Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Wednesday 28 December 2011

Iran ancam tutup Selat Hormuz

TEHERAN 28 Dis. - Iran mengancam untuk menutup Selat Hormuz yang menjadi laluan transit minyak utama di Teluk, sekiranya sekatan asing dikenakan ke atas eksport minyak mentahnya berhubung program nuklear kontroversi Teheran.
"Jika (negara Barat) menyekat eksport minyak Iran, kami tidak akan membenarkan setitik minyak pun melalui Selat Hormuz.
"Musuh-musuh kami hanya akan berputus asa sekiranya Iran memberi pengajaran keras kepada mereka," kata Timbalan Presiden Iran, Mohammd Reza Rahimi seperti yang dipetik agensi berita negara ini.
Ketegangan antara Iran dan negara Barat semakin memuncak sejak satu laporan oleh badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 8 November lalu menyatakan, Teheran sedang membangunkan bom atom dan akan meneruskan penyelidikan nuklearnya.
Amaran Iran semalam dibuat tiga minggu selepas menteri-menteri luar Kesatuan Eropah (EU) bersetuju mengetatkan lagi sekatan ke atas Teheran berikutan laporan berkenaan.
Pertemuan itu turut menyaksikan rancangan yang mungkin menyekat eksport minyak mentah Iran yang merupakan pengeluar kelima terbesar bahan tersebut di dunia.
Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) berkata, amaran Iran itu merupakan satu 'ugutan', tetapi tidak mengulas kenyataan bahawa AS menyokong aliran bebas minyak.
"Ia merupakan satu lagi cubaan untuk mengalihkan tumpuan daripada isu sebenar iaitu program nuklear Teheran yang masih diteruskan sehingga kini," kata jurucakap Jabatan Negara, Mark Toner.
Kenyataan Rahimi itu dibuat ketika Iran melaksanakan latihan tentera laut selama 10 hari di selat tersebut dan perairan sekitarnya yang bermula Sabtu lalu. - REUTERS

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...