Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Wednesday 28 December 2011

MAIWP jawab tuduhan seleweng zakat

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggunakan peruntukan khas geran kerajaan bagi menjelaskan kos guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom dan dua yang lain dalam kes membabitkan pertikaian di mahkamah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Muhammad Yamin Ismail berkata, pihaknya mempunyai peruntukan khas daripada geran kerajaan bagi tujuan pembayaran yuran guaman.
"Sejak 1993, peruntukan khas itu telah diwujudkan dan tahun ini peruntukan yang diterima ialah sebanyak RM11 juta termasuk RM700,000 pada tahun sebelumnya.
"Apa yang boleh disimpulkan, keghairahan sesetengah pihak untuk menyalahgunakan proses mahkamah terhadap penjawat awam telah mengakibatkan wang rakyat terpaksa digunakan bagi melayan kerenah mereka yang tidak berkesudahan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjelaskan dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan tiga responden seperti dilaporkan oleh akhbar pembangkang iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain.
Laporan itu mengatakan, Laporan Audit Negara mengesahkan sebanyak RM63,650 telah dikeluarkan daripada dana zakat MAIWP bagi mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk ketiga-tiga mereka.
Turut disebut berhubung isu Che Mat yang telah meluluskan bayaran interim berjumlah RM31,500 menggunakan peruntukan sumber am bagi perkhidmatan perundangan pada 28 Januari 2010 iaitu daripada peruntukan zakat terlebih dahulu kerana geran kerajaan belum diterima pada tarikh tersebut.
Menurut Muhammad Yamin, ketiga-tiga responden berkenaan adalah di bawah seliaan MAIWP sebagai penjawat awam bagi hal ehwal Islam, bukannya atas kapasiti peribadi mereka.
"Adalah menjadi kewajipan kami sebagai pihak berkuasa agama Islam untuk menanggung kos pembelaan bagi sebarang tindakan guaman terhadap mereka bertiga.
"Tohmahan yang dihadapi oleh ketiga-tiga responden ketika ini telah membawa kepada banyak pertikaian di mahkamah.
"Oleh demikian, ia mengakibatkan penggunaan wang rakyat yang sepatutnya disalurkan kepada kepentingan umat Islam," jelas beliau.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...