Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 13 December 2011

Fizo Omar Diarah bayar RM2.5 juta

Diarah bayar RM2.5 juta, Fizo Omar rujuk SukaGuam

KUALA LUMPUR  - Seorang pelakon muda terpaksa mendapatkan khidmat Sukarelawan Peguam (SukaGuam) bagi menyiasat satu dakwaan ke atas dirinya berhubung kes pinjaman wang berjumlah RM8 juta dari sebuah bank antarabangsa.
Wan Hafizol Wan Omar, 26, atau lebih dikenali sebagai Fizo Omar berkata, bank tersebut mendakwa beliau sebagai penjamin bagi kes pinjaman wang melibatkan sebuah syarikat percetakan yang kini proses pembayarannya tertunggak ekoran kegagalan pihak peminjam membuat pembayaran balik.
Berikutan itu, katanya, pada tahun lalu, institusi tersebut telah mengeluarkan satu arahan menerusi telefon meminta beliau menjelaskan bayaran lebih RM2.5 juta dan sekiranya gagal bank berkenaan akan mengambil tindakan.
''Saya pernah menjadi salah seorang daripada ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan pada tahun 2008, namun tidak sampai setahun saya telah keluar daripada syarikat itu kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian dalam karier seni.
''Sepanjang saya bersama syarikat itu, tidak pernah sekalipun saya diminta untuk menjadi penjamin. Saya juga tidak pernah menandatangani dan menerima sebarang dokumen daripada mana-mana institusi bank berkaitan pinjaman,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Fizo memberitahu, setakat ini, pihaknya belum menerima apa-apa dokumen daripada bank berkenaan berhubung kes tersebut, justeru, beliau menyerahkan kes itu sepenuhnya kepada SukaGuam untuk tindakan selanjutnya.
''Saya mengambil masa yang lama untuk merujuk kes ini kepada pakar kerana saya akui perkara ini sedikit sebanyak memberi tekanan kepada saya, namun Alhamdulillah akhirnya saya dapat mengharunginya dengan baik.
''Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak dalam kes ini termasuklah rakan saya yang juga ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan mahupun pihak bank. Biarlah undang-undang yang menentukan penyelesaiannya,'' jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat ketika ditemui berkata, dalam tempoh dua minggu SukaGuam akan meminta bank berkenaan mengeluarkan semua dokumen asal berkaitan pinjaman itu bagi rujukan pihaknya.
Kata beliau, sekiranya bank berkenaan dapat bekerjasama dengan pihaknya, SukaGuam akan melakukan penyiasatan ke atas semua dokumen tersebut bagi mengenal pasti apakah tindakan selanjutnya yang boleh diambil.
''Setakat in,i kita cenderung untuk melihat kemungkinan terdapat elemen penipuan dan kecuaian oleh pihak tertentu. Tetapi, kita tidak boleh membuat dakwaan lagi kerana kes baru bermula dan kita akan memaklumkan dari semasa ke semasa.
''Sepanjang program SukaGuam dijalankan, pihak kita telah menerima kira-kira 100 kes seperti ini, dan rata-ratanya adalah berpunca daripada penipuan dan kecuaian pihak bank sendiri,'' kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...