Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Saturday 17 December 2011

Ombak Rindu mengecewakan peminat novel



Benarkah kejayaan ombak rindu kerana maya karin bukan kerana cerita?


Sesungguhnya terdapat persamaan dan perbezaan antara filem Unforgiven (1992) arahan Clint Eastwood dan filem Ombak Rindu arahan Osman Ali. Persamaan antara kedua-dua filem ini ialah terletak pada idea yang menggerakkan naratif. Idea utama kedua-dua filem ini ialah wanita. Perbezaannya terletak pada kewujudan, sifat dan peranan wanita yang menjadi sebab-akibat logik naratif.
Unforgiven dan Ombak Rindu menjadikan wanita bukan sekadar idea tetapi sebagai pusat konflik yang mengembangkan naratif. Wanita dalam kedua-dua filem diwujudkan sebagai pelacur. Dalam Unforgiven watak sekumpulan pelacur menjadi faktor penggerak naratif dalam sifat penentangan dan keberanian iaitu mempengaruhi tindakan watak lelaki bergerak mencapai satu kesatuan naratif, manakala Claudia wujud sebagai watak wanita pengimbang fikir-tindak William. Claudia dan sekumpulan pelacur tidak dipertentangkan. William dan dua rakan kerjasamanya dipertentangkan dengan dua koboi yang melukai pelacur dan Sheriff Little Bill dengan anak buahnya.
Ombak Rindu menjadikan watak Ustazah Izzah sebagai penggerak naratif dalam sifat ketidakberdayaan. Manakala watak Mila dan Datuk Sufiah menjadi watak bertentangan dengan Ustazah Izzah, namun tiada kesatuan apabila Mila tidak tahu siapa wanita yang disayangi Hariz dan Datuk Sufiah yang hanya mengetahui Izzah sebagai perempuan simpanan menyebabkan longgarnya kesatuan naratif. Keadaan ini berlaku kerana pengaruh cinta tiga segi yang klise itu.
Peranan Claudia sebagai isteri dalam memori William Munny begitu mulia. Pengaruh yang bersumberkan cinta dan dua orang anaknya hadir dalam keadaan positif dan kebaikan. Babak pertama Unforgiven menjelaskan segala-galanya. Penolakan William Munny terhadap Schofield Kid untuk menjadi rakan pemburu kepada tawaran membunuh dua koboi yang melukakan wajah pelacur di Bar T adalah kerana ingatannya terhadap Claudia. Ini sebagai faktor perubahan dirinya daripada perompak, pemabuk dan pembunuh berhati kering kepada suami dan bapa bertanggungjawab. Ini membuatkan William tidak memegang senjata api selama 11 tahun apabila hidup bersama Claudia.
Berpindah
Namun William menerima juga apabila Schofield menyatakan kesadisan dua koboi tersebut dan tawaran wang yang mana Willliam memerlukan wang untuk anaknya. Ternakan babi yang diusahakannya dan dua ekor babi yang terkena flu menjadi lambang pada manusia koboi bodoh dan bengis. Naratif berkembang dan berpindah ke dua titik plot di mana William bertembung sifat melampau Sheriff Little Bill di Bar T yang memukulnya sehingga demam. Ned dibunuh kejam membuatkan William meneguk arak sebagaimana sewaktu zaman kejahatannya dahulu untuk melunaskan hutang nyawa rakan baiknya.
Hal ini berbeza dengan Ombak Rindu. Tiada perkembangan naratif yang kuat sehingga terperangkap dalam dilema melankolik bertele-tele. Oleh kerana ketandusan faktor dan idea untuk mengembangkan naratif ke titik plot lain, maka watak Ustazah Izzah terpaksa dimanipulasi secara melampau. Peranan Ustazah Izzah dan Datuk Sufiah-Mila ialah pertentangan berterusan sehingga membuatkan Hariz terpedaya untuk menagih simpati kosong penonton sahaja. Kedudukan Ustazah Izzah dalam konotasi negatif iaitu simpati Hariz dan nafsu badaniahnya semata. Oleh sebab itulah terdapat lebih kurang tiga babak ranjang. Manakala Unforgiven hanya mempunyai satu babak ranjang. Namun ia dipamerkan dari arah tepi dalam tempo cepat berbanding babak ranjang Ombak Rindu dalam tempo lambat. Jika babak ranjang Unforgiven dalam pencahayaan malap, babak ranjang menerusi Ombak Rindu dalam pencahayaan yang terang.
Logiknya, tidak peliklah jika babak ranjang dalam Unforgiven lebih banyak kerana wanita-wanita di Bar-T memang sudah lama menjadi pelacur. Namun Ustazah Izzah yang baharu sekali terbuang ke Kelab Malam jatuh ke tangan Kelvin pemilik Kelab Malam yang mana Hariz turut menyumbang pada kewujudan Kelab Malam tersebut; Ustazah Izzah yang baharu sekali dirogol, dituangkan arak ke mulutnya telah memainkan aksi porno bersama Hariz dengan terang dan mengalahkan aksi pelacur di Bar-T.
Ustazah Izzah 'berlakon' sebagai perempuan simpanan sehingga Hariz menggantungnya tidak bertali manakala Claudia menjadi isteri terbaik sepanjang umur William Munny. Jika simpati ditagih pada Ustazah Izzah yang pandai mengaji dan berjaya mempengaruhi Hariz menjadi baik, namun penagihan simpati dalam Unforgiven bukan kepada manipulasi kewujudan, sifat dan peranan wanita. Sebaliknya muncul sebagai watak pembaik kepada lelaki. Betapa setianya William Munny yang amat kejam itu kepada isterinya apabila menolak ajakan Delilia watak pelacur yang dilukakan wajahnya oleh koboi bodoh dan bengis itu untuk melakukan hubungan seks. Menerusi babak syot dekat pada wajah Delilia dan wajah William Munny luka berparut itu begitu simbolik dan simbiosis.
Hariz tidak langsung membuktikan dirinya sedar kerana agama hanya simpati dan nafsu nafsi. Doa Ustazah Izzah ketika hampir dirogol semasa masih menjadi perempuan simpanan adalah suatu bentuk kepasrahan yang salah. Ia diada-adakan bagi menimbulkan kesan 'memadai' untuk agama. Bandingkan dengan William ketika demam selepas dipukul Little Bill meracau-racau melihat roh dan muka isterinya berulat dan merasai betapa takutnya dia akan mati malah berpesan agar Ned jangan memberitahu kedua-dua anaknya tentang kejahatannya pada masa silam.
Jika Unforgiven dimulakan babak William mengorek kubur isterinya di bawah sebatang pokok tidak jauh dari rumahnya dalam lembayung matahari petang dan menziarahi pusara isterinya, pada babak akhir hampir menyamai sinematografi Ombak Rindu pada babak akhir ketika Hariz dan Izzah menaiki kapal layar yang menuju ke arah Barat.
Ombak Rindu diharapkan lebih baik daripada Unforgiven apabila digambarkan pada permulaan babak Izzah seorang wanita yang mengajar kanak-kanak membaca al-Quran. Tetapi sudah timbul ketidaktepatan inti novel dengan filem yang khabarnya mengecewakan sebahagian besar peminat. Dalam novel Izzah sebenarnya bukan ustazah sebaliknya seorang kerani. Jadi apakah tujuan Osman Ali selaku penulis lakon layar dan pengarah mewujudkan Izzah sebagai ustazah berbaju kurung mengajar al-Quran untuk melakonkan adegan ranjang?!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...