Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Wednesday 14 December 2011

Piala Thomas paling mencabar

Kelayakan Piala Thomas paling mencabar


Lee Chong Wei cemas menentang pemain Jepun Sho Sasaki sebelum menang 21-11, 21-12 pada Siri Super Masters Akhir di China, semalam. Dia tewas 18-21 pada set kedua. - AFP


KUALA LUMPUR - Ketika isu ketiadaan pemain berkredibiliti masih membayangi persiapan Malaysia untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala Thomas di Macau tahun depan, masalah baru pula timbul apabila semua pasukan terbaik Asia, termasuk China disahkan akan bertanding pada kejohanan 14-19 Februari itu.
Selaku tuan rumah pusingan akhir pada 20-27 Mei ini, China, juara lapan kali sudah meraih tiket automatik dan tidak sepatutnya terlibat dengan saingan kelayakan, namun kerana mahu mengutip mata Sukan Olimpik mereka memutuskan untuk tetap menghantar pasukan bertanding di Macau.
Malah, Korea Selatan, yang mendapat tiket automatik pada saingan Piala Uber selaku penyandang juara turut beraksi di pusingan kelayakan atas sebab yang sama, sekali gus dilihat mampu mengacau undian kejohanan.
Justeru, Malaysia perlu membariskan 'pasukan terkuat daripada pilihan yang terhad' untuk memburu salah satu daripada empat slot yang ditawarkan pada pusingan kelayakan Asia, sambil berharap tidak diletakkan dalam satu kumpulan bersama China.
"Biarpun China bertanding hanya untuk mengutip mata Sukan Olimpik dan bukan memburu slot pusingan akhir Piala Thomas, namun mereka tetap mampu menjadi pengacau kepada undian dan ini menjadikan saingan sangat sukar.
"Sebagai contoh, seandainya Malaysia menduduki tangga kelima keseluruhan dan China berada pada kedudukan empat terbaik, kita masih akan mendapat slot ke Piala Thomas kerana kedudukan China tidak diambil kira.
"Namun, sekiranya mereka diundi dalam kumpulan yang sama dengan kita, itu tetap mampu menjejaskan peluang kerana kita mungkin gagal mendapat tempat pada kedudukan dua teratas kumpulan,'' kata Setiausaha Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Chin Chai selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.
Ketika ini, bukan China, Korea atau Indonesia saja mampu menggugat kedudukan Malaysia, sebaliknya tanpa barisan pemain yang benar-benar mantap, kita juga belum boleh dianggap selamat jika terpaksa berdepan pasukan seperti Thailand atau Jepun.
Hanya jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beregu, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sudah menjamin kedudukan dalam skuad negara, pada ketika pemain lain, termasuk beregu sedang meningkat, Lim Khim Wah-Goh V Shem belum menunjukkan prestasi yang cukup meyakinkan.
Kelemahan ketara juga wujud dalam perseorangan lelaki kerana tiada pemain kita sebenarnya cukup berkredibiliti untuk menggalas cabaran perseorangan kedua, ketiga mahupun simpanan.
Namun dengan pilihan pemain yang terhad, bekas juara All England, Muhammad Hafiz Hashim yang meninggalkan skuad kebangsaan awal tahun ini untuk menyertai KLRC, masih menjadi taruhan, selain pemain muda seperti Mohd. Arif Abdul Latif dan Liew Daren.
Biarpun sudah 19 tahun tidak bergelar juara Piala Thomas, iaitu kali terakhir Malaysia menang di Kuala Lumpur pada 1992, namun kita tidak pernah gagal melayakkan diri pusingan akhir sejak format baru kejohanan diperkenalkan pada 1984.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...