Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 13 December 2011

Chong Wei, Koo-Tan lega elak 'badi'


KUALA LUMPUR - Jika Datuk Lee Chong Wei tidak perlu berdepan musuh ketat, Lin Dan atau Chen Long pada peringkat kumpulan, beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula menarik nafas lega kerana mengelak ditemukan dengan 'badi', Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong serta beregu No. 1 dunia, Cai Yun-Fu Haifeng pada Kejohanan Badminton Siri Super Masters Akhir yang memulakan kempen di Liuzhou, hari ini.
Chong Wei, 29, yang turun untuk mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut mengetuai Kumpulan A bersama jaguh Denmark, Peter Hoeg Gade, Simon Santoso (Indonesia) dan Sho Sasaki dari Jepun.
Lin Dan yang membuat penampilan sulung pada kejohanan penutup tirai 2011 itu pula menerajui Kumpulan B bersama rakan senegara dan pemain No. 3 dunia, Chen Long, jaguh Indonesia, Taufik Hidayat serta pemain No. 1 Jepun, Kenichi tago.
Dalam saingan beregu lelaki, Kien Keat-Boon Heong, juara 2008 berjaya mengelak daripada berdepan pasangan yang paling digeruni ketika ini, Sung Hyun-Yeon Seong, beregu yang tidak pernah dikalahkan mereka dalam semua enam pertemuan terdahulu.
Malah, mereka juga tidak perlu menentang juara dunia empat kali, Cai Yun-Fu Haifeng yang mengetuai Kumpulan A bersama satu lagi pasangan China, Chai Biao-Guo Zhendong dan beregu Jepun, Hirokatsu Hashimoto-Noriyasu Hirata.
Begitupun, laluan Kien Keat-Boon Heong masih tidak mudah dengan penyandang juara, Carsten Mogensen-Mathias Boe dari Denmark serta juara 2009, Lee Yong Dae-Jung Jae Sung dari Korea bakal menanti.
Turut melengkapkan Kumpulan B adalah beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Bona Septano.
"Saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyiapkan diri kerana baru pulang dari Macau beberapa hari sebelum berlepas ke China tetapi sudah tentu saya mengharapkan keputusan terbaik.
"Biarpun tidak perlu bertemu Lin Dan atau Chen Long di awal saingan, namun saya tidak boleh memandang ringan cabaran Peter Gade dan Simon Santoso, saya kena melayan semua pencabar dengan serius.
"Saya datang ke sini untuk mempertahankan kejuaraan, namun yang lebih penting daripada itu saya mahu mengutip mata sebanyak mungkin dalam usaha mengekalkan ranking No. 1 dunia,'' kata Chong Wei, juara 2008, 2009 dan 2010.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan i ke separuh akhir, di mana juara Kumpulan A menentang naib juara Kumpulan B, manakala juara Kumpulan B bertemu naib juara Kumpulan A.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...