Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Saturday 10 December 2011

Trend emas sentiasa berubah



Antara aksesori dan barangan kemas Tomei yang menarik.


PENGALAMAN Lim Wai Chee dalam bidang rekaan barang kemas memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Selama 15 tahun wanita itu mengabdikan diri, memerah otak menghasilkan rekaan barang kemas yang dipakai wanita hari ini.
Kepuasannya ialah apabila dia melihat wanita hari ini mula sedar akan kepentingan barang kemas yang bukan sekadar untuk bergaya malah yang lebih utama ia merupakan salah satu medium pelaburan.
"Sekarang mungkin wanita tidak lagi gemar memakai barangan kemas yang sarat kerana faktor keselamatan. Kes jenayah ragut membuatkan wanita semakin berhati-hati dan memakai barang kemas seadanya," ujarnya yang ditemui pada sesi melawat kilang pembuatan barangan kemas Tomei baru-baru ini.
Tetapi atas faktor keselamatan, gambar Wai Chee tidak boleh diambil untuk disertakan dalam artikel ini.
Wai Chee yang memang taksub dengan kerjayanya berkata, emas bagi setiap kaum memiliki maknanya yang tersendiri.
"Kaum Cina contohnya mesti mempunyai barang kemas yang dijadikan hadiah dari ibu bapa kepada anak yang berkahwin. Ini satu kemestian. Corak barangan kemas yang popular untuk tujuan ini pula ialah motif naga," katanya yang berkelulusan dari bidang seni halus dari sebuah institusi pengajian tinggi swasta.
Menceritakan bagaimana dia memperolehi idea untuk menghasilkan koleksi barang kemas, Wai Chee berkata, dia banyak mengambil inspirasi melihat gambar-gambar di Internet. Namun dia juga pasti tidak melupakan untuk menambah ciri Malaysia pada setiap rekaan yang dihasilkan.
"Saya melihat trend reka bentuk barangan kemas di Malaysia ini berkembang sama seperti pakaian. Pesatnya perubahan fesyen di satu-satu negara turut mendorong kepada perubahan dalam corak barangan kemas yang dipilih pelanggan.
"Sebab itu kilang ini tidak menghasilkan dalam kuantiti yang banyak untuk satu-satu corak kerana permintaan akan berubah mengikut musim.
"Satu ketika corak lama kembali popular dan ia akan berulang mengikut pusingan dan bergantung kepada musim," katanya.
Wai Chee mengamalkan konsep bekerja secara berkumpulan kerana baginya kerjasama berkumpulan akan menghasilkan pengeluaran yang lebih baik.
"Pada saya sebenarnya emas ini lebih dekat di hati orang Melayu. Pada kaum Cina pula selain hadiah perkahwinan mereka suka membeli bar emas untuk disimpan sebagai pelaburan.
"Memang kita sudah lama dalam bidang penghasilan barangan kemas namun itu tidak bermakna barangan yang dihasilkan tidak mengikut perkembangan semasa," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...