Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Friday 16 December 2011

Pendapatan pelaburan KWSP RM6.8b

KUALA LUMPUR  - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pendapatan pelaburan RM6.8 bilion pada suku ketiga yang berakhir 30 September lalu, meningkat 18.32 peratus berbanding RM5.75 bilion pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
KWSP dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata, prestasi pendapatan itu diperkukuhkan dengan aliran caruman bersih ahli, aset pelaburan KWSP terus meningkat kepada RM452.05 bilion berbanding RM440.52 bilion pada akhir tahun 2010.
"Pencapaian prestasi suku tahun ketiga melebihi sedikit jangkaan kita.
"Pada suku ketiga, kedua-dua pasaran domestik dan global berada di bawah tekanan jualan, berikutan penurunan gred taraf kredit Amerika Syarikat (AS) daripada AAA kepada AA+ oleh Standard & Poor's dan kesan krisis hutang zon Eropah,'' kata kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol berkata, bagaimanapun portfolio KWSP kekal teguh dan kualiti aset KWSP yang berdaya tahan membantu mengurangkan kesan daripada keadaan ketidaktentuan jangka pendek.
Katanya, prestasi pelaburan KWSP yang baik itu disumbangkan oleh usaha pengurus dana ekuiti KWSP.
"Mereka telah melaksanakan strategi pengambilan untung dengan mengunci keuntungan terutamanya sebelum kelembapan pasaran dan disokong oleh dividen baik yang diterima daripada syarikat-syarikat tersenarai.
"Selain itu, prestasi positif ini dicapai ekoran pematuhan KWSP terhadap rangka kerja berhemah yang berkesan untuk meningkatkan dan melindungi simpanan ahli,'' kata beliau.
Tambah Azlan, pada suku tahun ketiga juga, ekuiti kekal menghasilkan prestasi terbaik dengan memberikan pulangan pelaburan sebanyak RM3.26 bilion, peningkatan sebanyak 36.47 peratus atau RM871.75 juta daripada RM2.39 bilion dicatatkan berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Katanya, pinjaman dan bon merupakan penyumbang kedua terbesar pendapatan pelaburan KWSP yang menjana RM1.93 bilion pada suku ketiga 2011.
"Ini menandakan peningkatan 11.29 peratus daripada RM1.73 bilion yang dicapai pada tempoh yang sama 2010,'' ujarnya.
Suku ketiga tahun ini memperlihatkan pendapatan daripada sekuriti kerajaan Malaysia tumbuh sebanyak 5.67 peratus kepada RM1.47 bilion berbanding RM1.40 bilion pada suku tahun sama tahun lalu.
Pulangan daripada hartanah pula meningkat 23.36 peratus kepada RM28.2 juta daripada RM22.86 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.
Instrumen pasaran wang mencatatkan pendapatan RM109.97 juta, menyusut RM98.71 juta berbanding suku tahun sama tahun lepas.
Tambah Azlan, punca utama penurunan ini disebabkan oleh perubahan peruntukan pelaburan kepada aset yang memberikan pulangan lebih tinggi dan berjangka panjang untuk mengoptimumkan pulangan seperti pelaburan dalam hartanah global, ekuiti global dan sukuk global.
"Sebagai dana persaraan, pelaburan KWSP adalah untuk jangka panjang. Dalam menghadapi sebarang krisis atau kelembapan ekonomi terdapat peluang dan prospek yang boleh diteroka berdasarkan kitaran semulajadi ekonomi.
"Perubahan dalam landskap ekonomi global itu memberikan KWSP peluang untuk mengukuhkan pelaburannya selaras dengan peruntukan aset strategik dengan beralih kepada pilihan pelaburan yang lebih menarik.
"Bagaimanapun, berasaskan ketidaktentuan dalam persekitaran pelaburan global, KWSP seperti biasa akan terus berhati-hati dalam pelaburannya melalui pendekatan pelaburan berisiko rendah,'' kata Azlan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...