Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Friday 16 December 2011

TNB guna 9% LNG tahun depan


KUALA LUMPUR - Gas asli cecair (LNG) yang dibeli oleh Tenaga Nasional Bhd. (TNB) pada harga pasaran bermula Ogos tahun depan hanya meliputi sembilan peratus daripada jumlah keseluruhan bahan bakar yang digunakannya.
Peratusan tersebut merupakan sebahagian daripada 60 peratus gas yang digunakan untuk menjana tenaga elektrik.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, penggunaan LNG itu akan bermula selepas siapnya terminal regasifikasi (regassification) LNG di Melaka pada Ogos 2012.
"Bukan kesemuanya gas adalah bersumberkan LNG yang akan dibeli pada harga pasaran," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan TNB di sini, hari ini.
Syarikat utiliti itu dijangka menggunakan sebanyak 100 juta kaki padu sehari (mmcfd) LNG antara 2012 hingga 2014 manakala tambahan 100 mmcfd lagi bagi tempoh 2014 hingga 2016.
Tambah beliau, TNB kini sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat pembekal gas termasuk Royal Dutch Shell selain menarik minat beberapa syarikat multinasional lain seperti Total.
Baru-baru ini, kerajaan, Petronas dan TNB telah bersetuju untuk menanggung secara bersama kos menggunakan bahan api alternatif bagi tempoh Januari hingga Oktober 2011 yang berjumlah RM3.07 bilion untuk menjana kuasa elektrik akibat kekurangan gas.
Sebelum ini, TNB menanggung kos tersebut secara bersendirian yang telah menjejaskan prestasi keseluruhan kewangan syarikat itu yang berakhir 31 Ogos 2011.
Che Khalib berkata, untuk tempoh seterusnya, pihaknya berharap kerajaan mencari penyelesaian untuk jangka panjang akibat kekurangan gas dan tanggungan mendapatkan bahan api alternatif.
Sementara itu kata beliau, prestasi kewangan bagi suku pertama TNB berakhir November lalu berada dalam keadaan kritikal akibat tanggungan bahan api alternatif. Ia akan diumumkan bulan depan.
"Sebaliknya, jika syarikat menerima balik wang tanggungan tersebut daripada kerajaan dan Petronas, ia mampu memulihkan sedikit kedudukan kewangan kami," katanya.
Katanya, setiap bulan TNB membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk menanggung kos operasi dan perbelanjaan modalnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...