Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Wednesday 14 December 2011

Milan nafi 'korban' penyerang demi Tevez


ROME - Ketua Eksekutif AC Milan, Adriano Galliani menafikan bahawa gergasi bola sepak Itali itu akan 'mengorbankan' seorang penyerangnya untuk memberi laluan kepada Carlos Tevez.
Milan telah mengemukakan tawaran kepada Manchester City bagi mendapatkan penyerang kontroversi Argentina itu meskipun City dipercayai menolak permohonan tersebut.
Galliani menjelaskan, Milan sedia bersabar dalam usaha mendapatkan pemain berusia 27 tahun itu tetapi menegaskan, ketiadaan Antonio Cassano yang cedera adalah sebab utama mereka mahukan Tevez dan kelab tidak sesekali akan menukar pemain itu dengan pemain sedia ada.
"Kalau Tevez atau penyerang lain datang, ia adalah kerana hendak menampung ketiadaan Cassano, tetapi (Zlatan) Ibrahimovic, Robinho dan Pato sama sekali bukan untuk dijual.
"Saya tahu, ada pertemuan berlangsung di antara (agen Tevez) Kia (Joorabchian) dan City pagi ini, tetapi saya tidak tahu lagi apa yang berlaku.
"Kecuali dia (Tevez) mahu menandatangani kontrak dengan kelab lain, kami bersedia menunggu hingga ke jam terakhir, minit terakhir dan saat terakhir pada jam 7 malam, 31 Januari (waktu pasaran perpindahan ditutup)," kata Galliani.
Cassano menjalani pembedahan jantung bulan lalu selepas mengadu sakit sejurus tamat perlawanan menentang AS Roma.
Selepas melakukan diagnosis, didapati terdapat lubang pada jantung pemain itu dan ia memerlukan rawatan.
Bermakna, dia perlu diketepikan sekurang-kurangnya sehingga April tahun depan atau lebih lama daripada itu.
Kelab Perancis, Paris St Germain (PSG) turut berminat untuk mendapatkan Tevez, sekalipun media di Itali mendakwa, pemain Argentina itu hanya berminat untuk bermain di negara mereka.
Milan menawarkan pinjaman untuk Tevez sehingga akhir musim dengan opsyen membeli pemain itu pada harga 23 euro (RM96 juta) pada musim panas.
Bagaimanapun Manchester City berkata, mereka tidak mempertimbangkan perjanjian pinjaman dan tidak akan menjual pemain itu sehingga mendapat harga yang diminta, dipercayai jauh lebih tinggi dari yang ditawarkan Milan.
Sekiranya Milan tidak dapat membeli Tevez, mereka akan kembali kepada penyerang Catania, Maxi Lopez dari Argentina, dan Galliani membayangkan tiada masalah dengan perjanjian itu.
"Catania tahu tentang situasi ini, lagipun kami mempunyai hubungan yang baik dengan mereka," tambah Galliani. - AFP

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...