Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Monday 12 December 2011

MB beri syarat lulus geran tanah penduduk di Ijok


SHAH ALAM - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletakkan syarat kepada kira-kira 150 penduduk Kampung Seri Aman, Ijok dekat sini iaitu mereka perlu menanggung kos penyediaan infrastruktur sekiranya mahu kerajaan negeri meluluskan permohonan mendapatkan geran tanah kawasan berkenaan.
Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok itu menegaskan, sekiranya penduduk ingin memiliki tanah itu, mereka dikehendaki membayar kos seperti pembinaan jalan raya dan sistem perparitan kepada kerajaan negeri.
"Mereka perlu membayar RM1,000 untuk tapak tanah sebagai premium awal serta kos pembinaan infrastruktur yang masih dalam perbincangan. Seandainya penduduk bersetuju, barulah kerajaan negeri akan memberikan tanah.
"Ini memandangkan kawasan perumahan penduduk berada dalam kawasan rizab sungai. Saya tidak mahu apabila banjir berlaku penduduk akan menyalahkan kerajaan negeri kerana tidak menyediakan kemudahan prasarana tersebut," katanya selepas merasmikan Kempen Menanam Pokok di Cahaya SPK Seksyen U9 di sini, hari ini.
Bagaimanapun, syarat tersebut dilihat membebankan penduduk yang rata-ratanya adalah pekerja ladang.
Difahamkan, Abdul Khalid akan mengadakan perjumpaan bersama penduduk Kampung Seri Aman, Coalfield Ijok pada 23 Disember ini.
Laporan akhbar semalam menyebut lebih 150 penduduk Kampung Seri Aman membantah cadangan pembinaan projek perumahan yang akan dilaksanakan kerajaan negeri di kawasan penempatan mereka.
Penduduk sebaliknya mendesak Menteri Besar mengotakan janji Pilihan Raya Umum Ke-12 iaitu memberi geran tanah kepada mereka.
Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Seri Aman, Robert Vanathaiya, 58, berkata, kerajaan negeri terdahulu telah meluluskan tanah lot untuk diberikan kepada penduduk sejak 2007.
Beliau berkata, ketika berkempen pada pilihan raya umum lalu, Abdul Khalid berjanji akan memberi geran tanah kepada penduduk kampung dalam tempoh tiga bulan selepas memenangi pilihan raya tersebut.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...