Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 6 December 2011

orang bukan islam juga sudah terima budaya berkhatan...Alhamdulillah



Dua beradik India teruja berkhatan beramai-ramai
BUKIT MERTAJAM – Dahulunya acara berkhatan beramai-ramai selalunya sering disertai kanak-kanak Islam sahaja, tetapi kini agama lain juga tidak mahu ketinggalan untuk turut sama memeriahkannya.
M Thivagar, 9, dan adiknya, M Pavithran, 8, teruja apabila berpeluang merasai pengalaman berkhatan bersama 48 kanak-kanak Islam lain dalam satu program di Kampung Kijang, Alma.
Thivagar berkata, dia seronok dapat bersama-sama mengambil bahagian dalam program berkenaan meskipun mereka berlainan agama.
Menurutnya, galakan daripada kedua ibu bapa, P Muniswaran, 35, dan M Amarawathy, 35, banyak membantu dia dan adiknya melalui detik bermakna sebelum melangkah ke alam dewasa.
"Pada mulanya kami agak takut kerana tidak tahu bagaimana rasanya ketika disunatkan, tetapi kami harunginya selepas diberi kata-kata semangat dari ibu bapa," katanya yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Stowell, di sini.
Sementara itu, Muniswaran berkata, adalah menjadi tradisi bagi keluarganya untuk berkhatan dan oleh sebab itu dia menggalakkan kedua-dua anaknya itu untuk turut sama melakukannya.
Ditanya mengapa memilih untuk bersama masyarakat Melayu, katanya ia dapat memberi pendedahan kepada mereka tentang budaya dan adat Melayu dalam berkhatan.
"Keluarga saya dari dulu lagi amat menggalakkan kami untuk bersunat untuk menjaga kesihatan dan kebersihan. Saya juga bersunat dahulu dan menurunkannya kepada anak-anak," katanya.
Dalam pada itu, program anjuran Biro Pendidikan Umno Bahagian Bukit Mertajam bersama Belia 4B Kawasan Bukit Mertajam itu dirasmikan Ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Majlis berkhatan diadakan pada Sabtu dan separuh daripada kanak-kanak yang terlibat bermalam di Tabika Kemas Kampung Kijang sebelum dibenarkan pulang ke rumah, semalam.
Mereka turut diberikan cenderahati oleh pihak penganjur sebagai hadiah di atas keberanian dalam menempuh cabaran berkhatan.
Musa berkata, program itu sudah memasuki tahun ke-4 penganjuran dengan bayaran yang dikenakan RM30 seorang.
Menurutnya, program tersebut dilihat sebagai medan terbaik bukan sahaja dalam mengeratkan hubungan antara masyarakat setempat, tetapi juga memupuk semangat kerjasama dan perpaduan tanpa mengira kaum.
Hadir sama, Pengerusi Biro Pendidikan Umno Bahagian Bukit Mertajam yang juga merupakan Timbalan Umno Bahagian Bukit Mertajam, Ramlan Ishak.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...