Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Friday, 16 December 2011

Proton: Jangan jual kepada syarikat asing

DR. MAHATHIR Mohamad (kanan) menandatangani plak menandakan perasmian Akademi Latihan Penerowongan MMC-Gamuda di Kota Kemuning, Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM  - Penasihat Proton Holdings Bhd. (Proton), Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu pegangan saham syarikat pengeluar kereta nasional itu tidak dijual kepada syarikat asing.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, saranan tersebut perlu diteliti oleh Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) kerana penjualan pegangan syarikat itu kepada syarikat asing dilihat tidak selari dengan matlamat Proton yang merupakan projek kereta nasional.
"Penjualan saham (Proton) melalui bidaan terbuka, Khazanah perlu membuat penilaian yang terbaik. Apa yang penting bagi saya ialah Proton harus lakukan yang terbaik selepas ini.
"Proton adalah projek kereta nasional dan saya rasa kita tidak perlu jual pegangan (saham Proton) kepada syarikat asing. Mungkin syarikat asing boleh terlibat melalui kerjasama tertentu bukan menguasai pegangan dalam Proton," katanya kepada pemberita di Bukit Kemuning, di sini hari ini.
Pada 13 Disember lalu, sebuah syarikat konglomerat tempatan, DRB-Hicom Bhd. (DRB-Hicom) telah menyatakan harapan agar Khazanah menerima syarikat itu sebagai calon yang sesuai untuk digandingkan dengan Proton kerana kehadiran pengeluar kereta nasional itu akan menjana sinergi yang gah dan memapankannya di peringkat serantau.
Bagaimanapun, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil sebelum ini menyatakan pihaknya tidak mengetahui atau diberitahu sebarang perkembangan berkaitan hasrat Khazanah untuk melupuskan pegangan mereka dalam Proton.
Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir ketika mengulas mengenai projek Projek My Transit Aliran Massa (MyMRT) berkata, tumpuan yang sama harus berikan oleh pihak kerajaan terhadap syarikat-syarikat tempatan dalam projek pembinaan itu.
Katanya, pemberian kepada syarikat tempatan dalam projek tersebut dilihat mampu memberikan manfaat dari segi perolehan pengetahuan dalam bidang kejuruteraan termasuklah pembinaan terowong yang mana tidak ada banyak negara mempunyai kemampuan dalam bidang berkenaan.
"Terpulang kepada kerajaan untuk menentukan (syarikat mana yang layak), tapi saya rasa lebih baik ia dilakukan oleh syarikat tempatan," ujarnya.
"Kalau kita beri kepada kontraktor asing, kita tidak akan belajar apa-apa dan kalau kita berikan kepada kontraktor tempatan, mungkin harga lebih tinggi, ada kelewatan.
"Namun, kalau kita berikan kepada kontraktor asing, tidak ada jaminan tidak akan berlaku kelewatan, breakdown (kegagalan) atau sebagainya," ujarnya.
Terdahulu, Mahathir merasmikan Akademi Latihan Terowong (TTA) MMC-Gamuda di Bukit Kemuning di sini yang turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Bhd., Datuk Lin Yun Ling.
TTA merupakan akademi latihan yang pertama tubuhkan di dunia yang memberi tumpuan terhadap latihan teknikal dalam industri penggalian terowong oleh MMC-Gamuda yang merupakan syarikat pembinaan terkemuka di negara ini.
MMC-Gamuda sebelum ini adalah sebuah syarikat pembinaan tempatan yang mempunyai pengalaman dalam industri pembinaan terowong antaranya projek terowong SMART dan Terowong Penchala.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...