Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Monday 12 December 2011

Berhutang untuk belajar agama




KETIKA anak-anak lain ke sekolah agama, Udin leka bermain. Sesekali matanya merenung ke arah sekolah. Ada perasaan sayu dan pilu di dalam hatinya.
Dia sememangnya teringin untuk belajar di sekolah agama itu tetapi apakan daya ibunya tidak mampu untuk membayar yuran sekolah, meskipun jumlahnya hanyalah RM20 sebulan.
Makan mereka pun atas belas ehsan jiran. RM20 nilai wang yang bagi sesetengah orang boleh dihabiskan untuk sekali makan. Adakalanya Udin berjalan mengelilingi pagar sekolah yang sebahagiannya sudah tumbang akibat perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab menceroboh ke kawasan sekolah.
Udin seronok mendengar suara kanak-kanak mengulangi ungkapan kata ustazah dan ustaz. Ingatannya singgah kepada ibu. Ibunya sedang bertarung nyawa dengan penyakit kanser rahim. Ayahnya sudah lama meninggal dunia.
Seperti Udin, kakak dan abangnya juga tidak bersekolah kerana kesempitan hidup.
Lain pula kisahnya dengan Mail. Dia dan abangnya pernah ditangkap kerana mencuri meja sekolah. Bahagian besi meja itu dijual kepada pembeli barang lusuh.
Hasil jualan RM3 itu digunakan untuk membeli makanan. Mereka mencuri kerana lapar. Ibu Mail masih hidup tetapi sudah lama keluar rumah, meninggalkan dia dan adik- beradiknya yang lain.
Sara kehidupan
Tinggallah ayah Mail sebagai bapa tunggal yang menyara kehidupan anaknya yang lima orang itu dengan menjaja secara kecil-kecilan.
Mail hanya ke sekolah agama kerana tiada surat beranak untuk ke sekolah kebangsaan. Abangnya juga tidak mempunyai surat beranak. Kakaknya tidak bersekolah kerana perlu menjaga adik-adiknya apabila bapa keluar mencari rezeki.

SEBAHAGIAN daripada kemudahan yang terdapat di Kafa Al-Insaniah Taman Putra Damai, Lembah Subang, Petaling Jaya.


Anak yang penulis namakan sebagai Man ini pula terpaksa berhenti sekolah. Ibunya tidak mampu untuk membayar yuran sekolah sebanyak RM20. Ayah sudah berkahwin lagi. Walaupun ayah ada memberi wang kepada ibunya tetapi jumlah yang diberi tidak cukup untuk menampung keperluan kehidupan mereka.
Ibu Man pula hanya mampu menjaga anak orang untuk menambah pendapatan bagi kelangsungan hidup dan enam orang anaknya.
Atas keprihatinan pihak sekolah, Man dibenarkan meneruskan persekolahan walaupun tidak dapat membayar yuran.
Kesusahan hidup yang dilalui Udin, Mail dan Man ini hanyalah secebis daripada kehidupan berliku anak yang belajar di Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) Integrasi Al-Insaniah, Jalan PJU 1A/42, Taman Putra Damai, Lembah Subang, Petaling Jaya.
Keprihatinan pihak sekolah membolehkan Udin, Mail dan Man menjadi murid di Kafa itu.
Cuma Udin sempat belajar hanya beberapa bulan sahaja. Dia dan adik-beradiknya diberitakan sudah pulang ke kampung halaman di Kelantan setelah ibu mereka meninggal dunia.
Mungkin ada ramai lagi anak yang menyimpan kisah pahit dan duka kehidupan mereka di sebalik wajah-wajah yang redup dan tubuh yang lesu.

Perut kosong
Kebanyakan anak-anak ini datang dari keluarga yang berpendapatan rendah dan mempunyai adik-beradik yang ramai.
Lantas, ada antara anak-anak ini datang ke sekolah dengan perut kosong seperti yang diberitahu oleh pengasas Kafa Integrasi Al-Insaniah, Norazainah Adnan dan Siti Hawa Sharif.
Pihak sekolah sememangnya membantu mereka yang benar-benar memerlukan dengan mengecualikan mereka daripada bayaran yuran di samping makanan tambahan.
Bagaimanapun, kewangan yang terhad membolehkan hanya 70 orang sahaja setakat ini menerima makanan tengah hari yang membabitkan perbelanjaan kira-kira RM2,100 sebulan.
Norazainah mempunyai pengalaman sekitar 14 tahun sebagai guru tadika sementara Siti Hawa pula telah menjadi guru agama selama kira-kira 15 tahun.
Sebelum penubuhan Kafa ini, mereka berdua mengambil inisiatif mengadakan kelas agama di surau Insaniah Blok D Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Putra Damai.

MESKIPUN saiz sekolah ini kecil, sesi persekolahan pertama menerima 500 murid.


Norazainah ketika itu menyandang jawatan Ketua Muslimah Surau Insaniah.
Kelas agama yang menampung kira-kira 90 pelajar itu diadakan di surau berkenaan selama dua tahun mulai tahun 2001. Pada 15 Januari 2003, Kafa Integrasi Al-Insaniah dibuka di lokasi yang ada sekarang.
Meskipun saiz sekolah itu kecil, sesi persekolahan pertama menerima 500 murid. Sekolah ketika itu mempunyai hanya lima buah kelas, pejabat dan kantin. Pelajar diajar mata pelajaran Al-Quran, Feqah, Tauhid, Bahasa Arab, Akhlak dan tulisan Jawi.
Norazainah bukan setakat menjadi pengasas, bahkan beliau turut menjadi tenaga pengajar di Kafa Al-Insaniah.
Naluri seorang ibu menjadikan beliau begitu mengambil berat agar anak di PPRT Taman Putra Damai tidak tercicir daripada mendapatkan pendidikan agama.
Setiap kali melihat ada anak yang bermain di luar kawasan sekolah pasti dia akan bertanya mengapa mereka tidak datang ke sekolah agama itu.
Tidak cukup dengan alasan yang diberikan, dia akan menyusul pula ke rumah untuk menggalakkan ibu bapa berkenaan menghantar anak ke sekolah.
Alasan yang sering singgah di cuping telingnya ialah tidak ada wang untuk membayar yuran sekolah.
“Saya akan memberitahu mereka hantar dulu anak ke sekolah dan soal kewangan boleh dibincang kemudian.
“Saya susah hati, saya bimbang sekiranya anak ini tidak dibekalkan dengan pendidikan agama, ini akan merosakkan diri mereka kelak,” kata Naib Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Kafa Al-Insaniah itu kepada Bernama.
Kafa Integrasi Al-Insaniah kini mempunyai 450 murid. Seramai 25 orang belajar pada sesi pagi sementara bakinya belajar pada sesi petang.
Anak-anak ini kebanyakannya berasal dari kawasan setinggan Taman Medan, Kampung Cempaka, Kampung Kayu Ara dan Kampung Sentosa yang terletak di sekitar Petaling Jaya.
“Ada yang mempunyai ibu atau ayah sahaja. Ada yang emak bekerja di kilang, ayah berniaga sendiri atau bekerja sebagai buruh. Ada juga emak yang hanya suri rumah.
“Ada juga antara mereka emak sahaja yang bekerja. Rata-rata mereka berpendapatan rendah. Ada yang mempunyai anak seramai lapan hingga 12 orang,” kata Norazainah.

NORAZAINAH (tengah) mengambil berat kebajikan anak-anak muridnya agar mereka tidak tercicir daripada mendapat pelajaran.


Menurut beliau, 30 daripada 40 murid dalam salah sebuah kelas adalah murid yang ibu bapa mereka sudah bercerai atau bapa mereka meninggal dunia.
Hampir 50 peratus murid di Kafa Integrasi Al-Insaniah tidak mampu membayar yuran sekolah. “Ada yang berhutang dari darjah satu sehingga darjah enam,” kata Siti Hawa.
Menurut beliau, pihak sekolah lazimnya akan mengeluarkan surat jika ada tunggakan yuran namun hasilnya agak mengecewakan.
Hanya segelintir mampu membayar penuh manakala sebahagian besar lagi ibu bapa bertindak memberhentikan sahaja persekolahan anak masing-masing.
Siti Hawa mengambil contoh kes tahun 2005 apabila pihak sekolah mengeluarkan surat peringatan berhubung tunggakan yuran, hampir 100 murid tidak datang ke sekolah.
Teruskan persekolahan
Apabila ditanya mengapa berhenti sekolah, alasan yang diberi ialah tidak mampu membayar yuran.
“Ini membuatkan kami pula yang merasa bersalah. Keadaan yang sama berlaku pada tahun 2006 bila masuk murid baharu.
“Kali ini pihak kami lebih berhati-hati dan menyelidik dahulu latar belakang ibu bapa murid sebelum mengeluarkan surat peringatan.
Atas rasa keprihatinan, pengurusan sekolah membenarkan anak yang tidak mampu membayar yuran untuk meneruskan persekolahan mereka.
Seperti kata Siti Hawa: “Kita usahakan supaya anak-anak ini masih boleh belajar meskipun tak bayar yuran. Bagi kita, mereka hendak belajar pun sudah Alhamdulillah.” Untuk menampung perbelanjaan pengurusan sekolah, berikhtiar melakukan aktiviti mengumpul dana di samping menerima sumbangan para dermawan, Kementerian Pelajaran serta bantuan zakat.
Kutipan yuran yang dapat dikutip digunakan untuk membayar gaji guru, kerani, pencuci, bil elektrik dan untuk menampung keperluan lain.
Mengenai gaji guru, Siti Hawa menjelaskan, pihak sekolah mempunyai 12 guru tetapi hanya 10 guru sahaja yang layak menerima gaji daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Bagi sesi pagi, kita ada tiga guru dan masing-masing dibayar RM400 sebulan oleh pihak sekolah.
“Untuk sesi petang, ada 12 orang guru. Gaji bulanan untuk 10 orang dibayar RM1,300 seorang sementara dua lagi masing-masing menerima gaji sebanyak RM600,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...