

“Jadi, saya minta supaya Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) mengatur pertemuan dengan majlis dan jabatan agama Islam negeri-negeri bagi memaklumkan kewujudan enakmen ini,” ujar Jamil Khir selepas mengadakan pertemuan bersama enam pertubuhan bukan kerajaan Islam di sini kelmarin.
"Dewan Pemuda PAS Malaysia merasa terkejut kerana kerajaan membuat keputusan ini tanpa melihat kepada kesan kes ini terhadap umat Islam di negara ini serta merujuk kepada nasihat para ulama’ terlebih dahulu.

"Sepatutnya kes seperti ini dirujuk dahulu dengan semua pihak supaya tidak menimbulkan pertikaian dan bantahan di kemudian hari," kata Exco Dewan Pemuda PAS, Mohamad Firdaus Jaffar (gambar atas) dalam satu kenyataannya hari ini.

Beliau yang juga anggota Parlimen Jerai berkata, DPP Malaysia melihat keputusan yang dibuat oleh kerajaan mengenai isu ini amat merbahaya dan merupakan suatu penghinaan terhadap agama Islam.

"DPP Malaysia mempersoalkan, jika ianya dilaksanakan nanti, bagaimanakah mahkamah sivil boleh memutuskan sesuatu hukuman yang berkait dengan syariat Islam sedangkan mahkamah sivil tiada kuasa memutuskan hal-hal yang berkait dengan undang-undang Islam?

"DPP Malaysia khuatir apakah hukuman kepada pesalah murtad nanti akan berdasarkan kepada hukuman Islam atau sebaliknya.

"Kalau demikian, apakah bidang kuasa mahkamah syariah sekiranya kes murtad juga akan dibicarakan di mahkamah sivil?" katanya.

DPP Malaysia berpandangan, kesan daripada keputusan ini adalah kuasa mahkamah syariah semakin mengecil dan kurang berperanan.

Mahkamah syariah hanya untuk mengendalikan kes-kes kecil seperti nikah, talak, harta pusaka dan lain-lain.

Manakala kes-kes besar seperti murtad, jenayah, dan lain-lain pula dirujuk kepada mahkamah sivil yang mempunyai peranan yang besar, katanya.

"Inilah sistem sekularisma yang masih diamalkan dinegara ini selama ini yang memisahkan antara perundangan menurut Islam dengan bukan Islam.

"Selain itu, hukuman terhadap pesalah murtad juga akan dipandang ringan, malah boleh dicabar oleh mereka yang bukan Islam," tegas beliau.

Apa yang amat dibimbangkan, katanya, adalah hukuman murtad boleh dipermain-mainkan oleh sesetengah pihak sehingga merendahkan kesucian Islam.

Oleh itu, DPP Malaysia mendesak supaya Datuk Seri Jamil Khir Baharom menarik semula usaha membawa undang-undang murtad ke mahkamah sivil.

"Beliau perlu ingat bahawa undang-undang pencegahan murtad seperti yang terkandung di dalam perundangan Islam yang sebenar adalah hukuman yang datangnya dari Allah SWT, bukan direka-reka oleh sesiapa pun.

"Mengubah hukum Islam yang terkandung didalam Al Qur’an dan Sunnah Rasulullah SAW, adalah suatu dosa yang besar dan boleh menyebabkan akidah seseorang itu tergelincir," katanya

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...