Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Saturday 10 December 2011

Saudagar intan zaman moden





MOHAMMAD Amran cukup bertuah kerana menuntut banyak ilmu tentang intan permata daripada arwah neneknya, Saebah Deto. Kebetulan ketika itu nenek Mohammad bekerja sebagai peraih emas. Dia menemani nenek yang juga menjual himpunan kain batik dan pinggan mangkuk di Kampung Batu 9, Chemor, Perak.
Tugas lelaki itu amat mudah iaitu bertindak sebagai pembantu nenek tatkala berurus niaga.
Semasa proses menjual beli, dia mempelajari sesuatu menerusi penjelasan tentang keistimewaan barang jualannya kepada pelanggan.
Secara tak langsung, penerangan tentang intan, zamrud dan delima itu hinggap di ingatan Mohammad. Meskipun urusniaga intan permata tidak sesuai untuk golongan kanak-kanak seperti Mohammad, tapi minat yang mendalam mengatasi segala-galanya.
"Intan permata cukup bernilai dan sukar untuk didapati pada zaman sekarang. Disebabkan ia barang lama juga, orang jarang didedahkan tentang kecantikan hakikinya," cerita Mohammad.
Minat bekas pensyarah Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu bertambah ketika berusia belasan tahun. Di situ, dia sudah mula 'menjinakkan' diri ke lokasi penjualan barangan kemas di seluruh tanah air termasuk Sabah dan Sarawak.
Rasa teruja kerana banyak barang kemas yang diwarisi daripada arwah ibu, Ramlah Husin setelah diagih sama rata kepada 11 adik beradik yang lain dalam simpanannya.
Pada masa yang sama, bapa kepada empat orang anak itu juga rajin bergaul dengan peminat barangan kemas untuk mengetahui nilai semasa harta itu.
Apatah lagi selepas mengetahui taksiran harga bagi satu barangan kemas bertatahkan intan boleh mencecah antara RM1,000 sehingga RM21,000 mengikut harga pasaran. Semakin kasar dan besar barangan tersebut, semakin mahal ia dijual.
Ditanya tentang kesukaran menjaga setiap barang kemas yang terdiri daripada subang, cincin, gelang tangan, gelang kaki, lecha, loket, ipung, pacak sanggul dan paun emas berkerawang burung merak, lelaki itu tersenyum.
Katanya, setiap satu barangan tersebut dibalut dengan kain dan diletakkan dalam satu bekas khas yang dipastikan tidak berlaga antara satu sama lain. Keselamatan tersebut perlu dititik beratkan kerana intan mudah jatuh dan hilang andai tergeser dengan barangan lain.
Saudagar barangan kemas sejak 35 tahun lalu itu juga menganggap hobinya itu sebagai 'penyakit' yang berkemungkinan berjangkit kepada anak kedua dan ketiganya, Mohd. Danial dan Mohd. Adam.
Berbanding Hazlinadul Umira dan Datu Zahiruddin, mereka lebih berminat untuk mengetahui kehalusan seni pada semua koleksi purba milik bapa mereka.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...