Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Wednesday 14 December 2011

Pelan berbeza Chong Wei, Koo-Tan


KUALA LUMPUR - Jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong bakal mengharungi jadual pertandingan yang kontras dalam persiapan akhir menghadapi Sukan Olimpik London 2012.
Jika kejohanan Chong Wei dikurangkan secara drastik dengan hanya bertanding dalam saingan berstatus Siri Super dan Siri Super Premier, Kien Keat-Boon Heong, sebaliknya akan beraksi dalam lebih banyak kejohanan kerana kedudukan mereka sebagai pasangan No. 5 dunia masih dianggap belum selamat.
Chong Wei beraksi untuk mengekalkan kedudukan No. 1 dunia, sambil cuba mengelak daripada dipintas bintang China, Lin Dan pada saat akhir sebelum Temasya London bermula dari 28 Julai hingga 5 Ogos.
Kien Keat-Boon Heong, yang masih gagal mencari kejuaraan utama sepanjang tahun ini pula memerlukan beberapa gelaran untuk kembali dalam kelompok empat pasangan terbaik dunia, sambil cuba mengelak daripada penyingkiran di peringkat awal.
"Tiada lagi lambakan kejohanan untuk Lee Chong Wei pada 2012, sebaliknya dia hanya akan bermain dalam pertandingan wajib seperti Siri Super atau Siri Super Premier menjelang Sukan Olimpik.
"Sasarannya adalah mempertahankan kedudukan No. 1 dunia sebelum Temasya London, namun pada masa yang sama dia juga perlu menjaga stamina kerana kita mahu dia berada pada kemuncak prestasi pada waktu yang sepatutnya.
"Sementara bagi Kien Keat dan Boon Heong, mereka memerlukan sebanyak mungkin kejohanan untuk menambah mata Olimpik kerana mereka tidak berada pada kedudukan yang baik ketika ini.
"Hanya empat pasangan terbaik dunia akan mendapat status pilihan, sekali gus menerima undian yang lebih baik. Jadi, sasaran mereka menjelang Olimpik adalah menempatkan diri dalam kedudukan empat terbaik dunia,'' kata Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Chin Chai selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&TC) badan itu di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.
 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...