Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 13 December 2011

Pendekatan 'akal' rahsia kejayaan Barcelona


YOKOHAMA, Jepun - Jurulatih Barcelona, Pep Guardiola berkata, pendekatan 'akal' menjadi faktor membantu kejayaan luar biasa juara Eropah itu sambil enggan memperbesarkan peranan taktik.
Gergasi bola sepak Sepanyol itu menundukkan Real Madrid 3-1 di tempat lawan dalam saingan La Liga, hujung minggu lalu, sekali gus menghalang musuh ketat mereka itu daripada mengukuhkan kedudukan pendahulu.
Daripada fokus liga domestik, kelab Catalan itu beralih sementara kepada saingan Piala Dunia Kelab di Jepun, di mana mereka akan berdepan juara Asia, Al Sadd dari Qatar pada separuh akhir esok.
Barca menjadi pilihan utama untuk meloloskan diri.
Guardiola yang mengambil alih gergasi Sepanyol itu pada 2008 menjelaskan, tiada rahsia besar di sebalik kejayaannya mengekalkan kehebatan Barca.
"Betul, tiada apa yang benar-benar istimewa mengenainya. Pertama sekali, saya cuba berpegang kepada sejarah Barcelona, di mana ia sebuah pasukan hebat yang sangat dihormati.
"Kemudian, ia adalah soal mendapatkan pemain yang bagus dan menyatukan mereka dengan pemain-pemain tempatan, mengendalikan mereka dengan cara yang betul dan tidak takut untuk memberi peluang kepada pemain muda apabila tiba masanya,'' kata Guardiola.
Guardiola dalam temu bual dengan FIFA.com, menambah: "Kami cuma menggunakan akal ketika bermain. Anda mahu tahu mengapa mereka terus mencatat keputusan yang bagus? Jawapannya hanya satu, akal."
Kata Guadiola lagi, sebagai contoh pendekatan yang diambil, dia membenarkan pemain menghabiskan masa bersama keluarga masing-masing sehari sebelum perlawanan berbanding mengarahkan mereka tinggal di hotel.
"Saya mengadili pemain-pemain saya berdasarkan kerja mereka, bukan kehidupan peribadi mereka. Saya bukan pegawai polis. Saya tidur pada pukul 10 malam dan saya tiada keperluan untuk memeriksa apa yang pemain saya buat.
"Sebab itu saya lebih suka membiarkan mereka berada di rumah dan bukan di hotel dengan tiada benda hendak dibuat. Kami hanya menggunakan pendekatan akal,'' katanya.
Kata Guardiola, sepanjang Piala Dunia Kelab, dia membenarkan pemainnya bersiar-siar di Tokyo dan mencuba makanan tempatan kerana pendekatan yang lebih rileks perlu untuk menghadapi situasi genting.
Merujuk kepada kejayaan hebat 3-1 pasukannya ketika menumpaskan Manchester United dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah di Wembley, Mei lalu, dia berkata: "Persiapan kami untuk perlawanan itu agak genting.
"Kami pergi ke London beberapa hari sebelum saingan untuk membuatkan kami rasa selesa dan seperti berada di tempat sendiri. Kami memasuki perlawanan dalam keadaan terbaik. Orang kadang kala terlepas pandang perkara seperti ini tetapi ia boleh membawa perbezaan dalam perlawanan besar."
Guardiola, 39, bekas bintang tengah Barca sebelum menjadi jurulatih, turut mengakui, terlalu banyak yang memperkatakan tentang taktik yang digunakan oleh Barcelona. - AFP

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...