Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Sunday 8 January 2012

A.Aida kini tauke beg tangan



Lisdawati dan Fauzi Nawawi turut hadir memberikan sokongan pada majlis perasmian A.Aida Collection.


PELAKON, penerbit dan penulis lirik, A.Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang kini melebarkan sayap perniagaan apabila bergelar tauke beg tangan.
A. Aida Collection yang terletak di Careefour Wangsa Maju merupakan kedai beg tangan yang turut menjual pelbagai barangan wanita milik wanita berusia 41 tahun ini.
Ketika ditanya apakah yang menyebabkan dia menceburi bidang perniagaan barangan setelah lama bertapak dalam industri seni, A.Aida memberitahu ia berlaku secara tidak sengaja.
"Saya mendapat idea untuk membuka perniagaan ini setelah mengikuti rombongan Persatuan Kebajikan Isteri Polis (Perkep) yang melawat ke Guangzhou, China.
"Di sana kami dibawa melawat sebuah tempat yang memang khusus menjual beg tangan.
"Melihatkan kepada kualiti dan harga-harga barang tersebut dan pada ketika itulah terlintas untuk saya memasarkan barangan ini di Malaysia.
"Pada awalnya, saya hanya mencuba dengan berniaga kecil-kecilan melalui tapak kiosk selama beberapa bulan dan ternyata sambutan yang diberikan sangat menggalakkan," katanya yang ditemui pada majlis perasmian kedai beliau baru-baru ini.
Terus berkarya
Menurut A. Aida, walaupun kini beliau sudah mempunyai kedai namun pembabitannya dalam bidang seni akan tetap diteruskan.
A.Aida Collection yang merupakan anak syarikat utamanya itu, tegasnya tidak akan menghalang beliau untuk terus bergiat secara aktif dalam menghasilkan drama-drama terbaru untuk penonton tempatan.
Produk terbaru terbitan syarikat induknya, iaitu A.Aida Production bertajuk Pucuk Muda Kerabu Taugeh kini sedang bersiaran di Astro Prima (saluran 105).
Drama ini mengisahkan Azrul iaitu seorang duda yang telah ditangkap basah bersama dengan Milah yang sebaya dengan anak perempuannya sendiri.
Antara barisan artis yang terlibat menjayakan drama tersebut ialah Fauzi Nawawi, Yasmin Hani, Eina Azman, dan juga Azza AF.
Selain itu, kata A.Aida, drama terbitannya juga bakal ditayangkan di TV3 bermula awal Januari manakala drama bertajuk Mira lakonan Farahdhiya pula ditayangkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
"Walaupun sudah menceburi suatu bidang yang baru, tetapi saya tetap akan meneruskan perkara yang telah lama dan mahir untuk saya lakukan.
"Alhamdulillah rezeki yang ada sekarang juga telah memberikan peluang kepada saya untuk membuka perniagaan beg tangan ini.
"Jika mengikut perancangan, A.Aida Collection akan diperluaskan kepada beberapa lagi cawangan pada masa hadapan," katanya.
Majlis perasmian kedai tersebut disempurnakan oleh Naib Pengerusi Perkep, Datin Seri Imran Ibrahim.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...