Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Saturday 17 December 2011

“Saya bukan nak gaduh” – Awie





BUKAN sekali dua penyanyi rock Awie dikatakan terlibat dalam kes pergaduhan.Sejak mula-mula melangkah menjadi artis, Awie sudah banyak kali terjebak dengan isu sebegini sampaikan dia dilabelkan sebagai artis kaki pukul dan panas baran.
Terbaru, kes di sebuah kelab malam di Pulau Langkawi sekitar pertengahan November lepas.
Mengikut cerita, Awie didakwa telah mencetuskan pergaduhan bersama seorang pengunjung di kelab malam tersebut.
Mungkin benarlah kata orang. Kerana mulut badan binasa.
Dek kerana itu, Awie didakwa telah dibelasah teruk oleh sekumpulan individu yang tidak berpuas hati dengan kelakuan penyanyi tersebut yang turut didakwa mabuk semasa insiden berlaku.
Langsung tidak menafikan bahawa dirinya terlibat, Awie ketika ditemui, tenang menceritakan situasi sebenar yang baginya, salah bukan datang dari pihaknya.
Menceritakan rentetan kes, kata Awie, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pada pukul 2 pagi itu, dia bersama beberapa orang teman berkunjung ke kelab malam itu sebagai penyanyi jemputan.
Selepas menyanyikan sebuah lagu, kata Awie, dia kembali ke tempat duduknya sebelum datang beberapa orang individu meminta kebenaran untuk bergambar.
Awie bagaimanapun menolak dengan cara baik dengan alasan tidak mahu bergambar di dalam kelab.
“Dua tiga orang daripada mereka sambut baik keputusan saya itu, namun tiba-tiba datang seorang lelaki dengan gaya langsi, keluarkan kata-kata kesat pada saya kerana permintaannya tidak saya tunaikan.
“Dia juga sengaja mencetuskan provokasi yang kemudiannya membangkitkan kemarahan saya. Kalau dia tak buat begitu, isu gaduh itu tak akan terjadi.
“Bila saya keluar dari kelab itu, saya tengok adalah dalam 30 orang dah bersiap sedia nak belasah saya dan masing-masing bawa kayu dan sebagainya sebagai senjata,” katanya.
Cerita Awie lagi, dia juga hairan dengan kehadiran kumpulan itu yang baginya bagai sudah ada perancangan awal untuk mengenakan dirinya.
“Iyalah, kalau lelaki tadi ada masalah dengan saya, maknanya masalah hanya kami dan ia boleh diselesaikan dengan cara baik.
“Tapi ini tidak. Sampai sekampung dia bawa orang dia, apa semua tu? Maknanya mereka berpakatlah. Agaknya macam satu pesta kalau dapat pukul artis,” ujarnya.
Mengaku pergaduhan wujud di luar kawasan kelab, Awie bagaimanapun menafikan bahawa dia dibelasah teruk oleh kumpulan lelaki tempatan itu.
“Kalau saya teruk dibelasah, anda mesti dapat lihat kesan lebam dan kecederaan pada badan saya ni. Ini tak ada pun.
“Saya mengaku masa kejadian, saya dalam keadaan marah. Iyalah, sesiapa pun kalau rasa dirinya terancam, dia akan berusaha mempertahankan dirinya walau dengan apa cara sekali pun.
“Ini sampai kereta sewa saya mereka pecahkan. Bila tengok keadaan semakin buruk, saya suruh kawan-kawan saya cepat keluar dari kawasan itu, tapi mereka juga telah dikepung.
“Kalau saya bertindak atau tidak, perkara itu akan tetap terjadi juga. Nak tak nak saya gagahkan diri juga walau dalam separuh sedar.
“Mujur Tuhan bantu saya malam itu. Kalau tidak, sama ada saya masuk wad Unit Rawatan Rapi (ICU) atau mati,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...