Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Monday 26 December 2011

Airbus A380 MAS ke London


LEBIH BESAR...Yuzrizal memegang model pesawat Airbus A380 yang akan digunakan untuk penerbangan Kuala Lumpur-London mulai Disember tahun depan.
PENERBANGAN Malaysia (MAS) tidak menghadapi kesan ketara ekoran krisis ekonomi melanda Eropah ketika ini, lebih-lebih lagi apabila syarikat penerbangan itu mula menggunakan pesawat baru Airbus A380 tahun depan.
Pengurus Kawasan United Kingdom MAS, Yuzrizal Mohd Yousuf berkata, ketika ini pun syarikat penerbangan itu mula menerima tempahan daripada pelanggan yang teruja mahu merasai pengalaman menaiki pesawat mampu membawa sehingga 494 penumpang itu.
Daripada jumlah itu, lapan adalah untuk kelas pertama, 66 kelas perniagaan manakala selebihnya tiket kelas ekonomi.

“Menjelang Disember 2012, MAS akan melancarkan perkhidmatan penerbangan dua kali sehari Kuala Lumpur – London menggunakan pesawat Airbus A380.


“Pesawat baru itu membolehkan MAS menyediakan perkhidmatan ke tahap keselesaan lebih tinggi dan mengekalkan kedudukannya sebagai satu daripada syarikat penerbangan utama dunia,” katanya kepada Bisnes Metro ketika ditemui di pejabatnya di London.

Menurut Yuzrizal, MAS juga berbangga kerana menjadi anggota perikatan syarikat penerbangan Oneworld pertama memiliki pesawat berkenaan.

Oneworld adalah pakatan global dianggotai 14 syarikat penerbangan termasuk syarikat utama seperti American Airlines, British Airways, Cathay Pacific, Japan Airlines dan Qantas dengan komitmen menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia.

Menurut Yuzrizal, ketika ini ada sesetengah pelanggan yang memilih syarikat penerbangan lain kerana MAS belum menggunakan pesawat A380.

Justeru, katanya, MAS yakin penggunaan pesawat A380 itu mampu memberi kelebihan kepada syarikat penerbangan berkenaan menghadapi kelembapan ekonomi Eropah.

Sementara menunggu pesawat itu tiba, katanya, MAS memulakan proses “membina permintaan” di kalangan orang awam melalui kempen pemasaran agresif.

“Pihak pengurusan MAS percaya bahawa strategi pemasaran yang tepat mampu memberi kesan positif kepada syarikat ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...